Latest News
PTMP Map
PSI

Perutusan Ketua Menteri Pulau Pinang
Yang Amat Berhormat
Tuan Chow Kon Yeow

Pulau Pinang sedang bergerak ke arah pembangunan sebuah negeri yang hijau dan pintar yang berteraskan keluarga untuk menjadi inspirasi negara, selaras dengan visi Penang2030. Antara empat (4) tema utama dalam visi ini adalah pelaburan dalam persekitaran infrastruktur awam yang penting dalam pembangunan sebuah rangkaian pengangkutan yang holistik.

chief-minister-penang

Hampir sedekad lalu, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) serta Projek Tambakan Selatan Pulau Pulau Pinang Selatan (PSI) telah dilancarkan. Berhubung pelaksanaannya, rakan pelaksana telah dilantik bagi bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerajui projek-projek berkenaan.

 

Lazimnya, kedua-duanya merupakan projek transformasi strategik yang bertujuan untuk mengekalkan dan meningkatkan daya saing Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan serta pelancongan antarabangsa. PTMP bertujuan menangani masalah kesesakan lalu lintas melalui rangkaian jalan raya dan pengangkutan awam baharu, manakala ‘Silicon Island’ di bawah PSI bakal mewujudkan tanah baharu untuk kegunaan industri, perumahan, komersial, rekreasi dan lain-lain berkaitan.

 

PTMP dan PSI mampu menjana peluang perniagaan dan pendapatan demi kemajuan serta kemakmuran Pulau Pinang secara berterusan sebagai sebuah negeri yang banyak bergantung kepada sektor pembuatan dan juga perkhidmatan bagi pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh. Pendek kata, kita memerlukan kedua-dua projek ini untuk pembangunan jangka panjang Pulau Pinang.

 

Setelah sekian lama, Kerajaan Negeri bersyukur melihat tambakan ‘Silicon Island’ dan pembinaan Jalan Pintasan Ayer Itam – Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, iaitu salah satu komponen di bawah PTMP telah dilaksanakan dengan baiknya. Kerja-kerja juga sedang dijalankan untuk memulakan projek Lebuh Raya Pan Island Link 2A (PIL 2A) yang menghubungkan Batu Maung dan ‘Silicon Island’.

 

Penambakan ‘Silicon Island’ sememangnya amat menarik kerana pembangunan tersebut merupakan projek tambakan pertama yang dimiliki Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan telah melalui pelbagai cabaran sebelum memperoleh kelulusan. Malah, walaupun masih terdapat kepelbagaian pasang surut yang bakal kita hadapi, saya secara peribadi berasa bangga kerana semua ini tidak pernah mematahkan semangat Pulau Pinang berhubung pelaksanaannya ke arah masa depan yang lebih baik selaras dengan gagasan Visi Penang2030.

 

Bagi pihak barisan kepimpinan Kerajaan Negeri juga, saya berasa bersyukur kerana Pulau Pinang kini memperoleh perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan terutamanya berhubung kelulusan projek-projek infrastruktur mega termasuk projek transit aliran ringan (LRT). Terima kasih dan kita berharap perhatian ini akan berterusan berlandaskan rekod-rekod cemerlang yang dicapai oleh Pulau Pinang kepada negara Malaysia sehingga kini.

 

Penang Infrastructure Corporation (PIC) telah diamanahkan untuk memastikan projek-projek ini dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual. Justeru, adalah menjadi harapan saya agar semua yang dirancang akan direalisasikan dengan sebaik-baiknya demi masa depan generasi akan datang Pulau Pinang. Pada kesempatan ini juga, saya menyeru sokongan penuh daripada seluruh rakyat Pulau Pinang untuk terus bersama kami ke arah mewujudkan sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

Sekian, terima kasih.

YAB CHOW KON YEOW

Ketua Menteri Pulau Pinang

error: Content is protected !!