Latest News
PTMP Map
PSI
 

PTMP tidak perlu dikaji semula – Zairil

PTMP tidak perlu dikaji semula – Zairil

Diterbitkan oleh Utusan Malaysia • 9/12/2022

GEORGE TOWN: Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) tidak perlu dikaji semula dengan penyertaan pakar antarabangsa seperti yang disarankan Penang Forum, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, ini kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan kajian cadangan projek itu dengan penyertaan panel perunding antarabangsa sebelum ini.

ZAIRIL KHIR JOHARI

“Yang kita buat PTMP ini juga kita sudah lantik perunding antarabangsa, tak sepatutnya isu ini wujud.

 

“Cadangan-cadangan (projek) dalam PTMP ini adalah cadangan sahaja, tidak semestinya kita ikut bulat-bulat, masa pelaksanaannya nanti kita akan lihat pada keadaan semasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

Semalam, Penang Forum, CAP dan beberapa NGO berkaitan alam sekitar mencadangkan Kerajaan Pusat mengkaji semula pelan tersebut dengan penyertaan pakar antarabangsa bagi mencari penyelesaian mapan berhubung projek itu.

 

PTMP dirangka oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengatasi masalah trafik di Pulau Pinang dan dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM46 bilion.

 

Mengulas lanjut, Zairil berkata, PTMP direka bentuk beberapa tahun yang lalu, justeru sudah pasti keadaan semasa telah berubah.

 

“Sebagai contoh, kita mahu laksanakan projek seperti teksi air yang terkandung dalam PTMP, kita akan laksanakan kajian lanjut seperti kajian kebolehlaksanaan dahulu,” katanya.

 

Dalam pada itu, tambah beliau, kerajaan negeri perlu meneruskan pelaburan dalam projek-projek infrastruktur seperti yang dicadangkan dalam PTMP kerana penting untuk masa depan rakyat.

 

“Keadaan kemelesetan ekonomi global adalah waktu untuk kerajaan negeri melabur dalam perbelanjaan peruntukan terutamanya melibatkan infrastruktur.

 

“Ia akan mencipta limpahan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan, ia juga bukan satu pembaziran kerana pelaburan masa depan yang kita perlukan,” katanya. – UTUSAN

No Comments

Post A Comment