Latest News
PTMP Map
PSI
 

Tiada visi jika bantah projek PIP, PSI

Tiada visi jika bantah projek PIP, PSI

Diterbitkan oleh Utusan Malaysia • 27/05/2021 • 02:27pm

GEORGETOWN: Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Pinang menyifatkan pihak yang membantah dua projek negeri iaitu Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) sebagai tiada visi dan hala tuju.

 

Ini kerana kedua-dua projek berkenaan dapat mengekalkan pertumbuhan sosioekonomi negeri pada masa ini dan juga pada masa depan.

 

Dalam kenyataan di sini hari ini, mereka memaklumkan, PTMP dan PSI memainkan peranan sebagai pemangkin untuk membangunkan Pulau Pinang menjadi negeri yang lestari bertaraf dunia dengan pengangguran rendah, pendapatan tinggi, dan taraf sosial yang tinggi.

 

Malah, jelasnya, PTMP dan PSI menjadi semakin penting ketika krisis Covid-19 kini yang mampu berperanan memacu pemulihan untuk Pulau Pinang dengan menyuntik pelaburan ke dalam ekonomi.

 

Selain itu katanya, projek tersebut juga dapat menjana peluang pekerjaan baharu dan menjadi pemangkin pertumbuhan serta aliran pelaburan masa depan.

 

Jelasnya, antara yang paling awal mendapat keuntungan langsung dari PSI ialah golongan nelayan di perairan selatan negeri ini.

 

“Mereka diberikan saguhati ex-gratia, bot dan enjin baharu, laluan baharu turun ke laut, peluang pekerjaan, latihan, kemudahan jeti baharu dan kemudahan komersial.

 

“Sebilangan pekerja yang bekerja untuk projek tersebut sekarang sebenarnya adalah bekas nelayan sepenuh masa yang kini memperoleh pendapatan yang lebih stabil dan kehidupan yang lebih baik,” jelasnya.

 

Projek PIP dan tambak laut di selatan negeri ini (PSR) bagi membentuk tiga buah pulau buatan terus mendapat bantahan pelbagai khususnya parti pembangkang di negeri ini serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar.

 

Tambah kenyataan itu, Projek PSI akan dibangunkan dengan memenuhi piawaian persekitaran, sosial, dan tadbir urus global (ESG) sebagai pembangunan lestari yang menarik minat syarikat multinasional dengan kesan positif projek itu melangkaui kesan negatif.

 

“Namun, parti pembangkang negeri dan Penang Forum terus mengulangi kesan negatif projek ini tanpa memberikan penyelesaian alternatif yang lebih baik untuk Pulau Pinang seperti PTMP dan PSI,” katanya. – UTUSAN ONLINE

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.