Latest News
PTMP Map
PSI
 

Tambak laut: K’jaan beri 18 nasihat pada P Pinang

Tambak laut: K’jaan beri 18 nasihat pada P Pinang

Diterbitkan oleh Malaysiakini • 28/10/2019 • 01:17pm

PARLIMEN | Majlis Perancangan Fizikal Negara hanya boleh memberikan nasihat yang perlu dipatuhi namun kelulusan dibuat kerajaan negeri, maklum menteri wilayah.

 

Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) mengemukakan 18 nasihat kepada kerajaan negeri berhubung projek pelan induk tambakan laut selatan Pulau Pinang (PSR).

 

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berkata MPFN hanya boleh memberikan nasihat yang perlu dipatuhi, namun sebarang kelulusan dibuat oleh kerajaan negeri.

 

“MPFN tidak buat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas projek tersebut, tapi menasihati kerajaan negeri dengan mengemukakan 18 nasihat serta ulasan.

 

“Kerajaan negeri dinasihatkan untuk ada rundingan dengan masyarakat setempat dan pihak yang terjejas,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Khalid berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Reezal Merican Naina Merican (BN- Kepala Batas).

 

Terdahulu, Reezal meminta menteri menyatakan status dan keputusan terkini MPFN berkenaan pelaksanaan PSR.

 

Pada 9 September lalu, media melaporkan kerajaan Pulau Pinang hanya akan mengadakan rundingan dengan pihak-pihak yang terjejas dengan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

 

Sebaliknya, beliau berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain boleh menyuarakan pendapat mereka dan kerajaan negeri akan ambil maklum pandangan yang diberikan.

 

“Kita jumpa dengan pihak yang terlibat, itu lebih baik. Pendekatan kita adalah untuk menangani pihak berkepentingan yang terjejas. Rundingan kita, perbincangan dengan pihak berkepentingan. NGO lain boleh menyuarakan pendapat, kami ambil maklum.

 

“Exco Kerajaan Negeri Dr Afif Bahardin akan mengatur perjumpaan dengan persatuan nelayan selepas pakej saguhati dibincangkan seperti yang diumumkan sebelum ini” kata Chow.

 

Sementara itu, Khalid berkata antara nasihat yang dikemukakan adalah kerajaan negeri perlu memastikan sumber pendapatan nelayan tidak terjejas dengan pelaksaan projek berkenaan.

 

Katanya, kerajaan negeri memberi jaminan untuk mematuhi segala nasihat yang dikemukakan oleh MPFN.

 

Jelas Khalid, 18 nasihat yang dikemukakan MPFN adalah berdasarkan kepada pelan konsep dikemukakan bagi tujuan berkenaan.

 

“18 nasihat dikemukakan telah diterima dengan baik oleh kerajaan Pulau Pinang, mereka janji akan patuhi segala syarat dan pihak kerajaan Pulau Pinang beri jaminan akan ambil kira dalam pembangunan akan datang.

 

“Apa yang diberikan nasihat adalah berdasarkan kepada pelan konsep yang dikemukakan. Bila hendak laksanakan (mereka) perlu bagi pelan menyeluruh,” katanya.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!