Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang dijangka bermula hujung Mei ini

Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang dijangka bermula hujung Mei ini

Diterbitkan oleh Malaysia Gazette • 11/04/2021

Datuk Ahmad Zakiyuddin menunjukkan pelan tambakan pulau pada sidang akhbar di Permatang Damar Laut hari ini.

BATU MAUNG – Pembinaan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) membabitkan tiga pulau buatan dekat Bayan Lepas di sini dijangka bermula hujung Mei ini.

 

Bagaimanapun, pembinaan projek itu akan dimulakan dengan tambakan pulau pertama yang terletak kira-kira 600 meter dari Pulau Rimau.

Lokasi pertama yang akan ditambak untuk membentuk Pulau A terletak lebih kurang 600 meter dari Pulau Rimau.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, lokasi paling hujung bagi tapak pulau pertama itu terletak kira-kira 4.6 kilometer dari persisiran pantai.

 

“Tambakan dalam fasa pertama ini membabitkan seluas 1,200 ekar yang dijangka akan bermula pada hujung Mei atau Jun tahun ini.

Kerja tambakan Pulau A dalam Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang dijangka bermula hujung Mei ini.

“Penambakan keseluruhan Pulau A seluas 2,300 ekar dijangka selesai dalam tempoh sembilan tahun,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak tambakan Pulau A bersama media dan agensi kerajaan di perairan dekat Permatang Damar Laut di sini, hari ini.

 

Turut hadir ahli majlis mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Ketua Seksyen Pengangkutan Datuk Lim Hock Seng dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus.

 

Menurut beliau, dua pelantar digunakan untuk melakukan kerja pengukuran kedalaman laut bagi mengumpulkan sampel tanah di dasar laut.

Datuk Ahmad Zakiyuddin (depan) menunjukkan tirai kelodak yang akan digunakan dalam pembangunan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang.

“Ketika melakukan kerja-kerja tambakan pihak pengurusan projek akan menggunakan tirai kelodak untuk mengawal serakan sedimen halus sekali gus mengelakkan pencemaran laut,” ujarnya.

 

Dalam lawatan itu, pihak media turut dibawa meninjau kawasan yang akan dibangunkan sebagai jeti serba guna di Permatang Tepi Laut iaitu terletak berhampiran dengan stesen LRT yang dicadangkan di kawasan tersebut.

 

Mengulas mengenai jeti tersebut, Ahmad Zakiyuddin berkata, jeti serba guna tersebut merupakan sebahagian pembangunan PSR yang penting dalam menyediakan kemudahan nelayan dan pelancongan.

 

Jelas beliau, jeti tersebut merupakan satu daripada empat jeti nelayan yang akan dibina di kawasan pesisir pantai Pulau Pinang Selatan untuk membolehkan nelayan turun ke laut dengan lebih selesa.

 

“Jeti-jeti ini merupakan sebahagian daripada projek PSR yang inklusif di mana alur masuk dan alur navigasi dengan kedalaman minima 2 meter membolehkan nelayan ke laut tidak kira air pasang atau surut.

 

“Selain itu, pembukaan gerai, restoran and jeti pelancong juga mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan sekali gus memanfaatkan masyarakat setempat, termasuk komuniti nelayan,” kata Ahmad Zakiyuddin.

 

PSR yang dianggarkan menelan belanja RM11 bilion itu merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang turut merangkumi depoh dan stesen transit aliran ringan (LRT), kawasan industri dan perumahan seluas kira-kira 1,821 hektar.

 

Tiga buah pulau dicadang dibangunkan yang dinamakan sebagai Pulau A seluas 930 hektar, Pulau B (566 hektar) dan Pulau C (323 hektar) yang dijangka siap kira-kira 25 tahun. – MalaysiaGazette

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!