Cadangan untuk membangunkan projek penambakan Penang South Island (PSI) tercetus daripada sejarah pembangunan Pulau Pinang yang telah berkembang pesat sebagai sebuah destinasi pelaburan dan pelancongan antarabangsa sejak tahun 1970an.
Pulau Pinang terkenal sebagai Lembah Silikon Timur, bandar raya warisan dunia Unesco dan syurga makanan. Sektor pembuatan and perkhidmatannya telah memacu pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan pekerjaan dan membawa kemakmuran kepada penduduk Pulau Pinang serta rakyat Malaysia.
Sejak Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dibuka pada awal tahun 1970an, Pulau Pinang telah menarik syarikat multinasional seperti Intel, Keysight Technologies dan Agilent Technologies (dahulunya Hewlett Packard), Robert Bosch, AMD, Osram Opto Semiconductors, Renesas (dahulunya Hitachi), Clarion and National Semiconductor. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia and UN Comtrade, Pulau Pinang menguasai kira-kira 5% export semikonduktor dunia pada tahun 2019.
Namun, kejayaan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan untuk pelabur dan perniagaan serta peningkatan bilangan penduduk telah menyebabkan negeri yang kedua terkecil di Malaysia ini berdepan dengan masalah kekurangan tanah baru untuk pembangunan dan kesesakan lalu lintas, khususnya di George Town, Bayan Lepas dan kawasan sekitarnya.
Walaupun sembilan taman perindustrian lain telah ditubuhkan di Seberang Perai, Pulau Pinang masih berdepan dengan isu-isu ini yang bukan sahaja menjejaskan tahap kebolehhidupan (liveability) tetapi juga daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan, perniagaan dan pelancongan. Keadaan ini boleh menyebabkan Pulau Pinang kehilangan pelaburan dan pekerjaan berkualiti kepada negara lain di rantau ini.
Dengan penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dan menyebabkan kehilangan pekerjaan serta pendapatan dalam kalangan rakyat, Pulau Pinang juga perlu memberi nafas baru kepada ekonomi negeri. Satu pakej rangsangan jangka masa panjang adalah diperlukan untuk memberi impak yang positif terhadap persekitaran perniagaan dan rakyat.
Pakej rangsangan ini perlu padan dengan keadaan semasa di Pulau Pinang yang perlu mengalihkan tekanan pembangunan yang sekian lama tertumpu di kawasan George Town dan Bayan Lepas, mewujudkan tanah baru yang selamat untuk pembangunan industri, perumahan dan komersial dalam persekitaran yang lestari. Pembangunan ini juga perlu menangani kesan-kesan perubahan iklim seperti peningkatan suhu.
Oleh itu, selaras dengan visi Penang2030 untuk membina sebuah negeri hijau, pintar dan berteraskan keluarga yang boleh memberi inspirasi kepada negara, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan pembangunan PSI yang akan berperanan penting dalam perkembangan sektor elektrikal dan elektronik (E & E) and pertumbuhan ekonomi negeri pada masa depan.
Pembangunan PSI yang juga dikenali sebagai Silicon Island kini dilaksanakan oleh syarikat pemaju Silicon Island Development Sdn Bhd (SIDSB) yang ditubuhkan secara usahasama antara wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang, PIC PC Sdn Bhd dan SRS PD Sdn Bhd dengan pegangan 30% dan 70% masing-masing.
TRANSFORMASI DEMI MASA DEPAN
Sebagai sebuah pelan transformasi pembangunan strategik, Penang South Island (PSI) akan membawa perubahan kepada selatan Pulau Pinang, dan menjadikan kawasan tersebut sebuah bandar raya pintar dan destinasi pelaburan serta pelancongan bertaraf dunia.
