Latest News
PTMP Map
PSI
 

PSI: K’jaan P Pinang pertimbang kemuka semakan kehakiman lepas EIA dibatalkan

PSI: K’jaan P Pinang pertimbang kemuka semakan kehakiman lepas EIA dibatalkan

Diterbitkan oleh Malaysia Kini • 08/09/2021 • 06:21 pm

Kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan untuk membuat semakan kehakiman selepas kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dibatalkan.

 

“Sementara mendapat sesalinan rasmi perintah lembaga rayuan (Jabatan Alam Sekitar) secara bertulis, kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakan undang-undang melalui permohonan semakan kehakiman ke atas keputusan lembaga rayuan tersebut,” kata Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah Zairil, kerajaan negeri juga kemungkinan mengemukakan satu laporan kajian kesan alam sekitar yang dikemas kini semula berdasarkan kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri yang dirujuk dalam keputusan Lembaga Rayuan berkenaan.

 

Awal hari ini, lembaga rayuan Jabatan Alam Sekitar membatalkan kelulusan EIA bagi projek itu yang dikeluarkan pada 25 Jun 2019.

 

Rayuan untuk pembatalan itu dikemukakan oleh pemimpin komuniti nelayan tempatan, Zakaria Ismail.

 

Menurut lembaga rayuan itu, kelulusan tersebut dibuat berdasarkan Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030 sebelum rancangan itu diwartakan pada 24 Oktober 2019.

 

PSI adalah projek kerajaan negeri yang melibatkan penambakan semula tiga pulau untuk membina zon industri, tarikan pelancongan, pusat pendidikan dan projek perumahan, termasuk perumahan mampu milik.

 

Pulau-pulau buatan itu seluas 1,821 hektar, atau kira-kira seluar 2,550 padang bola.

 

Kerajaan negeri telah berjanji bahawa projek itu akan dikembangkan secara lestari, dengan kemampuannya untuk menciptakan pekerjaan dan memacu ekonomi.

 

Projek PSI bertujuan untuk membiayai projek infrastruktur berbilion ringgit yang diperincikan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

 

Namun, mereka yang menentang projek tersebut berpendapat bahawa ia akan menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan dan ekosistem biologi laut.

 

Kumpulan yang menentang PSI bergerak di bawah gerakan #PenangTolakTambak.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.