Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pulau Pinang mulakan proses prakelayakan komponen LRT Bayan Lepas

Pulau Pinang mulakan proses prakelayakan komponen LRT Bayan Lepas

Published by Utusan Malaysia •03/06/2022 • 02:51pm

ZAIRIL KHIR JOHARI

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan memulakan proses prakelayakan bagi mengenal pasti syarikat-syarikat yang berminat dan berkelayakan untuk melaksanakan komponen Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas pada suku kedua tahun ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, proses itu akan disusuli dengan Request For Proposal (RFP) juga dalam suku ketiga tahun ini yang mana kerajaan negeri akan mempelawa syarikat yang berminat dan mempunyai pengalaman mengemukakan cadangan mereka.

 

Kerajaan negeri akan melantik syarikat yang paling layak dan sesuai untuk melaksanakan komponen ini.
”Selain cadangan dari segi teknikal, syarikat yang menyertai RFP juga dikehendaki mencadangkan model pembiayaan bagi melaksanakan komponen LRT,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

 

Menurut beliau, sebagai contoh, pembida boleh mencadangkan kaedah pembayaran balik (recoupment) seperti hak pembangunan, pertukaran tanah (land swap), hasil pengiklanan, dan pendapatan farebox (tambang).

 

Dalam pada itu Zairil berkata, selain menggunakan proses RFP untuk mendapatkan cadangan dan model pembiayaan, kerajaan negeri juga meneruskan usaha memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat melalui Rolling Plan Ke-3 dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

 

”Ia dilaksanakan agar Pulau Pinang dapat menjayakan projek ini dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas,” katanya.

 

Tambahnya, setakat ini projek LRT Bayan Lepas telah mendapat kelulusan daripada agensi-agensi teknikal utama seperti Jabatan Alam Sekitar serta PLAN Malaysia dan kini sedang dalam proses mengemukakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi jajaran LRT di atas projek tambakan laut selatan Pulau Pinang (PSR) termasuk depot LRT di Pulau A, PSR.

 

Zairil berkata, komponen LRT Bayan Lepas adalah salah satu komponen utama dalam Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang di mana ia adalah strategi jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini. – UTUSAN

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.