Keluasan pulau buatan PSI yang dinamakan Silicon Island adalah 2,300 ekar. Lokasi pembangunan ini adalah strategik kerana berhampiran dengan Taman Perindustrian Bebas Bayan Lepas yang telah mewujudkan sebuah ekosistem yang mempunyai 300 syarikat multinasional dan 3,000 perusahaan kecil dan sederhana (SME), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
Dengan adanya infrastruktur yang baik, PSI akan menarik pelabur baru dan mengekalkan pelabur sedia ada yang ingin mengembangkan operasi mereka di sebuah lokasi yang mempunyai persekitaran yang sesuai untuk hidup dan bekerja.
Juga tidak berjauhan daripada PSI juga adalah institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sains Malaysia, Pusat Kolaborasi Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) serta Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) yang akan mewujudkan satu generasi pekerja mahir dan pekerja pengetahuan (knowledge workers) baru. Dengan ini, Pulau Pinang akan dapat melahirkan dan menarik bakat baru untuk perkembangan industri berteknologi tingginya di PSI, iaitu Green Tech Park.
Projek penambakan PSI juga akan mewujudkan tanah untuk pembangunan komersial dan perumahan, termasuk rumah mampu milik, dan destinasi pelancongan baru.
PSI akan mewujudkan lebih 220,000 pekerjaan dan menyumbangkan impak positif KDNK sebanyak RM1.1 trilion serta pelaburan sebanyak RM74.7 billion kepada ekonomi Pulau Pinang dan Malaysia.
“Mouse over” untuk maklumat lanjut
Untuk memperolehi reka bentuk yang menepati aspirasi dan visi Pulau Pinang, MDC telah dilancarkan pada bulan November 2019 untuk menarik bakat terbaik dalam kalangan perancang bandar dan arkitek dari Malaysia dan luar negara untuk mereka bentuk pembangunan PSI.
MDC telah menarik 124 penyertaan. Pada bulan Ogos 2020, firma arkitek Denmark, Bjarke Ingels Group (BIG) telah dilantik sebagai pereka pelan induk utama projek Penang South Islands. Rakan sekutu tempatan BIG di Malaysia dalam MDC adalah Hijjas Architects & Planners.
Selaras dengan visi Penang2030, BIG telah mencadangkan pembangunan sebuah destinasi antarabangsa yang menggalakkan perkembangan ekonomi dan budaya tempatan secara lestari. Konsep pembangunan PSI juga akan memberi penekanan kepada tahap kebolehhidupan, kelestarian alan sekitar, dan keterangkuman sosial serta ekonomi.
Pengasas dan pengarah kreatif BIG, Bjarke Ingels berkata kejayaan BIG dipilih sebagai pereka pelan induk utama projek PSI merupakan satu penghormatan besar bagi pihaknya.
“Kami telah menetapkan standard yang setinggi mungkin dalam membayangkan sebuah kepulauan baru yang mempunyai kepelbagaian budaya dan biologi yang lebih tinggi daripada pembangunan sebelum ini,” kata beliau.
Mendukung Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Visi Penang2030 & Prinsip ESG
Selaras dengan visi Penang2030, Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG), nasihat Panel Antara Kerajaan Tentang Perubahan Iklim (IPCC), dan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF), pembangunan Penang South Island (PSI) akan mengamalkan prinsip-prinsip ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus) untuk menjadikan ekonomi Pulau Pinang lebih hijau, inklusif dan lestari.
Green Tech Park di Pulau A yang seluas 700 ekar akan memperkasakan lagi ekosistem sektor elektrik dan elektrikal (E & E) di FIZ Bayan Lepas dengan mewujudkan tanah perindustrian baru untuk syarikat multinasional dalam sektor teknologi tinggi dan pembekal mereka mengembangkan operasi mereka ke rantau ini.
Secara keseluruhannya, tahap kebolehhidupan juga akan ditambahbaik dengan adanya infrastruktur pengangkutan bertaraf dunia, taman hijau, kawasan pesisir pantai yang meriah, dan amalan-amalan mesra alam.
Pembangunan Penang South Island (PSI) akan memperuntukkan 17.6% (405 ekar) tanah Silicon Island untuk mewujudkan taman awam, terusan air, tanah bencah (wetlands), dataran banjir (floodplain) dan bioswales untuk memperkasakan kepelbagaian bio, mencegah banjir dan menurunkan suhu sebanyak 1 hingga 2 darjah Celsius.
