Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek tambak laut: Pulau Pinang tetap tunggu kelulusan EIA

Projek tambak laut: Pulau Pinang tetap tunggu kelulusan EIA

Published by Sinar Harian • 03/10/2022

Projek PSR yang mengandungi tiga buah pulau buatan di selatan Pulau Pinang.

GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pendiriannya iaitu hanya akan melaksanakan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) selepas memperolehi Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar.

 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu sering kali diulang kerajaan negeri bahawa projek tersebut hanya akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berikutan ia merupakan projek mega yang melibatkan banyak perkara, terutamanya alam sekitar serta penduduk setempat.

“Kita masih pegang kepada prinsip, selagi tidak ada kelulusan EIA, selagi itulah projek PSR ini tidak akan dimulakan.

 

“Itulah pegangan teguh daripada pihak Kerajaan Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Isnin.

 

Sebelum ini, Penang Infrastructure Corp Sdn Bhd (PIC) menyatakan sedang menunggu maklum balas daripada JAS berhubung Laporan EIA Projek PSR yang baru diserahkan.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Farizan Darus berkata, laporan EIA yang baharu tersebut telah diserahkan pada 29 April lalu untuk diperhalusi.

 

Menurut Farizan, ia merupakan laporan EIA kedua bagi projek mega tersebut selepas Lembaga Rayuan JAS mengetepikan laporan EIA yang pertama pada tahun lalu.

 

Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai Projek PSR, Kon Yeow berkata, pimpinan PKR di peringkat Pusat tidak begitu mengikuti perkembangan menyebabkan mereka tidak mempunyai maklumat yang mencukupi.

 

Pimpinan Pusat PKR mungkin tidak mengikuti apa-apa yang diterangkan berhubung projek, berbeza dengan wakil-wakil PKR di Pulau Pinang. Bagi mereka, ia bukan satu isu kerana setiap minggu dalam Mesyuarat Exco, isu berkaitan Projek PSR akan dikemaskini.

 

“Kadang-kala memerlukan keputusan yang penting, ada perbentangan (projek) daripada pemaju dan pihak terlibat lain. Oleh demikian, wakil PKR negeri secara tidak langsung mengambil bahagian. Isu projek ini hanya dibangkitkan di peringkat pimpinan pusat yang mungkin tidak ada maklumat,” katanya.

 

Kon Yeow berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah membawa isu tersebut untuk dibincangkan dengan kerajaan negeri beberapa tahun sebelum ini.

 

“Anwar pernah ke sini untuk diberikan taklimat serta perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung Projek PSR ini.

 

“Sesi pertemuan dan taklimat itu adalah untuk memberi maklumat tambahan kepada pimpinan PKR di peringkat Pusat mengenai projek mega di selatan Pulau Pinang tersebut,” katanya.

 

Pada Ahad, Rafizi dilaporkan berkata, projek besar itu dilihat pasti akan menjejaskan kehidupan orang lain selain menyatakan terdapat keperluan untuk mengimbangi antara nilai ekonomi projek tersebut dengan kesannya terhadap mata pencarian penduduk setempat.

 

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!