06 Mei Tambak laut beri manfaat besar kepada nelayan, masa depan Pulau Pinang
Published by Utasan Malaysia • 27/4/2023
Antara nelayan kumpulan pertama yang diberi pengecualian awal untuk menerima bantuan bot dan enjin di bawah skim SIMP yang merupakan antara syarat utama dalam pelan projek PSI.
GEORGE TOWN: Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas Pulau Pinang percaya kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk projek Penang South Islands (PSI) sangat dinanti-nantikan oleh nelayan ‘tulen’ khususnya yang berada di selatan Pulau Pinang.
Setiausahanya, Fajinah Jaafar berkata, rata-rata nelayan tersebut juga tidak sabar melihat projek berkenaan dimulakan sekali gus berpeluang menikmati lebih banyak limpahan manfaat daripada Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).
Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang tidak bergantung kepada kerja nelayan mencari nafkah kehidupan supaya tidak ‘menabur pasir ke dalam periuk nasi’ nelayan tulen dengan membantah projek tersebut.
“Usahlah pertikai keputusan yang telah dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana pegawai-pegawai yang terlibat (dalam meluluskan EIA untuk PSI) telah bertindak dengan profesional dalam memberikan ruang secukupnya kepada semua agensi terlibat untuk mengutarakan pandangan mereka.
“Sudah bertahun-tahun kami menunggu projek ini berjalan dan walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan, kami akhirnya dapat tidur dengan lena apabila mendengar pengumuman Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) semalam (berhubung kelulusan EIA untuk projek PSI),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fajinah dalam pada itu turut menyangkal dakwaan Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) yang mendakwa kira-kira 6,000 nelayan membantah projek tersebut sebelum ini.
“Sehingga ke hari ini, mereka tidak mampu menunjukkan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan itu. Mengapa hanya suara persatuan nelayan yang langsung tidak mewakili nelayan tulen diambil kira?
“Hakikatnya, kami telah menyuarakan keluhan yang dihadapi nelayan apabila mereka diketepikan oleh pihak persatuan yang enggan memberi sokongan pembaharuan elaun sara hidup dan subsidi minyak serta sekatan ke atas pembaharuan lesen dan insuran nelayan yang berdaftar dengan skim SIMP di bawah kerajaan negeri. Perbuatan ini tiada bezanya daripada tindakan diktator,” ujarnya.
Tambah Fajinah, sebagai rakyat Pulau Pinang, pihaknya berhak menyuarakan pendapat dan memilih yang terbaik untuk anak dan cucu kerana percaya mereka bakal menerima pelbagai manfaat dan peluang pekerjaan daripada projek berkenaan selepas ini.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kemajuan Nusa Pulau Pinang (Nusa) turut menyokong dan menyambut baik kelulusan EIA untuk PSI selepas mengambil kira manfaat projek tersebut kepada penduduk setempat serta demi pembangunan Pulau Pinang.
Setiausahanya, Norhafiza Huda Idris berkata, melalui projek itu, nelayan setempat berpeluang memperoleh bot percuma dan mengikuti kursus jurumudi selain berupaya menambah pendapatan harian dengan bot lebih besar serta berkuasa tinggi.
“Projek PSI ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan yang berskala besar untuk penduduk setempat dan penduduk sekitar.
“Dalam hal ini, banyak pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi yang mampu memberikan pendapatan yang lumayan dan stabil boleh diwujudkan,” katanya
Pada masa sama, jelas beliau, perniagaan setempat juga akan berkembang pesat seiring dengan pelaksanaan projek itu dan anak-anak tempatan tidak perlu meninggalkan keluarga dan kampung halaman untuk mencari rezeki di bandar-bandar besar. – UTUSAN
No Comments