Central Canal, terusan utama yang panjangnya 7km, akan membolehkan pengangkutan air seperti teksi air. Pengangkutan mesra alam seperti trem dan bas elektrik juga akan diperkenalkan, selain satu rangkaian laluan basikal dan pejalan kaki berjarak 110km.
Berdasarkan nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara untuk mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 40%, pembangunan PSI telah menetapkan matlamat untuk mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 45% melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif hijau.
Untuk mencapai matlamat ini, inisiatif-inisiatif hijau yang dilaksanakan akan menyasarkan:
• Penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 100% di Green Tech Park
• Pengurangan pengeluaran karbon melalui perancangan bandar yang lestari, perkongsian kemudahan, reka bentuk responsif iklim dan ciri-ciri hijau lain
• Pengurangan pengeluaran karbon melalui perancangan pengangkutan bersepadu yang mendahulukan penggunaan basikal and mobiliti hijau untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam daripada 5% kepada 70%.
• Pengurangan penggunaan tenaga tidak boleh diperbaharui melalui pembinaan bangunan tenaga amat rendah (super low energy buildings) yang dilengkapi sistem penyejukan yang cekap dan ciri-ciri pintar serta menggunakan tenaga boleh diperbaharui.
• Pengurangan 34% dalam permintaan air mentah melalui penggunaan loji rawatan air, penuaian air hujan dan alat penjimatan air
• Pengurangan sisa di tapak pelupusan sebanyak 63.5% melalui program kitar semula, dan proses pengomposan serta penguraian makanan
Inisiatif-inisiatif ini adalah selaras dengan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-13 yang menekankan usaha yang lebih giat untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau dan mempertingkatkan kedayatahanan untuk menghadapi perubahan iklim.
Pada Februari 2023, reka bentuk pembangunan PSI yang hijau telah menerima pengiktirafan “5 diamond” daripada Perbadanan Teknologi dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) di Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon. Pengiktirafan tersebut adakah sebahagian daripada program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (Low Carbon Cities 2030 Challenge yang menggalakkan pembangunan bandar yang rendah karbon.
Pembangunan Penang South Island juga merangkumi Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) yang memberi perlindungan kepada kawasan pesisir pantai, menyerap karbon, dan mewujudkan habitat baru untuk hidupan laut bagi menggalakkan kelestarian industri perikanan.
PEOM yang bertujuan untuk meminimakan kesan projek terhadap persekitaran laut juga digariskan dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA). Program-program di bawah PEOM adalah termasuk:
• penanaman pokok bakau di lokasi mengikut nasihat Jabatan Perhutanan;
• pelabuhan tukun tiruan berhampiran Pulau Kendi dan pelabuhan unjam;
• pelepasan benih ikan dan udang;
• pembinaan garis pantai (shoreline) mesra alam di perimeter pulau buatan untuk menggalakkan biodiversiti, pertumbuhan habitat mikro, dan eko-pelancongan;
• peruntukan dana bagi penyelidikan ekologi laut, perikanan, penyu, tukun, dan lain-lain.
Sejak tahun 2016, sebanyak 1,500 pokok bakau telah ditanam di bawah pembangunan PSI untuk mewujudkan habitat baru untuk hidupan laut.
Projek PSI juga bercadang untuk menanam 22,300 pokok bakau di Silicon Island yang akan memperuntukkan 20 ekar tanah untuk ditanam dengan pokok pesisiran pantai untuk mewujudkan habitat baru dan kawasan nurseri untuk ikan dan udang. Hutan bakau sepanjang 4km ini juga akan menjadi zon rekreasi untuk orang awam.
Laporan Khas mengenai Lautan dan Kriosfera oleh Panel Antara Kerajaan Tentang Perubahan Iklim (IPCC) pada tahun 2019 telah mendapati paras air laut dunia mungkin meningkat antara 0.29m dan 1.1m menjelang penghujung tahun 2100.
Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) juga menjangka paras air laut di Pulau Pinang akan meningkat sebanyak 0.68m menjelang tahun 2100. Maka, Penang South Island (PSI) akan direka bentuk untuk menghadapi perubahan iklim.
Dengan mengambil kira ramalan kenaikan paras air laut oleh IPCC, perimeter pulau PSI akan mempunyai platform dengan ketinggian minimum sebanyak 3m di atas paras laut untuk melindungi pulau tersebut daripada kenaikan paras air laut, dan fenomena pertembungan air pasang besar dan pusuan ribut (storm surge). Ketinggian platform di bahagian lain pulau akan melebihi 3m (hampir melebihi 5m di atas paras laut) untuk membolehkan sistem saliran menangani peningkatan intensiti hujan sebanyak 30%.
Untuk pengurusan aliran air hujan, PSI juga akan menggunakan reka bentuk biodiversiti dalam bentuk rangkaian biru-hijau yang akan mengalirkan air hujan ke dalam saluran keluar di lokasi-lokasi strategik untuk dilepaskan ke laut. PSI juga akan dibangunkan sebagai “bandar span” yang menggunakan seni bina landskap dan alam sekitar untuk menyerap dan menyimpan air hujan, membolehkan aliran masuk air bawah tanah (groundwater recharge) dan mencegah banjir.
Kawasan penampan pesisiran pantai (coastal buffer) PSI juga akan direka bentuk untuk membolehkan pelaksanaan langkah-langkah mitigasi tambahan yang sesuai secara progresif untuk menangani perubahan iklim pada masa depan. Untuk tujuan ini, kawasan penampan pesisiran pantai PSI akan mempunyai kelebaran minimum sebanyak 40m.
Sebagai persediaan untuk menghadapi kejadian kenaikan paras air laut, semua jalan air utama di pulau PSI akan berfungsi untuk menyimpan air dan mencegah banjir. Kawasan penampan yang disediakan di pesisiran pantai juga akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan air melalui pembinaan sistem “polder” dan “dune”.
Sistem pam dan pintu air yang penting dalam menangani air larian ribut juga boleh dilaksanakan dan dinaik taraf untuk memperkasakan langkah pencegahan banjir di masa depan.
PROSES PENAMBAKAN
“Hydraulic sand fill” adalah kaedah yang paling biasa digunakan untuk tujuan penambakan. Secara umum, kaedah ini dilaksanakan bersama penggunaan PVD (longkang pasang siap menegak) dan surcaj untuk proses rawatan tanah.
Kerja penambakan akan menggunakan 85% bahan pengisian yang terdiri daripada pasir dan batuan. Kajian sedang dijalankan untuk melihat sama ada bahan pengorekan juga boleh digunakan sebagai bahan pengisian di lokasi tertentu di tapak PSI.
Penambakan pulau pertama PSI dijangka mengambil tempoh sembilan tahun.
Projek Penang South Island (PSI) akan menggunakan pasir yang diambil dari beberapa tapak dalam perairan persekutuan Perak dan Selangor. Pertimbangan ini dibuat untuk meminimakan kesan terhadap persekitaran dan logistik.
Semua tapak perlombongan pasir untuk projek ini perlu ada kelulusan Laporan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) sebelum kerja pengambilan pasir dibenarkan bermula. Pihak Jabatan Alam Sekitar tidak akan meluluskan aktiviti pengambilan pasir yang mendatangkan kesan yang ketara terhadap alam sekitar.
Kapal korek jenis “Trailer Suction Sand Dredger” akan digunakan untuk kerja pengambilan pasir. Aktiviti pengambilan pasir juga akan dihadkan di tapak yang dibenarkan sahaja untuk memastikan laut tidak terjejas.
Tapak sumber pasir yang terdekat dengan mana-mana pesisir pantai adalah berjarak 20 batu nautika (lebih kurang 37km). Kawasan ini berada dalam zon penangkapan ikan bagi kapal pukat tunda (Zon C) yang berjauhan daripada kawasan penangkapan ikan nelayan pesisir pantai.
