Latest News
PTMP Map
PSI
 

SIMP: Semua nelayan berdaftar dijangka terima bayaran ex-gratia penuh pertengahan 2024

SIMP: Semua nelayan berdaftar dijangka terima bayaran ex-gratia penuh pertengahan 2024

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) Datuk Seri Farizan Darus

GEORGE TOWN, 16 April (Bernama) – Semua nelayan yang berdaftar untuk skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) di bawah projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) dijangka menerima bayaran ex-gratia sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) Datuk Seri Farizan Darus berkata sehingga kini 100 nelayan yang berdaftar telah menerima bayaran ex-gratia sepenuhnya, manakala 457 nelayan lagi telah menerima 75 peratus daripada jumlah bayaran.

 

“Kami akan terus memproses baki permohonan secara berfasa dan dijangkakan kesemua nelayan berdaftar akan dibayar 100 peratus ex-gratia pada pertengahan tahun ini. Kami juga akan terus melaksanakan inisiatif lain seperti yang dijanjikan dalam SIMP.

 

“Antaranya termasuk bantuan bot yang lebih besar dan enjin yang lebih berkuasa tinggi, latihan peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan dan perniagaan, dan bantuan pendidikan kepada anak-anak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata 96 peratus nelayan yang layak daripada sembilan unit nelayan di kawasan Selatan Pulau Pinang telah mendaftarkan diri untuk SIMP, yang berakhir pada 31 Mac lepas.

 

Sementara itu Farizan berkata kerja-kerja penambakan Pulau Silikon sedan giat dijalankan dan pihak kerajaan negeri mahu memastikan bahawa mata pencarian dan kesejahteraan masyarakat setempat, khususnya nelayan berada dalam keadaan baik.

 

Katanya objektif utama kerajaan negeri adalah mengutamakan keperluan masyarakat tempatan dan mengintegrasikan perspektif mereka ke dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan.

 

“Sebab itulah SIMP dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) adalah sebahagian daripada syarat kelulusan bagi memastikan kebajikan nelayan dan ekosistem marin terpelihara dengan baik,” katanya.

 

— BERNAMA

No Comments

Post A Comment