Latest News
PTMP Map
PSI
 

PSR perlu dilihat dari sudut positif- Kon Yeow

PSR perlu dilihat dari sudut positif- Kon Yeow

Diterbitkan oleh  Berita Harian • 05/11/2019 • 05:56 pm

CHOW Kon Yeow pada sidang Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang, Jalan Tun Syed Sheh Barakbah. -Foto NSTP/Ramdzan Masiam

 

GEORGETOWN: Pelaksanaan projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) perlu dilihat dari sudut positif bagi menjana pembangunan ekonomi di negeri ini untuk 50 tahun akan datang.

 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata ini kerana kerajaan negeri sentiasa berpendirian projek berkenaan akan memberi kebaikan dan manfaat jangka panjang dan tanah yang ditambak itu kelak akan menjadi kesinambungan kepada pembangunan dirancang.

 

Bagaimanapun, pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut melihat kesan negatif pelaksanaannya terhadap ekologi dan kehidupan terutama nelayan.

 

“Kita tahu sebarang projek akan ada kesan positif dan negatif. Semua perkara itu diambil pertimbangan kerajaan negeri.

 

“Bagi isu negatif berbangkit, dalam syarat diberikan kerajaan negeri perlu melaksanakan langkah mitigasi bagi menangani kesan ke atas komuniti nelayan dengan mewujudkan pasukan khas nelayan dan menyediakan ‘pelan keluar’ serta Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) yang dilaksanakan sejak 2016 lagi,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Muhammad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

 

Muhammad Yusoff Mohd Noor sebelum itu bertanya sama ada masih terdapat ruang untuk kerajaan negeri menimbang semula projek PSR.

 

Sementara itu, Kon Yeow (PH-Padang Kota), sekali lagi mengulangi bahawa PSR tidak akan dimulakan selagi kerajaan negeri tidak memenuhi 72 syarat ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan 18 nasihat oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).

 

Katanya, pematuhan semua syarat itu penting bagi membolehkan pelaksanaan projek direalisasikan seperti dirancang.

 

“Sekarang sebahagian besar kelulusan sudah diperoleh, justeru ruang yang ada untuk kita memenuhi syarat terbabit. Selagi ia tidak dipenuhi, kita tidak boleh memulakan kerja (projek PSR).

 

“Saya percaya JAS dan badan bukan kerajaan (NGO) akan memantau setakat mana kita memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

 

Pada 4 Julai lalu, kerajaan negeri menerima kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek PSR daripada JAS berserta 72 syarat perlu dipatuhi sebelum melaksanakan projek itu.

 

Antara syarat itu adalah kerajaan negeri diwajibkan melaksanakan langkah mitigasi mengikut nasihat teknikal daripada jabatan berkaitan terutama daripada Jabatan Perikanan Malaysia bagi menangani impak projek ini ke atas perikanan dan komuniti nelayan.

 

Projek PSR dicadangkan bagi mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

 

Difahamkan jangka masa projek tebus guna adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 hingga 50 tahun.

 

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!