Kesan aktiviti pengambilan pasir terhadap kapal pukat tunda dijangka minimum memandangkan kawasan penangkapan ikan Zon C adalah sangat luas.
Semasa proses penambakan, bahan buangan pengorekan akan dilupuskan di sebuah tapak yang terletak di utara Muka Head yang telah diluluskan oleh Jabatan Laut untuk tujuan tersebut.
Kapal yang menghantar bahan buangan pengorekan tersebut wajib dilengkapi dengan Sistem Pengurusan Pengorekan dan Lambakan (DDMS) yang boleh mengesan kedudukan dan pergerakan vesel tersebut untuk mencegah pembuangan secara haram.
Pelaksanaan langkah-langkah mitigasi berdasarkan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), dan pematuhan amalan terbaik boleh meminimakan kesan proses penambakan untuk memastikan pembangunan projek dijalankan dengan lestari.
Langkah kawalan pencemaran yang akan diambil di tapak penambakan adalah termasuk:
• pemantauan kualiti air
• pemantauan kekeruhan secara langsung (real time)
• pemantauan kualiti udara
• pemantauan bunyi dan getaran
• pengurusan sisa dan bahan pencemar
• pembuangan bahan pengorekan
Kualiti sedimen akan dipantau di tapak pengorekan. Laporan analisis akan dikemukakan kepada JAS Pulau Pinang setiap suku tahun.
Tirai kelodak akan dipasang untuk menanda kawasan penambakan dan berfungsi sebagai tabir yang memerangkap sedimen and mengurangkan kekeruhan air semasa proses penambakan untuk mencegah pencemaran air.
Benteng atau ban penahan yang berfungsi sebaik daik akan dibina di sekeliling tapak penambakan untuk membendung air, menstabilkan tanah dan mencegah pencemaran air semasa proses pengisian pasir.
Pasir yang dihantar dari tapak pengambilan pasir akan dibawa ke tapak pengendalian pasir (sand rehandling). Dari situ, pasir akan dipam ke tapak penambakan melalui paip secara terkawal.
Alat pemantauan kekeruhan juga digunakan untuk memantau tahap kekeruhan air secara berterusan semasa proses pencemaran. Pemantauan secara langsung (real-time) membolehkan tindakan pemulihan diambil dengan segera sekiranya tahap kekeruhan melebihi had yang dibenarkan.
Untuk mencegah pencemaran udara, pembakaran terbuka adalah dilarang di tapak projek and kuarters pekerja, dan semua jentera mesti diselenggara dengan baik.
Langkah-langkah akan diambil untuk memastikan penghasilan bunyi dan getaran akibat aktiviti pembinaan tidak melebih had yang dibenarkan. Jentera dan peralatan akan dipasang dengan peredam bunyi ekzos, diselenggara dengan baik, diletakkan di belakang penghalang atau jauh daripada lokasi yang sensitif.
Waktu operasi yang melibatkan aktiviti yang bising seperti menanam cerucuk (piling) dan pembinaan ban penahan akan dihadkan dari 7 pagi hingga 9 malam mengikut kesesuaian.
Sisa dan bahan pencemar akan diuruskan dengan baik dan dilupuskan di tapak yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Penyimpanan minyak dan bahan kimia di atas kapal mesti mematuhi amalan pengurusan terbaik. Satu pelan tindakan kecemasan mesti disediakan untuk menguruskan dan mencegah kejadian tumpahan minyak. JAS mesti dimaklumkan sekiranya kejadian tersebut berlaku.
Air pemberat kapal dan bilga, sisa minyak dan lain-lain sisa terjadual akan diuruskan mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Air dari tandas dan dapur kapal mesti disimpan dan dirawat dalam tangki septik dan tangki air kelabu. Pelupusan secara terus ke dalam laut adalah dilarang.
Pekerja akan ditempatkan di CLQ yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan dan persekutuan untuk memastikan pekerja diberi kemudahan tempat tinggal yang sesuai dan mengelakkan kejadian gangguan sosial.
Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa lokasi yang mempunyai kemudahan sedia ada yang sesuai untuk digunakan sebagai CLQ.
CLQ ini akan mempunyai kemudahan tempat tinggal yang sesuai seperti bilik tidur, bekalan air dan elektrik, dapur, internet, kedai runcit, klinik, kemudahan sanitasi, langkah mencegah penularan Covid-19 dan kemudahan kuarantin.
Kerajaan Negeri juga akan memastikan CLQ yang ditubuhkan mematuhi syarat-syarat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Tenaga Kerja.
MANFAAT NELAYAN
Nelayan selatan Pulau Pinang yang berjiran dengan pembangunan Penang South Islands (PSI) bakal menikmati pelbagai manfaat semasa penambakan. Apabila PSI dibangunkan, mereka akan menikmati limpahan ekonomi dan peluang-peluang yang akan mengubah hidup mereka, serta masa depan anak dan cucu mereka.
Dari permulaan projek, mereka akan menerima manfaat Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang akan memperkasakan komuniti tersebut. Selain itu, SIMP akan melaksanakan program pengimbangan (offset) ekologi yang akan mewujudkan habitat baru bagi hidupan laut.
Dengan peruntukan sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, skim SIMP akan menawarkan pembayaran sagu hati, pembinaan jeti nelayan moden yang dilengkapi kemudahan, dan alur navigasi yang membolehkan nelayan ke laut 24 jam sehari tanpa mengira air pasang atau surut.
Tekong dari unit nelayan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul akan diberi bantuan dalam bentuk bot dan enjin.
Jeti pertama yang akan dibina di Permatang Tepi Laut merupakan jeti serba guna yang akan mempunyai kelengkapan seperti stor, kemudahan pemprosesan ais, gerai, restoran, kemudahan pelancong dan tempat bersiar-siar di tepi sungai yang akan menarik pelancong, menjana peluang perniagaan serta pendapatan tambahan bagi masyarakat tempatan.
Selain itu, peluang pekerjaan dalam bidang seperti perkhidmatan pengangkutan bot, pembinaan jeti, dan penghantaran makanan dan barang keperluan ke tapak pembinaan, dan lain-lain boleh menawarkan pendapatan stabil kepada nelayan dan komuniti setempat.
Sebelum penambakan bermula lagi, terdapat nelayan yang sudah mendapat pekerjaan baru dalam projek PSI yang memberikan mereka pendapatan bulanan, manfaat perlindungan keselamatan sosial serta kehidupan yang lebih stabil.
Melalui SIMP, program-program pemerkasaan, latihan dan kemahiran juga akan ditawarkan kepada nelayan dan anak-anak mereka yang berminat bekerja dalam pembangunan Penang South Reclamation (PSI) dan dalam bidang-bidang lain. Program yang ditawarkan adalah seperti kursus jurumudi, pembuatan bot, penyelenggaraan enjin bot dan sebagainya.
Anak-anak nelayan yang masih bersekolah akan diberi kelas tuisyen percuma dan peluang pendidikan lain untuk meningkatkan prestasi akademik dan taraf kelayakan mereka. Mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti atau kolej dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan juga akan menerima insentif kewangan.
Nelayan yang menghadapi isu perumahan dan belum memiliki rumah sendiri akan diberi keutamaan oleh Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam skim-skim pemilikan rumah.
Pelaksanaan SIMP akan diselaraskan di bawah Program Penglibatan Komuniti yang dikenali dengan nama singkatan PELITAKU. Program ini diuruskan oleh Jawatankuasa Taskforce Nelayan yang dipengerusi oleh Timbalan Ketua Menteri 1 YB Dato Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, dan akan dilaksanakan oleh Penang Infrastructure Corporation, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN).
PELITAKU akan melibatkan Kerajaan Negeri, komuniti setempat, nelayan, agensi-agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan lain-lain dalam melaksanakan SIMP dan pelan induk pengimbangan ekologi (ecology offset master plan) di samping mematuhi prinsip-prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus).
