06 Mei PSI mampu tingkat ekonomi Pulau Pinang, jadi destinasi pelaburan
Published by Berita Harian • 28/4/2023
Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) akan menjana RM2.2 trilion KDNK dalam jangka masa 30 tahun.
KUALA LUMPUR: Projek Pulau Pinang Selatan (PSI), yang membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, mampu menjadikan negeri itu sebuah destinasi pelaburan, sekali gus meningkatkan ekonominya.
Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PIC) memaklumkan, projek itu juga akan membangunkan kawasan berkenaan sebagai sebuah bandar raya pintar, dengan aspek pelancongan bertaraf antarabangsa.
PSI yang mempunyai tiga pulau buatan itu berkeluasan 1,821 hektar (4,500 ekar) dan dibahagikan kepada Pulau A, 931 hektar (2,300 ekar), Pulau B, 567 hektar (1,400 ekar) serta Pulau C, 324 hektar (800 ekar).
Projek penambakan PSI itu juga didakwa akan mewujudkan tanah bagi pembangunan komersial dan perumahan, termasuk rumah mampu milik dan destinasi pelancongan baharu.
Menerusi projek itu, dijangka 460,000 tawaran kerja baharu dapat diwujudkan menjelang 2050, dengan menjana ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM2.2 trilion dalam jangka masa 30 tahun.
Projek itu juga dibangunkan dengan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon dan ketika ini, sudah melebihi pengurangan pelepasan sebanyak 40 peratus seperti yang dinasihatkan oleh Majlis Perancang Negara.
Langkah lanjut yang akan dilaksanakan, termasuk mandat pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) untuk pembangunan plot individu.
PCI menyebut, PSI yang juga satu projek strategi jangka panjang itu turut menyediakan pengangkutan cekap pada masa akan datang, yang dikenali sebagai Sistem Pengangkutan Inklusif untuk Pulau Pinang (PTMP).
PTMP meliputi pelbagai sistem dan perkhidmatan pengangkutan darat dan laut seperti sistem transit aliran ringan (LRT), transit aliran bas (BRT), trem, teksi, e-hailing, feri dan teksi air.
Komponen utama di bawah PTMP adalah Laluan Rel Bayan Lepas, Lebuh Raya Pan Island Link serta Jalan Pintasan Ayer Itam-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
“PTMP dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan kebolehcapaian dan perhubungan, meningkatkan keberkesanan pergerakan dengan mod pengangkutan yang pelbagai.
“Ini akan meningkatkan taraf hidup dan keselesaan penduduk serta menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi perdagangan dan percutian yang ideal,” menurut PCI.
Namun, di sebalik segala kelebihan PSI, projek yang membabitkan tambakan laut secara besar-besaran itu menjadi kontroversi dan menerima bantahan pelbagai pihak, terutamanya membabitkan kebimbangan terhadap sektor perikanan serta nasib nelayan dan habitat di kawasan yang dibangunkan.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan semalam, PIC menyatakan pihaknya sudah menangani masalah berkenaan berkali-kali sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, kerajaan negeri juga sering kali menekankan bahawa projek PSI itu tidak akan memusnahkan mata pencarian nelayan seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
“Kerja penambakan yang dicadangkan tidak akan menghalang nelayan daripada turun ke laut. Laluan mereka ke laut akan dipermudahkan dengan saluran navigasi baharu, yang membolehkan akses 24 jam ke laut tanpa mengira air pasang surut.
“Inisiatif ini akan menjadi satu penambahbaikan kepada nelayan memandangkan mereka perlu menunggu air pasang untuk ke laut,” menurutnya dalam kenyataan.
No Comments