Latest News
PTMP Map
PSI
 

PSI: P Pinang mohon semakan kehakiman isu JAS batal kelulusan EIA

PSI: P Pinang mohon semakan kehakiman isu JAS batal kelulusan EIA

Diterbitkan oleh Malaysia Kini • 16/09/2021 • 04:39 pm

Kerajaan Pulau Pinang akan membawa Jabatan Alam Sekitar ke mahkamah kerana membatalkan kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatannya (PSR).

 

Pada satu kenyataan hari ini, exco infrastruktur dan pengangkutan Zairil Khir Johari mengesahkan kerajaan negeri akan membuat semakan kehakiman.

 

Ia juga akan menyerahkan laporan EIA baru untuk projek mega itu.

 

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bersidang pada 15 September 2021 telah bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan tersebut.

 

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga akan memulakan proses pengemukaan semula laporan EIA kepada JAS agar projek yang kritikal bagi pemulihan ekonomi negeri ini pada zaman pasca Covid-19 dapat diteruskan bagi kemaslahatan rakyat,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

 

Pada 8 Sept, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memutuskan membatalkan kelulusan EIA itu kerana ia dikeluarkan sebelum Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 diwartakan secara rasmi

 

Kelulusan telah diberikan pada 25 Jun 2019 sementara rancangan tersebut telah diwartakan empat bulan kemudian pada 24 Oktober 2019.

 

Seksyen 34A (4) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menetapkan bahawa ketua pengarah jabatan tidak boleh meluluskan EIA yang tidak sesuai dengan rancangan pembangunan atau rancangan fizikal yang dipersetujui oleh pihak berkuasa berkenaan yang meluluskan.

 

Pun begitu, Zairil hari ini berkata kerajaan negeri tidak setuju dengan pandangan Lembaga Rayuan JAS bahawa terdapat ketidakpatuhan dalam kelulusan proses.

 

Zairil juga mendakwa pembatalan itu “bukannya atas hujah-hujah substantif ataupun merit kes itu.”

 

“Kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan Lembaga Rayuan (JAS) dan berpendapat bahawa segala proses dan tatacara perancangan serta kelulusan-kelulusan yang perlu telah pun dipatuhi.

 

“Ini termasuk kelulusan RSN2030 oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) pada 14 Mac 2019 serta pembentangan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 18 April 2019.

 

“Kedua-dua pematuhan ini dianggap memadai bagi kehendak Seksyen 34A(4)(a) yang menetapkan bahawa projek tersebut hendaklah selari dengan ‘development plan or physical plan approved by the relevant approving authority’.

 

“Justeru, kelulusan yang diberi oleh Ketua Pengarah JAS pada 15 Jun 2019 tidak bercanggah sama sekali dengan keperluan-keperluan Akta (Kualiti Alam Sekeliling 1974),” jelasnya.

PSI merupakan projek kerajaan negeri melibatkan penambakan semula tiga pulau untuk membina zon industri, tarikan pelancongan, pusat pendidikan dan projek perumahan, termasuk perumahan mampu milik.

 

Pulau-pulau buatan itu seluas 1,821 hektar, bersamaan ukuran 2,550 padang bola.

 

Kerajaan negeri telah berjanji projek itu akan dibangunkan secara lestari dengan kemampuannya untuk menciptakan peluang pekerjaan dan memacu ekonomi.

 

Projek PSI bertujuan untuk membiayai projek infrastruktur bernilai berbilion ringgit yang diperincikan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

 

Namun, pihak yang membantah projek itu berpendapat ia akan membahayakan kehidupan nelayan tempatan dan memudaratkan ekosistem biologi laut.

 

Kumpulan yang menentang PSI bergabung bersama gerakan #PenangTolakTambak.

 

Pemimpin masyarakat nelayan tempatan, Zakaria Ismail telah memfailkan rayuan terhadap kelulusan EIA yang terdahulu.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!