Latest News
PTMP Map
PSI
 

PSR: Kelulusan EMP untuk mula kerja dijangka pada akhir Mac

PSR: Kelulusan EMP untuk mula kerja dijangka pada akhir Mac

Diterbitkan oleh Bernama • 05/02/2021 • 04:48pm

Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

GEORGE TOWN, 5 Feb — Kerajaan negeri Pulau Pinang menjangkakan akan menerima kelulusan untuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), bagi memulakan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), menjelang akhir Mac ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) Datuk Seri Farizan Darus berkata, EMP telah diserahkan pada Januari lepas dan berpandukan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) JAS, mereka akan menjawab pelan itu tidak lebih daripada 90 hari.

 

“Kami sentiasa mengemas kini maklumat berpandukan kepada keperluan JAS. Kami sedang menunggu maklum balas yang dijangkakan pada hujung Mac ini yang membenarkan kerja-kerja bagi projek tersebut bermula pada awal April,” katanya kepada pemberita dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman di sini hari ini.

 

Di bawah projek PSR, kerajaan negeri mencadangkan projek pembangunan menebus guna kawasan laut seluas 1,821 hektar termasuk pembinaan tiga pulau buatan di kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hingga ke perairan Permatang Damar Laut.

 

Sementara itu, Zakiyuddin berkata kerajaan negeri akan terus berbincang dengan semua pihak terlibat termasuk golongan nelayan yang terjejas dengan projek ini mengenai jumlah pampasan.

 

Katanya, sebagai permulaan, kerajaan negeri akan mendahulukan RM500 daripada jumlah sagu hati yang ditawarkan kepada nelayan-nelayan dari sembilan unit nelayan iaitu Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul (Tahap 1), dan Seri Jerjak, Batu Maung, Teluk Tempoyak, Pulau Betong serta Kuala Sungai Burong (Tahap 2).

 

Zakiyuddin berkata bayaran pendahuluan ini akan dibuat melalui pemindahan dana elektronik setelah nelayan mendaftarkan maklumat dan butiran mereka di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul mulai 8 Feb.

 

“Jumlah sagu hati yang selebihnya akan dibayar dalam dua ansuran iaitu 75 peratus pada bulan Mac 2021 dan 25 peratus pada bulan Januari 2022. Kerajaan Negeri ingin menegaskan di sini bahawa pemberian sagu hati bukan pampasan,” katanya.

 

Ahmad Zakiyuddin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan, berkata pakej sagu hati merangkumi tawaran bantuan hidup, di mana tekong dan awak-awak dari unit-unit Tahap 1 masing-masing akan menerima RM20,000 dan RM12,960, manakala tekong dan awak-awak dari Tahap 2 pula masing-masing akan menerima RM13,200 dan RM5,400.

 

“Tekong Tahap 1 juga akan ditawarkan bot dan enjin untuk memastikan mereka boleh meneruskan pekerjaan sebagai nelayan. Sebuah bot dengan kepanjangan 27 kaki beserta enjin berkuasa kuda 60 atau 75 akan membolehkan mereka menangkap ikan di lokasi yang lebih jauh setelah pulau PSR dibentuk kelak,” katanya.

 

Beliau berkata Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) juga mencadangkan pembinaan empat buah jeti nelayan baru, di mana jeti utama adalah sebuah jeti serba guna di Permatang Tepi Laut yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancong kerana terletak berhampiran dengan stesen LRT Permatang Damar Laut.

 

Menurutnya, tiga lagi jeti nelayan terletak di Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul yang dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan oleh nelayan akan dibina secara berperingkat.

 

— BERNAMA

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.