Latest News
PTMP Map
PSI
 

Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2022 bersama sekolah di kawasan Penang South Islands

Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2022 bersama sekolah di kawasan Penang South Islands

Siaran Media

6 SEPTEMBER 2022

Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2022 bersama sekolah di
kawasan Penang South Islands

BAYAN LEPAS – Semangat patriotism dan cinta kepada negara perlu dipupuk dan disemat dalam diri seseorang sejak kecil lagi.

 

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang ke-65 dan Hari Malaysia yang ke-59 tahun ini, tiga buah sekolah di kawasan Projek Penang South Islands (PSI) telah menerima 300 Jalur Gemilang di Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya.

 

Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bayu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Kumbar.

 

Inisiatif ini merupakan kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya dengan Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) melalui Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN).

 

PPSN adalah pusat jangkauan dan maklumat sehenti bagi pembangunan PSI yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Antara peranan utama PPSN adalah mengadakan sesi libat urus dan program-program yang bermanfaat untuk komuniti nelayan dan pihak berkepentingan lain di kawasan projek bagi pihak Kerajaan Negeri dan PIC.

 

Pegawai Pendidikan Daerah Barat Daya Shamsul Fairuz Mohd Nor berkata majlis tersebut amat bermakna kepada pihaknya kerana juga melibatkan PIC, PPSN dan rakan pelaksana projek PSI, SRS Consortium Sdn Bhd.

 

PIC, PPSN dan SRS Consortium sedang bekerjasama dengan Pejabat Daerah Pendidikan Barat Daya dan Universiti Sains Malaysia untuk melaksanakan beberapa program pendidikan di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk anak nelayan dan anak tempatan dari kawasan Pulau Pinang Selatan yang berhampiran dengan tapak projek PSI.

 

Program-program tersebut adalah kelas pemulihan untuk murid Darjah Satu hingga Tiga di sekolah, kelas tuisyen untuk murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di pusat-pusat tuisyen, serta program hibrid pendidikan empat hari untuk pelajar Tingkatan Lima di USM.

 

Program di USM sedang dilaksanakan pada bulan ini manakala program kelas pemulihan dan program kelas tuisyen Jaya Didik akan bermula pada bulan Oktober 2022. Kos program-program ini akan dibiayai Kerajaan Negeri.

 

“Ini adalah langkah pertama yang baik daripada PIC, PPSN dan SRS. Kerjasama sebegini dapat memacu transfomasi Pejabat Daerah Pendidikan Barat Daya,” kata Shamsul.

 

Beliau juga berharap agar pejabatnya dapat berkolaborasi untuk menganjurkan program lain yang bermanfaat di masa depan untuk sekolah-sekolah di daerah tersebut.

 

Beliau bertambah, pembangunan PSI dapat membawa pertumbuhan yang mantap kepada Pulau Pinang.

 

Ketua Pentadbiran dan Integriti PIC Farida-Hani M. Yacob yang turut hadir di majlis itu berkata mulai tahun 2022, PIC akan memainkan sedikit peranan dalam sektor pendidikan untuk membantu pembelajaran anak-anak nelayan dari kawasan selatan Pulau Pinang agar minat belajar dan prestasi akademik mereka dapat ditingkatkan.

 

“Kami berharap program-program ini akan berjalan dengan lancar dan anak-anak serta guru-guru mendapat kebaikan bersama daripada program-program tersebut,” katanya.

 

Beliau berkata bagi Kerajaan Negeri, pembangunan PSI adalah peluang yang amat baik untuk membawa program-program yang boleh memperbaiki keadaan sosioekonomi komuniti nelayan di kawasan PSI.

 

Farida berkata, selain manfaat untuk nelayan seperti bot dan enjin baru, peluang pekerjaan dan perniagaan dan sebagainya, Kerajaan Negeri juga ingin mengambil kesempatan untuk menawarkan program sokongan pendidikan kepada anak-anak nelayan yang masih bersekolah supaya mereka memperolehi peluang pendidikan yang lebih baik dan meningkatkan mutu kehidupan mereka pada masa depan.

 

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah timbalan pegawai pendidikan daerah (PPD) Mohd Mukhrizam Mohd Mothtar (sektor perancangan), Dr. Taufek Muhamad (sektor pembelajaran), Zaiharyati Ahmada (pengurusan sekolah) dan Che Mazlan Che Mat (sektor pembangunan murid), pengetua SMK Seri Bayu Anuar Ibrahim, Pengetua SMK Teluk Kumbar Sharifah Bahum Abdul Rahim, Guru Besar SK Sungai Batu Rodzita Md Isa, Pengurus Kanan SRS Consortium Sdn Bhd Ahmad Fauzi Ali dan lain-lain.

 

tamat

Shamsul Fairuz (ke-5 dari kiri) dan Farida-Hani (ke-5 dari kanan) mengagihkan jalur gemilang kepada wakil sekolah di kawasan PSI.

Kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dapat dirasai di Pejabat Daerah Pendidikan Barat
Daya

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!