Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pulau Pinang diiktiraf antara negeri ‘bahagia’ tahun 2021

Pulau Pinang diiktiraf antara negeri ‘bahagia’ tahun 2021

Published by Buletin Mutiara • 01/11/2022

GEORGE TOWN – Pulau Pinang secara keseluruhannya diiktiraf antara negeri yang ‘bahagia’ di Malaysia pada tahun 2021 melalui Indeks Kebahagiaan 2021 yang dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia, TPr. Hassan Yaakob berkata pengiktirafan itu menunjukkan bahawa Pulau Pinang berada di landasan yang betul ke arah mencapai kemakmuran dan masyarakat inklusif selari dengan pendekatan dalam pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

“Ini juga memberikan isyarat terbaik kepada Pulau Pinang dalam mengorak langkah untuk terus kekal konsisten ke arah pencapaian matlamat pembangunan bandar dan seterusnya Indeks Daya Huni yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Komtar Walk di sini sebentar tadi.

 

Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad.

 

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Zakuan Zakaria; Pengarah PLANMalaysia@Pulau Pinang, TPr. Rozita Hamit serta Pengarah-Pengarah Jabatan Kerajaan Negeri, Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga turut hadir.

 

Pada 22 Julai lalu, DOSM dalam kenyataan yang dikeluarkan menunjukkan bahawa Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) pada 2021 berada pada tahap bahagia apabila mencatatkan skor 6.48.

 

Menurut kenyataan itu lagi, Pulau Pinang merupakan antara 10 negeri yang mencatatkan skor pada tahap ‘Bahagia’ iaitu 6.65.

 

Kesemua komponen berada pada tahap bahagia iaitu keluarga (7.26), amalan kerohanian (7.24), kesihatan (7.18), penggunaan masa (7.18), pendidikan (6.85), perumahan dan alam sekitar (6.51), persekitaran kerja (6.51), pengalaman emosi (6.44), penyertaan sosial (6.41), pendapatan (6.38), keselamatan awam (6.37) dan kemudahan komunikasi (6.23).

 

Kajian yang dilaksanakan adalah untuk mengukur tahap kebahagiaan penduduk Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual dan dikategorikan kepada lima skor iaitu nilai 0.00 – 2.00 sangat tidak bahagia; 2.01 – 4.00 tidak bahagia; 4.01 – 6.00 sederhana bahagia; 6.01 – 8.00 bahagia dan 8.01 – 10.00 sangat bahagia.

 

Jagdeep Singh Deo bersama-sama Hassan Yaakob melawat booth pameran sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Komtar Walk di sini.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan projek tambakan laut selatan pulau Pulau Pinang (PSR) demi manfaat rakyat di negeri secara keseluruhannya.

 

“Di seluruh dunia terutamanya negeri-negeri pulau yang dikelilingi air, hanya ada satu jalan untuk mereka mara ke hadapan adalah dengan cara penambakan laut.

 

“Isunya adalah bagaimana kita hendak lakukan dan wujudkannya tanpa mengganggu sektor yang lain serta mengambil kira semua isu-isu sensitif yang dibangkitkan semua pihak,” katanya.

 

Selain PSR, Jagdeep berkata bahawa Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan projek pembaharuan semula bandar dalam memastikan penduduk negeri ini dapat memiliki kediaman.

 

Difahamkan, sambutan HPBS tahun 2022 di peringkat Kebangsaan adalah bertemakan “Liveable Malaysia: Transforming Our Cities For A Better Urban Future”.

 

USM dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pelan Induk Pembaharuan Semula Bandar di Taman Free School.

Pada majlis itu juga, tiga pemenang bagi Pertandingan Pelan Induk Pembaharuan Semula Bandar di Taman Free School turut diumum yang menyaksikan Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai juara.

 

Tempat kedua pula menjadi milik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam manakala tempat ketiga milik Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra.

 

Turut berlangsung adalah penyampaian Anugerah Tokoh Perancang Bandar Negeri Pulau Pinang kepada Datuk TPr. Rakibah Abdul Latif dan penganugerahan MURNInets 2.0 kepada Jabatan dan Agensi yang terlibat.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

 

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!