Latest News
PTMP Map
PSI
 

Rakyat hilang manfaat jika PSR tidak diteruskan

Rakyat hilang manfaat jika PSR tidak diteruskan

Diterbitkan oleh My Metro • 13/06/2021 • 11:54 am

CHOW Kon Yeow. FOTO arkib NSTP

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang dan rakyat akan kehilangan pelbagai manfaat terutamanya yang dapat dinikmati generasi akan datang sekiranya projek Tambakan Laut Selatan (PSR) negeri itu tidak diteruskan.

 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, tanpa PSR komuniti nelayan akan kekal dengan keadaan mereka yang sedia ada tanpa menikmati apa-apa perubahan, manakala Pulau Pinang pula akan kehilangan peluang membangun serta mewujudkan pekerjaan untuk rakyat dan generasi akan datang.

 

Ini kerana katanya, melalui PSR, Pulau Pinang akan dapat mewujudkan tanah baru untuk pembangunan industri, komersial dan perumahan serta mewujudkan ribuan pekerjaan.

 

“Pada masa sama komuniti nelayan juga akan mendapat manfaat daripada Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang boleh memperbaiki keadaan sosio ekonomi mereka, termasuk memberi peluang pendidikan, latihan dan pekerjaan kepada anak-anak mereka.

 

“Tanpa PSR maka komuniti nelayan akan kekal dengan keadaan sedia ada tanpa sebarang perubahan manakala Pulau Pinang pula kehilangan peluang untuk membangun serta mewujudkan pekerjaan untuk rakyat dan generasi akan datang,” katanya di sini, hari ini.

 

Kon Yeow berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas dakwaan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mendakwa PSR satu malapetaka kepada nelayan Pulau Pinang selain menjejaskan sektor perikanan negara.

 

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap orang ramai termasuk Abdullah boleh memahami kepentingan PSR bagi Pulau Pinang dalam konteks yang lebih menyeluruh.

 

“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa kita tidak perlu membuat satu pilihan iaitu antara membangunkan PSR dan membela nasib nelayan demi keselamatan makanan sebaliknya kita boleh melakukan kedua-duanya kerana nelayan masih boleh meneruskan pekerjaan mereka apabila proses penambakan bermula.

 

“Pembinaan PSR akan bermula untuk satu pulau dan pembangunan akan mengambil masa kira-kira 20 tahun. Dalam tempoh itu, laluan untuk ke laut masih sangat luas untuk kegunaan nelayan,” katanya.

 

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri turut menyediakan salah satu inisiatif dalam memastikan nelayan tidak terhalang untuk ke laut iaitu menyediakan alur navigasi seluas 250 meter di antara PSR dan pulau utama.

 

Menurutnya, alur navigasi itu akan memastikan nelayan mempunyai akses ke laut sepanjang tempoh tambakan dan pembangunan pulau-pulau PSR.

 

“Serentak itu, kerajaan negeri juga akan memastikan langkah-langkah mitigasi akan dilaksanakan mengikut 72 syarat-syarat dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS)

 

“Program pengimbangan ekologi yang disyorkan dalam laporan EIA termasuk penanaman pokok bakau, pelabuhan tukun dan unjam, pelepasan benih ikan dan udang serta penyediaan dana untuk kaji selidik juga akan dilaksanakan.

 

“Langkah-langkah berkenaan akan memastikan kerja penambakan berjalan secara terkawal dan tidak menyebabkan pencemaran. Program pengimbangan khususnya akan membantu mewujudkan habitat baru hidupan laut dan meningkatkan stok ikan untuk menggalakkan kelestarian sektor perikanan,” katanya.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!