29 Dis Terowong dasar laut dipertimbang berdasarkan pelan induk NBCT oleh SPPP
Published by Buletin Mutiara• 23/11/2023
GEORGE TOWN – Pelaksanaan projek Terowong Dasar Laut akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri setelah Pelan Induk Pembesaran North Butterworth Container Terminal (NBCT) oleh pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dimuktamadkan pada Disember 2023.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff pada sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini tadi pagi.
“Berdasarkan ulasan pihak SPPP yang diterima oleh Kerajaan Negeri, kelebaran kawasan navigasi kapal di kawasan perairan di sebelah utara pelabuhan selebar 2.2 kilometer perlu dikekalkan bagi memastikan ruang navigasi yang selamat untuk pergerakan kapal.
“Oleh yang demikian, antara pertimbangan projek Terowong Dasar Laut ini adalah kedudukan jajaran terowong agar tidak menjadi gangguan dan halangan kepada pemanjangan dermaga tambahan,” maklum Zairil yang juga ADUN Tanjong Bungah.
Bercakap mengenai Penang South Island (PSI), Zairil menyatakan Kerajaan Negeri perlu mematuhi 71 syarat yang dikenakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) meliputi Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk manfaat nelayan dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM).
“PEOM yang disyorkan dalam laporan EIA sedang dilaksanakan untuk membantu mewujudkan habitat baharu hidupan laut dan meningkatkan stok ikan untuk menggalakkan kelestarian sektor perikanan.
“Kerajaan Negeri yakin pelaksanaan PEOM akan membuahkan hasil yang baik untuk kebaikan semua, terutamanya komuniti nelayan yang juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan program penanaman bakau dan pelabuhan tukun tiruan dan unjam,” katanya lagi.
Mengulas mengenai isu lumpur membabitkan pembinaan Jalan Pintasan Air Itam-Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Zairil berkata bahawa pihak kontraktor telah melaksanakan langkahlangkah mitigasi bagi menangani masalah tersebut.
“Bagi mengurangkan impak pula, pemasangan beg pasir (sandbag) bagi mengawal dan menapis air larian permukaan yang mengandungi pasir dan kelodak turut dilaksanakan dengan pemantauan oleh Pegawai Alam Sekitar.
“Bagi mengelakkan kejadian berulang, dalam tempoh jangka masa sederhana, pihak kontraktor akan menambah baik pelaksanaan Pelan Kawalan Hakisan Tanah dan Sedimen (ESCP) dan Best Management Practices (BMPs) melibatkan penyelenggaraan yang berterusan.
“Selain itu, kerja-kerja membaik pulih dan membesarkan kolam kelodak di tapak turut akan dilaksanakan termasuk penambahan perangkap kelodak di kawasan yang berisiko tinggi untuk limpahan air lumpur.
“Pada masa sama, pemantauan oleh pihak berkuasa iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPSPP) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang secara berkala turut dilaksanakan melalui Ops Lumpur,” katanya bagi menjawab pertanyaan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.
No Comments