09 Jun PSR tetap diteruskan – Kon Yeow
Diterbitkan oleh Utusan • 09/06/2021 • 11:56 am
GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk meneruskan projek tambak laut di perairan selatan negeri ini (PSR) dan tidak bersetuju dengan desakan pelbagai pihak supaya projek tersebut dibatalkan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak perlu memilih antara PSR dan alam sekitar serta nelayan kerana kemajuan teknologi serta kejuruteraan membolehkan projek itu dibangunkan dan pada masa sama tetap memelihara alam sekitar dan masyarakat.
Katanya, kerajaan negeri tidak pernah menafikan projek itu akan memberi kesan malah selalu berkongsi dengan masyarakat tentang rancangan untuk mengurangkan kesannya.
Jelasnya, ia termasuk mewujudkan habitat baharu untuk hidupan laut dan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan untuk nelayan dan penduduk setempat lain.
Ujarnya, perkara yang harus dipertimbanngkan juga adalah faedah-faedah sosioekonomi yang bakal diperoleh melalui PSR ke Pulau Pinang yang mempunyai nilai lebih besar daripada pulangan wang.
“Penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang dirangsang oleh pelaburan domestik serta antarabangsa akan memberikan kestabilan kewangan dan keselamatan kepada rakyat sementara inisiatif hijau seperti pembangunan dan pengangkutan rendah karbon, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dan penyediaan ruang terbuka akan menyumbang ke arah peningkatan gaya hidup serta kesejahteraan awam selama beberapa dekad yang akan datang.
“Manfaat tersebut juga harus diambil kira,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Projek PSR bagi membentuk tiga buah pulau buatan itu kembali menjadi perhatian apabila pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar baru-baru ini mendesak kerajaan Pusat dan kerajaan negeri membatalkannya serta-merta.
Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri percaya semua faedah yang dirancang menerusi PSR dapat dicapai dan dalam masa sama syarat kelulusan ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat dipatuhi sepenuhnya.
“Justeru, tidak ada keutamaan yang harus ditetapkan oleh kerajaan yang mana kelulusan projek ditarik semula meskipun semua syarat kelulusan telah dipenuhi,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Sorry, the comment form is closed at this time.