Latest News
PTMP Map
PSI
 

PSI: 9 unit nelayan kekal nikmati SIMP meski skop tambak berkurang

PSI: 9 unit nelayan kekal nikmati SIMP meski skop tambak berkurang

Published by Utusan Malaysia • 27/7/2023

PSI: 9 unit nelayan kekal nikmati SIMP meski skop tambak berkurang

 

BAYAN LEPAS: Manfaat projek tambak laut selatan Pulau inang (PSI) seperti yang dijanjikan kerajaan negeri akan dikekalkan kepada sembilan unit nelayan di tahap satu dan dua menerusi skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar berkata, pakej yang dijanjikan kepada nelayan yang berkelayakan akan diteruskan walaupun skop PSI telah dikurangkan kepada Pulau Silikon sahaja.

 

“Kerajaan negeri, selaku pemilik projek, telah membuat keputusan tersebut dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 21 Jun lalu untuk mengekalkan pakej SIMP seperti yang telah diumumkan kepada nelayan dahulu.

 

“Keputusan ini bermakna pakej SIMP yang telah dijanjikan kepada nelayan tahap satu dan dua tidak berubah,” katanya dalam Majlis Penyerahan Bot dan Pentauliahan Jurumudi di Batu Maung, di sini baru-baru ini.

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 26 Julai lalu menyerahkan tujuh bot dan enjin baharu bernilai RM560,000 kepada kumpulan kedua nelayan dari unit Permatang Tepi Laut dan Teluk Kumbar yang terlibat dalam projek tambakan PSI di sini.

 

Anggaran keseluruhan bagi penyerahan 12 bot lengkap dengan enjin baharu bagi kumpulan kedua itu berjumlah RM960,000.

 

Menurut Mohd. Sayuthi, tekong dan awak-awak dari unit Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul tetap layak menerima manfaat untuk nelayan tahap satu iaitu bantuan bot dan enjin serta jeti, malah jumlah bantuan ex-gratia juga tidak berubah.

 

“Program bantuan bot dan enjin di bawah skim SIMP yang telah dirangka khas untuk nelayan dari kawasan PSI tetap dilaksanakan secara berfasa walaupun kerja penambakan masih belum bermula.

 

”Pemberian bot dan enjin baharu serta peralatan lain seperti robot, sonar dan GPS di bawah skim SIMP bertujuan memperkasakan nelayan selatan Pulau Pinang yang bergantung kepada bot dan enjin untuk mencari nafkah,” katanya.

 

Dalam pada itu, tambah beliau, kerajaan negeri juga mengambil kira keadaan nelayan yang memerlukan bot lebih besar dan enjin lebih berkuasa untuk bergerak dengan lebih pantas serta bekerja dengan lebih selamat di kawasan penangkapan ikan yang terletak jauh dari tapak PSI.

 

Selain itu, ujar beliau, kerajaan negeri juga mengambil kira nelayan berdepan dengan kos yang amat besar sekiranya mereka perlu membaiki bot lama atau membeli bot baharu.

 

“Atas pertimbangan ini, kerajaan negeri mengambil keputusan mendahulukan pemberian bantuan ini kepada nelayan berkelayakan yang amat memerlukannya walaupun kerja penambakan PSI masih belum bermula,” katanya. – UTUSAN

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!