Latest News
PTMP Map
PSI
 

Respon terhadap sidang akhbar Pen Mutiara

Respon terhadap sidang akhbar Pen Mutiara

SIARAN MEDIA

28 JANUARI 2023

Respon terhadap sidang akhbar Pen Mutiara

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah berusaha untuk melaksanakan projek Penang South Islands, kami ingin memberi penjelasan mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Pen Mutiara dalam sidang media petang semalam (Jan 27).

 

Pertama sekali, ingin ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bersikap objektif dan profesional dengan menjemput pihak Pen Mutiara dalam sebarang perbincangan berkenaan kebajikan atau bantuan nelayan berkenaan pembangunan projek PSI, termasuk perbincangan cadangan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) pada tahap awal.

 

Sejak 9 September 2020 sehingga akhir tahun 2020, pihak kerajaan telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan agensi terlibat termasuk pihak Pen Mutiara. Namun, dalam perjumpaan dengan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang YB Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga merangkap Pengerusi Task Force Nelayan pada 28 Disember 2020, pihak Pen Mutiara melalui peguamnya telah menyatakan bahawa mereka tidak akan memberikan sebarang maklum balas terhadap cadangan SIMP Kerajaan Negeri sehingga rayuan yang dikemukakan nelayan terhadap kelulusan EIA oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar diputuskan oleh Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar.

 

Memandangkan Pen Mutiara tidak bersedia untuk berunding, Kerajaan Negeri terpaksa mengambil pendekatan dengan mendapatkan maklum balas terus daripada komuniti nelayan.

 

Pada 5 Februari 2021, skim SIMP yang dirangka khas untuk membantu nelayan yang terkesan dengan projek PSI dengan menaiktarafkan tahap sosio ekonomi mereka sejajar dengan pembangunan PSI telah diumumkan.

 

Skim SIMP tidak hanya terhad kepada bayaran ex-gratia semata-mata tetapi merangkumi bantuan bot dan enjin, pakej pemerkasaan dan skim perumahan.

 

Kerajaan Negeri telah menawarkan ex-gratia sebanyak RM20,000 kepada tekong dan RM12,960 kepada awak-awak di tahap 1 dan RM13,200 kepada tekong dan RM5,400 kepada awak-awak di tahap 2. Tawaran pembayaran ex-gratia dalam projek PSI adalah yang tertinggi di negara ini jika dibandingkan dengan projek tambakan yang lain.

Sebanyak 345 nelayan yang berkelayakan telah mendaftarkan diri untuk skim SIMP sehingga hari ini dan 328 nelayan telah menerima bayaran awal RM500. Baki dari bantuan kewangan ex-gratia seperti yang dijanjikan akan diberikan oleh Kerajaan Negeri selepas kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan pelan pengurusan alam sekitar (EMP) diperolehi.

 

Dari segi bantuan bot dan enjin pula, tekong tahap 1 diberi sebuah bot 27’ yang dilengkapi enjin 90/100HP. Pemberian ini, seperti yang telah dijanjikan, hanya akan diberikan kepada nelayan terlibat setelah EIA dan EMP diluluskan. Namun atas keprihatinan Kerajaan terhdapa 20 nelayan berkenaan, Kerajaan telah membuat keputusan memberikan 20 buah bot dan enjin baharu kepada nelayan pada tahun lepas setelah mengenalpasti bot dan enjin mereka telah usang dan tidak selamat ke laut menangkap ikan.

 

Anggaran kos sebuah bot dan enjin baru dengan kelengkapan peralatan seperti Global Positioning System (GPS), peralatan sonar dan pukat baharu adalah RM80,000. Dalam erti kata lain, setiap tekong tahap 1 akan menerima manfaat bernilai RM100,000.

 

YB Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman juga telah berkali-kali memaklumkan menerusi sidang akhbar dan sidang media termasuk dalam majlis penyampaian skim SIMP dan pelaksanaan Pelan Induk Program Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) pada Januari 12 yang lalu di PPSN Sungai Batu bahawa giliran tekong-tekong tahap 1 lain yang berkelayakan menerima bot dan enjin baru akan tiba apabila EIA dan EMP diluluskan.

 

Walaupun begitu, beliau juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menerima permohonan bantuan bot kumpulan kedua daripada 12 tekong yang memohon menggantikan bot sedia ada mereka yang serba daif dengan bot dan enjin yang baharu. Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan permohonan tersebut walaupun EIA dan EMP belum diluluskan dengan mengambil kira faktor keselamatan nelayan dan akan memberi maklumbalas dalam masa terdekat.

 

Kerajaan Negeri juga ingin menekankan di sini bahawa projek PSI tidak akan memusnahkan pekerjaan dan mata pencarian nelayan seperti yang dinyatakan oleh pihak tertentu. Kerja-kerja penambakan yang dicadangkan tidak akan menghalang nelayan daripada turun ke laut. Laluan mereka ke laut akan dipermudahkan oleh saluran navigasi baharu yang membolehkan akses 24 jam ke laut tanpa mengira air pasang surut. Inisiatif ini akan menjadi satu penambahbaikan kepada nelayan memandangkan mereka perlu menunggu air pasang untuk ke laut pada masa sekarang.

 

Manfaat lain di bawah skim SIMP termasuk jeti baharu untuk unit nelayan Tahap 1 peluang pekerjaan dan perniagaan, program latihan kemahiran, skim pemilikan rumah, dan sokongan pendidikan untuk anak-anak mereka yang masih bersekolah.

 

Kelulusan EIA dan EMP oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan membolehkan projek ini dimulakan dan pakej-pakej di bawah skim SIMP, termasuk bayaran ex-gratia, dilaksanakan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya konsisten dalam perkara ini sejak pengumuman skim SIMP pada 5 Februari 2021.

 

Walaupun projek PSI belum bermula, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk memulakan usaha-usaha SIMP dan PEOM terlebih dahulu. Inisiatif ini diambil sebagai sebahagian daripada tanggungjawab Kerajaan Negeri kepada komuniti nelayan sebagaimana tanggungjawab Kerajaan Negeri kepada komuniti lain seperti petani, penjaja dan sebagainya.

 

Antaranya termasuk kejayaan sembilan orang nelayan yang tamat kursus jurumudi pada tahun lalu, kelas pemulihan untuk anak-anak nelayan yang bersekolah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, program tuisyen dengan pusat tuisyen swasta dan Program Hibrid Pendidikan oleh USAINS Holdings, iaitu anak syarikat Universiti Sains Malaysia (USM), untuk anak nelayan yang bakal menduduki SPM.

 

Baru-baru ini, satu memorandum persefahaman dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang telah ditandatangani untuk menanam 200,000 pokok dan memulihara habitat bakau di Pulau Pinang. Surat tawaran kontrak juga telah diberikan kepada USAINS Holdings yang akan melibatkan kepakaran Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) dari USM untuk menjalankan penyelidikan pelabuhan tukun tiruan dan unjam serta pelepasan benih ikan dan udang di bawah PEOM.

 

Kesemua inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan adalah bagi memastikan sumber perikanan terus terjamin dan akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri. Ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam meneruskan projek PSI yang akan memberikan impak positif bagi pertumbuhan ekonomi negeri.

 

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!