Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pulau Silikon dijangka jana KDNK 1.1 trilion, pelaburan RM74.7 bilion

Pulau Silikon dijangka jana KDNK 1.1 trilion, pelaburan RM74.7 bilion

Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hadir ke majlis Istiadat Perasmian Penggal Pertama

 

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Lebuh Light di Georgetown, hari ini. NSTP/Mikail Ong

 

GEORGETOWN: Projek Pulau Silikon di Pulau Pinang mampu menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM1.1 trilion dan pelaburan RM74.7 bilion.

 

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, berkata projek yang dijangka berpotensi mewujudkan 220,000 peluang pekerjaan itu turut dilihat dapat memperkasakan kedudukan Pulau Pinang sebagai satu daripada penyumbang ekonomi utama negara.

 

“Tahun lalu, saya telah diberi kesempatan untuk menjejak kaki buat kali pertama di atas Pulau Silikon yang kini sedang giat ditambak.

 

“Pulau Silikon adalah sebuah projek pembangunan strategik jangka panjang yang membawa impian seluruh rakyat Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini, hari ini.

 

Ahmad Fuzi turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang komited memastikan kesejahteraan nelayan dan ekosistem sentiasa terpelihara sebagaimana dijanjikan dalam Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) bagi projek berkenaan.

 

Katanya, beliau dimaklumkan sehingga 5 April lalu, seramai 557 nelayan telah menerima bayaran ex-gratia sebanyak 75 peratus manakala baki 25 peratus akan disempurnakan dalam masa terdekat.

 

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Bhd (KKPPSB) dalam mewujudkan peluang perniagaan yang boleh mendatangkan hasil tambahan kepada nelayan dan ahli komuniti setempat.

 

“Sehingga kini, sebanyak 100 kontrak dengan jumlah nilai RM44.8 juta telah ditawarkan kepada syarikat tempatan melalui koperasi ini,” katanya.

 

Beliau dalam pada itu turut berharap semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat mengemukakan pandangan serta cadangan bagi meningkatkan hasil negeri pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

 

Ahmad Fuzi berkata, ini memandangkan defisit perbelanjaan negeri tidak selamanya dapat ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri sekiranya tiada peningkatan hasil yang mendadak.

 

“Kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan Strategi Pengurangan Unjuran Defisit Negeri Tahun 2024 di samping mempergiatkan usaha menggandakan hasil sumber pendapatan negeri.

 

“Dalam hal ini, saya memohon agar pada sidang kali ini, semua Yang Berhormat (YB) dapat mengemukakan pandangan serta cadangan bagi meningkatkan hasil negeri.

 

“Dengan iltizam dan komitmen daripada semua pihak, saya percaya prestasi fiskal negeri dijangka meningkat dalam masa terdekat,” katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah alpa bagi memastikan kelangsungan fiskal dalam jangka panjang dengan Pulau Pinang adalah antara negeri yang sentiasa menunjukkan prestasi kewangan yang cukup baik berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

 

“Hal ini kerana defisit perbelanjaan sebenar negeri masih mampu ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri, sekali gus mencatat prestasi kewangan yang positif pada akhir tahun.

 

“Pulau Pinang juga adalah negeri kedua mencatatkan jumlah terkumpul baki pinjaman Kerajaan Persekutuan belum selesai terendah iaitu RM36.73 juta setakat 31 Januari lalu,” katanya.

No Comments

Post A Comment