28 Feb PSR pada aspek keterjaminan makanan negara
Published by Buletin Mutiara • 11/02/2023
GEORGE TOWN – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bahawa pihaknya berharap akan ada lagi pertemuan lanjut yang melibatkan kementerian serta agensi persekutuan berwajib di Putrajaya bagi meneliti kesan berantai di sebalik cadangan pelaksanaan projek tambakan laut di perairan selatan pulau Pulau Pinang (PSR).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Selangor menyatakan sedemikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang serta mengikuti taklimat ringkas mengenai impak PSR kepada sektor keterjaminan makanan negara di Komtar pada 11 Februari 2023.
“Kita nampak projek ini, dari segi jangka panjangnya cukup baik…insyaAllah akan ada lagi pertemuan rasmi dengan pihak kementerian untuk mendengar taklimat ulangan dan perkara-perkara baharu yang nak disampaikan,” jelasnya.
MOHAMAD Sabu (kiri) mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 11 Februari 2023
SESI taklimat ringkas berkaitan kepada Menteri berhubung cadangan projek PSR serta impak berantai pada sektor keterjaminan makanan negara pada petang tadi di Komtar.
Di samping itu, sebagai Menteri, Mohamad memberitahu bahawa beliau akan turut mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak lain supaya projek tersebut tidak menjejaskan keterjaminan makanan negara.
“Walaupun akhirnya kelulusan projek ini adalah di bawah bidang kuasa Menteri, dengan kuasa Menteri yang ada itu, saya juga perlu mendapatkan maklumat-maklumat (tambahan berkaitan).
“(Bagi saya, perbentangan) pada petang ini memang lengkap, tetapi (dari segi) halangan-halangan lain (jika masih ada dan di luar jangkaan kita), kita harap dapat mengurangkan lagi kesannya demi menjayakan projek ini,” responsnya.
Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menjelaskan bahawa status PSI kini adalah projek Kerajaan Negeri dan bukan projek swasta.
FARIZAN Darus
Taklimat mengenai PSR diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd., Dato’ Seri Farizan Darus.
Hadir sama, Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini; Pengarah Projek SRS Consortium, Szeto Wai Loong; Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium, Azmi Mohamad; dan Jurutera (Pengangkutan) Seksyen Pengangkutan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, P. Dharshini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
No Comments