PELITAKU dilaksanakan di bawah empat teras:
• Teras 1: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan alam sekitar
• Teras 2: Program pendidikan, latihan dan peningkatan kemahiran
• Teras 3: Peluang pekerjaan
• Teras 4: Peluang perniagaan
Melalui PELITAKU, Kerajaan Negeri menggalakkan ahli komunti Pulau Pinang Selatan, pihak swasta dan awam mengambil bahagian dan peluang-peluang yang diwujudkan dalam pembangunan Penang South Islands (PSI).
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menubuhkan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) dengan kerjasama SRS Consortium, di Permatang Damar Laut (2016), Gertak Sanggul (2017) dan Sungai Batu (2021).
PPSN adalah pusat sehenti (one-stop centre) yang menyampaikan maklumat sahih mengenai projek PSI dan menganjurkan program sosial yang memanfaatkan masyarakat setempat.
PERANAN PPSN:
• Menjadi pengantara antara kerajaan negeri dan rakyat;
• Mengenalpasti dan membantu kerajaan menangani isu yang dihadapi nelayan selatan pulau dan keperluan mereka;
• Menyediakan kelas tuisyen bagi anak-anak tempatan yang menduduki peperiksaan awam kebangsaan;
• Menyediakan kursus teknikal dan latihan jangka masa pendek dan panjang untuk nelayan dan masyarakat tempatan;
• Menjadi pusat pendaftaran pekerjaan bagi masyarakat tempatan yang berminat akan peluang pekerjaan yang bakal ditawarkan semasa penambakan pulau;
• Menguruskan lawatan tapak berkaitan dengan PSI;
• Membantu melaksanakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar ;
• Menguruskan pelaksanaan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP);
• Menguruskan aduan dan maklum balas nelayan melalui sistem pengurusan aduan PANTAS
• Menyediakan ruang untuk memupuk persahabatan dan perpaduan demi kepentingan bersama
Alamat
PPSN Permatang Damar Laut (kerja pembinaan sedang berjalan)
Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan, Permatang Damar Laut, 11950 Bayan Lepas
PPSN Gertak Sanggul
Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan, Jalan Gertak Sanggul, 11910 Gertak Sanggul
PPSN Sungai Batu
Pesisir Pantai Sungai Batu, bersebelahan Lot 1018, Mukim 11, 11000 Bayan Lepas
Waktu Pejabat
9pg – 5ptg setiap Isnin hingga Jumaat, kecuali cuti umum
Hotline
1800-88-6393
The Penang South Islands (PSI) is the state government's strategic transformative development plan that will reconstruct the sleepy southern coast into a Smart City and word-class tourist destination.
Strategically located near the Penang International Airport, the Second Penang Bridge, the Bayan Lepas free industrial zone (FIZ), education institutions Universiti Sains Malaysia, the Collaborative Research in Engineering, Science and Technology Centre (CREST), and the Penang Skills Development Centre (PSDC)...
View MoreSebagai sebuah pelan transformasi pembangunan strategik, Penang South Islands (PSI) akan membawa perubahan kepada selatan Pulau Pinang, dan menjadikan kawasan tersebut sebuah bandar raya pintar dan destinasi pelaburan serta pelancongan bertaraf dunia.
Dengan lokasi strategiknya yang berhampiran dengan Taman Perindustrian Bebas Bayan Lepas yang telah mewujudkan sebuah ekosistem yang mempunyai 300 syarikat multinasional dan 3,000 perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta infrastruktur yang baik; PSI akan menarik pelabur baru dan mengekalkan pelabur sedia ada yang ingin mengembangkan operasi mereka di sebuah lokasi yang mempunyai persekitaran yang sesuai untuk hidup dan bekerja.
Baca LagiGEORGE TOWN: Works on the first project under the state's highly ambitious Penang Transport Master Plan (PTMP) — the Tun Dr Lim Chong Eu Expressway - Air Itam bypass — have started and achieved eight per cent progress.
The 6km bypass, to be built at a cost of RM851 million, is expected to be completed in 2025.
Read More