25 Mac Pulau A dilaksana secara JV, PSR tetap milikan Kerajaan Negeri demi masa depan Pulau Pinang
Diterbitkan oleh Buletin Mutiara • 25/03/2021
GEORGE TOWN – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) memutuskan bahawa pelaksanaan kerja-kerja tambakan Pulau A (sahaja) bagi projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) akan dilasanakan secara usahasama atau atau joint-venture (JV).
Keputusan tersebut adalah ekoran beberapa siri rundingan di antara Kerajaan Negeri dan pihak Project Delivery Partner (PDP) iaitu SRS Consortium bagi memenuhi keperluan dana tambahan bagi pembiayaan PSR dengan mengambil kira kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19 serta keputusan Kerajaan Persekutuan menarik balik kelulusan untuk memberi jaminan bagi pinjaman Kerajaan Negeri, dan PDP telah diminta untuk mengemukakan beberapa cadangan pembiayaan alternatif.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa berikutan keputusan yang diputuskan pada 24 Mac 2021 tersebut, pembangunan Pulau A tidak lagi akan dilaksanakan di bawah model PDP seperti master agreement (MA) yang ditandatangani pada 1 Julai 2020 bersama-sama SRS Consortium, bagaimanapun, Pulau B dan Pulau C masih kekal pelaksanaannya secara PDP.
“Satu perjanjian tambahan (supplementary agreement) akan dimeterai bagi perubahan kaedah pelaksanaan ini, dan kerja-kerja awalan ukur serta penyelidikan tanah atau soil investigation di tapak Pulau A bagi projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) akan dimulakan pada 29 Mac 2021.
“Kerajaan Negeri ingin menjelaskan bahawa dengan perkembangan terbaru ini tidak bermakna projek PSR sudah menjadi milik swasta. Tanah yang ditambak masih dimiliki oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan PSR tetap projek milikan Kerajaan Negeri yang dibangunkan untuk membina masa depan lebih baik untuk rakyat negeri ini.
“Malah, Kerajaan Negeri masih lagi bertanggungjawab untuk pemberian milik tanah kepada pembida tertinggi yang berjaya,” ujarnya pada sidang media di Komtar tadi.
Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Ketua Pegawai Ekskutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Dato’ Seri Farizan Darus dan Pengarah Projek SRS Consortium, Szeto Wai Loong.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memaklumkan bahawa melalui kaedah terbaharu JV berkaitan, semua kerja-kerja tambakan Pulau A akan dilaksanakan oleh syarikat usahasama yang akan ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bersama-sama SRS Consortium.
“Kepentingan Kerajaan Negeri dalam JV ini akan diwakili oleh PICSB dan Kerajaan Negeri selaku pemilik projek juga akan memberikan hak penuh dan eksklusif kepada syarikat usahasama ini untuk melaksanakan kerja-kerja pembangunan Pulau A.
“(Hak-hak ini) termasuk mendapatkan kelulusan merancang, menyediakan infrastruktur awam dengan bercirikan bandar raya pintar termasuk Lebuhraya Pan Island Link 2A (PIL 2A) serta menjalankan aktiviti pemasaran untuk menarik pelabur daripada industri berteknologi tinggi dan penjualan tanah,” jelasnya.
Tambah Kon Yeow, dua syarikat usahasama akan ditubuhkan iaitu project developer (PD) dan turnkey contractor (TC).
“Kedua-dua syarikat usahasama ini akan melibatkan PICSB dan SRS Consortium dengan pegangan ekuiti (perkongsian) masing-masing 30:70 peratus yang mana SRS PD akan membiayai semua modal ekuiti dan menguruskan pinjaman diperlukan bagi menunaikan kewajibannya dalam pembangunan projek.
“Pelaksanan kerja pula akan dianugerahkan kepada kontraktor TC yang akan melantik Gamuda Engineering (Gamuda) bagi kerja tambakan Fasa 1 Pulau A.
“Pelantikan Gamuda adalah sebagai jaminan bahawa kerja-kerja tambakan akan berjalan sebagaimana dirancang termasuk memperlahankan kerja tambakan jika berlakunya kekurangan permintaan tanah di Pulau A dan sebaliknya.
“(Dan) kesemua kerja-kerja selain daripada tambakan Fasa 1 bagi pembangunan Pulau A akan dilakukan secara tender terbuka,” katanya.
Bagi memastikan projek dilaksanakan dengan telus dan cekap, Kon Yeow memberitahu bahawa jurutera perunding bebas akan dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk menyemak serta mengesahkan kadar pembayaran yang dikenakan untuk pelaksanaan projek.
Sebagai rekod, pada 1 Julai 2020 Kerajaan Negeri telah menandatangani MA bersama-sama SRS Consortium bagi pelaksanaan Projek PSR melibatkan pembinaan tiga buah pulau secara PDP.
Selaras dengan MA tersebut, SRS Consortium bertanggungjawab mengurus dan melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Awam (PTMP) berdasarkan tempoh masa serta bajet yang ditetapkan.
SRS Consortium juga bersetuju menyediakan pinjaman atau bridging loan berjumlah RM1.3 bilion bagi tujuan projek PSR ini. Hasil tanah projek PSR kemudiannya akan digunakan untuk membiayai PTMP.
Setelah beberapa siri rundingan dan dengan mengambil kira kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19 serta keputusan Kerajaan Persekutuan menarik balik kelulusan untuk memberi kaminan bagi pinjaman Kerajaan Negeri, pihak PDP telah diminta mengemukakan beberapa cadangan pembiayaan alternatif.
PDP melalui surat bertarikh 15 Februari 2021 mencadangkan pelaksanaan tambakan Pulau A dilakukan melalui inisiatif pembiayaan swasta oleh SRS Consortium sepenuhnya tanpa melibatkan pengeluaran dana Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang berulang kali mempertahankan Projek PSR sebagai satu pelan pembangunan strategik yang akan menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya pintar, destinasi pelaburan dan pelancongan bertaraf dunia.
Malah, melalui projek tersbeut juga, lebih 300,000 peluang pekerjaan berkualiti dapat dijana pada masa hadapan.
“Saya percaya pembangunan Pulau A akan menjadi pemangkin ekonomi untuk Pulau B dan Pulau C.
“Kerajaan Negeri juga tidak boleh leka dalam memastikan ekonomi negeri terus berkembang demi kesejahteraan rakyat,” ulasnya.
Dalam pada itu, Wai Loong ketika menjawab soalan pemberita memaklumkan bahawa selain membangunkan rumah mampu milik, turut diberi perhatian adalah pembangunan bercampur yang mematuhi piawaian bagi kesan minimum kepada alam sekitar
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI / AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD
Sorry, the comment form is closed at this time.