Latest News
PTMP Map
PSI
 

Sambutan Tahun Baru Cina bersama nelayan dan penduduk kawasan Selatan Pulau Pinang

Sambutan Tahun Baru Cina bersama nelayan dan penduduk kawasan Selatan Pulau Pinang

Published by Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan • 14/02/2022

Bayan Lepas, 14 Februari 2022 – Sempena perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, pegawai informasi dari Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) telah menyampaikan 60 kotak buah limau mandarin kepada keluarga nelayan tempatan.

 

Kesemua penerima yang telah dikenal pasti oleh PPSN dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gertak Sanggul dan Bukit Gemuruh adalah nelayan yang beroperasi di kawasan berhampiran tapak penambakan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) yang juga dikenali sebagai Penang South Islands, dan penduduk setempat.

 

Dalam kalangan penerima ini, 20 orang adalah nelayan dari Teluk Kumbar dan 25 orang lagi adalah nelayan dari Gertak Sanggul. Penerima yang selebihnya adalah penduduk Gertak Sanggul yang bukan nelayan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Dato’ Seri Farizan Bin Darus berkata, sejak PPSN ditubuhkan oleh kerajaan negeri enam tahun yang lalu, pusat nelayan tersebut telah mengamalkan amalan memberi sumbangan sempena musim perayaan.

 

Katanya, amalan tersebut adalah penting dalam memupuk semangat perpaduan, perasaan hormat-menghormati dan mengukuhkan hubungan persahabatan antara kaum.

 

“Amalan memberi buah tangan sempena musim perayaan sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Dalam budaya masyarakat Cina,pemberian limau mandarin bererti membawa berkat selain melambangkan rasa hormat-menghormati.

 

“Ini kerana nama buah tersebut dalam Bahasa Cina, ‘kam’ mempunyai sebutan yang sama dengan perkataan untuk emas dalam dialek Kantonis. Maka, pemberian limau mandarin bermaksud membawa berkat kepada orang yang menerimanya.

 

“Walaupun sumbangan ini tidak besar , kami berharap pemberian ‘kam’ ini akan membawa berkat dan kemakmuran kepada rakan-rakan kita di kawasan perkampungan nelayan Pulau Pinang Selatan,” katanya.

 

Dato’ Seri Farizan berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya berhasrat membawa pertumbuhan ekonomi dan perubahan sosioekonomi ke kawasan Pulau Pinang Selatan untuk manfaat penduduk kawasan tersebut melalui pembangunan PSR.

 

Katanya, usaha untuk mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sedang berjalan seperti yang dirancang .

 

“Sekira semuanya lancar, kita boleh memulakan kerja-kerja penambakan PSR dan pembayaran bantuan kewangan atau ex-gratia seperti yang dijanjikan Kerajaan Negeri kepada nelayan yang berdaftar untuk menerima manfaat Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan seterusnya dalam tahun ini.

 

“Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pelaksanaan inisiatif lain seperti latihan jurumudi, kelas tuisyen dan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan di bawah program penglibatan komuniti PELITAKU. Usaha ini akan diselaraskan oleh PPSN.

 

“Walaupun pelaksanaan PSR penuh dengan cabaran, Kerajaan Negeri tetap akan meneruskannya setelah mendapat segala kelulusan yang diperlukan. Sempena tahun Harimau ini, kita berharap akan menjadi seperti harimau yang diberi sayap dalam pepatah Cina supaya dapat bekerja dengan lebih kuat untuk mencapai kejayaan,” katanya.

 

PPSN adalah pusat sehenti yang menyampaikan maklumat sahih mengenai projek PSI yang dipelopori Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

Selain memainkan peranan sebagai pengantara antara Kerajaan Negeri dan rakyat dalam membantu pentadbiran mengenalpasti dan menangani isu yang dihadapi nelayan Pulau Pinang Selatan, PPSN juga menganjurkan program sosial yang memanfaatkan masyarakat setempat.

 

PPSN kini beroperasi di Permatang Damar Laut, Gertak Sanggul dan Sungai Batu dari 8 pagi sehingga 5.30 petang pada hari Isnin ke Jumaat kecuali pada cuti umum.

 

(Tamat)

Beberapa orang nelayan dan penduduk menerima sumbangan limau mandarin di PPSN Gertak Sanggul.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gertak Sanggul En Leong Kein Cheong (kanan) menyampaikan sumbangan limau mandarin kepada seorang nelayan tempatan di PPSN Gertak Sanggul. Bersama mereka adalah pegawai maklumat PPSN, Mohammad Qhidir Subri (kiri)

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!