Latest News
PTMP Map
PSI
 

Terowong: Pulau Pinang tunggu ulasan bertulis SPPP, PPSB

Terowong: Pulau Pinang tunggu ulasan bertulis SPPP, PPSB

Published by Utusan Malaysia • 11/03/2022 • 2:58 pm

CHOW Kon Yeow (tengah) dalam sidang akhbar pengumuman penganjuran Penang Harmony Week 2022 di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membuat keputusan berkaitan projek terowong dasar laut selepas menerima ulasan bertulis mengenai projek itu daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).

 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini memandangkan terowong itu akan dibina di bawah dasar laut yang melibatkan pergerakan kapal di perairan Pulau Pinang sekali gus memerlukan ulasan bertulis daripada kedua-dua agensi terbabit.

 

“Perunding telah membentangkan penemuan kajian kebolehlaksanaan ketika Mesyuarat Exco pada Februari lalu dan penemuannya adalah projek terowong boleh dilaksanakan tetapi tertakluk kepada pematuhan pelbagai syarat teknikal.

 

“Mesyuarat Exco telah meminta Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari dan Penang Infrastructure Corporation untuk mendapatkan ulasan bertulis daripada SPPP dan PPSB,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

Terdahulu, Kon Yeow mengumumkan mengenai penganjuran Penang Harmony Week 2022, yang akan bermula pada 14 hingga 21 Mac ini.

 

Projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan salah satu projek yang terkandung dalam Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.

 

Sebelum ini, dilaporkan syarikat konsesi, Consortium Zenith Construction (CZC), telah menyelesaikan kajian kebolehlaksanaan pada penghujung 2020 selepas ditangguhkan selama empat tahun dan menyerahkannya kepada kerajaan negeri pada Disember tahun sama.

 

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut itu bermula pada Disember 2014 dan sepatutnya siap pada 2016 tetapi tertangguh atas pelbagai faktor.

 

Menurut Kon Yeow, kedua-dua agensi berkenaan mempunyai pertikaian berhubung pelaksanaan projek tersebut dan pihaknya berharap ulasan daripada SPPP dan PPSB dapat diperoleh dengan segera.

 

“Apabila ulasan berkenaan diperoleh barulah kita akan membuat keputusan berhubung pelaksanaan projek terowong dasar laut ini,” katanya. – UTUSAN
No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!