
14 Mei Tukun tiruan, unjam lindungi ekosistem marin Pulau Kendi
Diterbitkan oleh Sinar Harian • 21/04/2025

Mohamad (empat dari kanan) dan Farizan (tiga dari kanan) menunjukkan tukun tiruan yang akan ditempatkan di perairan Pulau Kendi.
GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang meneruskan komitmen melindungi ekosistem marin dengan menempatkan struktur tukun tiruan dan unjam di perairan berhampiran Pulau Kendi di sini.
Inisiatif tersebut dilaksanakan di bawah Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) sebagai sebahagian usaha menyeluruh untuk memelihara kawasan marin di selatan Pulau Pinang yang terlibat dengan pembangunan projek Pulau Silikon.
Program berkenaan hasil kerjasama antara kerajaan negeri melalui Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC), pemaju projek, Silicon Island Development Sdn Bhd (SIDSB) serta pakar penyelidikan dari Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM).
Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Darus berkata, penempatan struktur tukun tiruan dan unjam tersebut mampu mewujudkan habitat baharu untuk hidupan marin selain menjadi antara langkah awal strategi pemuliharaan lebih menyeluruh di bawah PEOM.
“Ia dirancang secara teliti oleh pakar dan disokong oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Institut Penyelidikan Perikanan serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Kami yakin pendekatan saintifik dan menyeluruh ini akan membawa impak positif terhadap ekosistem laut,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Program Penempatan Tukun Tiruan dan Unjam di Gat Lebuh Macallum di sini pada Isnin.

Mohamad (lima dari kiri) merasmikan Majlis Perasmian Program Penempatan Tukun Tiruan dan Unjam di Gat Lebuh Macallum, GEORGE TOWN pada Isnin.
Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I yang juga Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, Farizan berkata, daripada segi pelaksanaan, konfigurasi yang akan digunakan ialah nisbah satu tukun besar kepada lapan tukun kecil, membentuk satu set tukun.
“Untuk fasa ini, dua set tukun akan dilabuhkan menjadikan jumlah keseluruhan 16 tukun kecil seberat 9 tan setiap satu dan 2 tukun besar seberat 21.1 tan.
“Tukun-tukun ini akan ditempatkan di kawasan perairan berdekatan Pulau Kendi yang telah dikenal pasti sebagai lokasi yang sesuai berdasarkan kajian terperinci CEMACS,” ujarnya.
Menurut beliau, lokasi tersebut dipilih berdasarkan empat kriteria utama iaitu jenis dasar laut yang sesuai bagi kestabilan struktur, keselarasan dengan penempatan tukun sedia ada untuk mengoptimumkan liputan dan fungsi ekologi.
“Selain itu, kriteria lain adalah jarak daripada terumbu semula jadi bagi mempercepatkan proses koloni, pertumbuhan komuniti marin, kedalaman serta keadaan persekitaran yang sesuai untuk mengelakkan kawasan curam atau trafik marin tinggi serta memastikan kualiti air yang baik.
“Selain tukun tiruan, dua unjam juga akan dilabuhkan di tapak bangkai ‘Kapal Taiwan’ di sebelah barat Pulau Kendi,” katanya.
Tambah Farizan, lokasi itu dipilih kerana ia merupakan kawasan yang sering dikunjungi nelayan kawasan Selatan Pulau Pinang.
“Ia juga terlindung daripada gangguan bot pukat tunda untuk menjamin keselamatan struktur dan sifat ekstratif unjam yang tidak sesuai diletakkan berdekatan Pulau Kendi bagi mengelak gangguan terhadap usaha pemulihan sumber perikanan di situ,” katanya.
Farizan menambah, setakat ini sebanyak 23,200 pokok bakau telah ditanam.
“Selain itu, sebuah geran penyelidikan turut disalurkan kepada CEMACS bagi menjalankan kajian perekrutan karang sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan terumbu karang di sekitar Pulau Kendi,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah CEMACS, Profesor Datuk Dr Aileen Tan berkata, pasukannya akan menjalankan pemantauan dan penilaian awal terhadap kawasan penempatan struktur tersebut bagi menilai keberkesanannya.
“Pasukan kami akan menganalisa data secara berterusan daripada percubaan rintis ini dan membentangkan hasil kajian kepada kerajaan negeri termasuk cadangan penambahbaikan jika perlu.
“CEMACS turut mengesyorkan pemantauan dan penyelenggaraan jangka panjang, khususnya dalam tempoh lima tahun pertama, bagi memastikan usaha pemulihan ini memberi impak maksimum,” ujarnya.
No Comments