Latest News
PTMP Map
PSI
 

Tak patut bantah projek tambak laut P Pinang selagi tidak bercanggah undang-undang

Tak patut bantah projek tambak laut P Pinang selagi tidak bercanggah undang-undang

Diterbitkan oleh Free Malaysia Today • 10/02/2021 • 09:09pm

Pengerusi Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang Hazizi Padzil berkata pembangunan itu juga perlu dilihat sebagai kesiapsiagaan menghadapi Revolusi Industri 4.0.

PETALING JAYA: Projek kontroversi Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR), perlu dilihat secara positif dan tidak sepatutnya dibantah memandangkan ia mampu memberi kesan terhadap kemajuan ekonomi rakyat.

 

Pengerusi Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang, Hazizi Padzil berkata, isu tambakan laut bukan hanya berlaku di Pulau Pinang sebaliknya membabitkan negeri lain asalkan pembangunan yang ingin dilaksana tidak bercanggah dengan undang-undang.

 

“Tambakan untuk pembangunan berlaku di mana-mana sahaja, contohnya, Melaka Gateway, Forest City, Johor dan Langkawi, Kedah.

 

“Sekiranya pentadbir negeri telah memenuhi segala keperluan undang-undang yang ditetapkan, maka sesebuah projek tambakan boleh dijalankan untuk kepentingan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat secara umum,” katanya dalam kenyataan.

 

Katanya, alasan diberi kononnya projek tersebut akan menjejaskan alam sekitar, hasil tangkapan nelayan berkurangan dan sebagainya sebenarnya sepatutnya dilihat dari sudut positif.

 

“Berkenaan isu alam sekitar yang telah dibangkitkan, pihak kami percaya terhadap akauntabiliti dan ketelusan kerajaan negeri dalam mematuhi keperluan undang-undang yang diperuntukkan bagi memastikan projek ini berjalan dengan lancar dan teliti.

 

“Perkara ini harus dilihat secara positif untuk kelangsungan negeri pada masa hadapan demi kesejahteraan penduduk setempat dan negeri secara keseluruhan.

 

“Tawaran Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang telah diumumkan adalah satu pelan jangka pendek dan panjang yang bermanfaat untuk nelayan setempat. Melalui pelan itu, nelayan terlibat akan menerima wang sagu hati serta kemudahan lain yang bermanfaat termasuklah bot dan enjin baharu, latihan, tuisyen percuma untuk anak-anak, kemudahan jeti baharu dan banyak lagi,” katanya.

 

Katanya, pembangunan itu juga perlu dilihat sebagai kesiapsiagaan negeri menghadapi Revolusi Industri 4.0 yang mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI) masuk ke Malaysia secara amnya, Pulau Pinang khususnya.

 

“Pulau Pinang menunjukkan rekod yang cemerlang dalam menarik pelaburan masuk ke dalam negara. Berdasarkan Laporan MIDA 2020 (The Smart Move to Invest: Major Announcements of High-Value Investments), tujuh daripada 11 pelaburan bernilai tinggi di Malaysia adalah dari Batu Kawan dan Zon Perindustrian Bebas Pulau Pinang,” katanya.

 

Minggu lalu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mengumumkan PSR membabitkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan pulau utama dijadualkan bermula seawal Mac.

 

Awal Januari lalu, nelayan yang terjejas dengan projek PSR di Gertak Sanggul, Teluk Kumbar mendakwa pampasan yang ingin diberikan kerajaan negeri kepada mereka tidak setimpal dengan projek bertaraf mega yang bakal dibangunkan di kawasan itu apabila mendakwa hanya akan diberi RM20,000.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.