Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek tambak laut di Pulau Pinang dikaji semula, diperkecil skop – PM

Projek tambak laut di Pulau Pinang dikaji semula, diperkecil skop – PM

Published by Utusan Malaysia • 6/5/2023

ANWAR Ibrahim beramah-mesra dengan orang ramai yang menghadiri majlis sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rancangan projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSI) akan dikaji semula dan diperkecilkan skop tambakannya.

 

Menurut beliau, sebagai alternatif kepada matlamat utama projek itu, Kerajaan Pusat akan menyediakan skim dalam jumlah dana yang besar dan mencukupi kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan segera projek transit aliran ringan (LRT).

 

Jelasnya, Kerajaan Pusat akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dalam tempoh antara satu hingga dua minggu akan datang bagi membincangkan mengenai peruntukan menerusi skim tersebut.

 

“Saya meneliti kontroversi mengenai projek tambak laut ini dengan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan mengambil kesempatan ini bagi meredakan masalah dengan mengumumkan supaya projek ini dapat dikaji semula, diperkecilkan skopnya.

 

“Kerajaan Pusat akan menambah dana dalam skim yang besar untuk membolehkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan segera projek LRT,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di UiTM Permatang Pauh, di sini hari ini.

 

Majlis yang dihadiri kebanyakan pemimpin kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat itu berlangsung bermula pukul 11 pagi hingga 2 petang dan dihadiri kira-kira 20,000 orang.

 

Menurut Anwar, Jemaah Menteri termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke secara prinsipnya telah memberi persetujuan berhubung skim dan dana itu, malah satu perjumpaan dengan pegawai Kementerian Kewangan turut diadakan semalam berhubung perkara tersebut.

 

Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan Pusat meneliti segala kebimbangan dan keluhan yang disuarakan berhubung projek tambakan laut tersebut yang disuarakan pelbagai pihak.

 

Bagaimanapun, ujar beliau, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil semua langkah yang perlu dan memberi jaminan berhubung kedudukan nelayan, masalah hakisan, pembangunan semula kampung Melayu dan kawasan minoriti penduduk Cina serta India yang terkesan menerusi projek tambakan tersebut.

 

“Tapi alasan rasional yang diberikan adalah Kerajaan Persekutuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak memberi dana yang mencukupi terutama dalam pembangunan infrastruktur yang mendesak di Pulau Pinang,” katanya.

 

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan situasi kesesakan di Pulau Pinang ketika ini sebagai keterlaluan dan amat mendesak untuk diselesaikan.

 

Berbanding di Lembah Klang yang mempunyai perkhidmatan monorel dan LRT, ujarnya, Pulau Pinang juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam separti itu yang mana ia juga selari dengan dasar kerajaan yang tidak memandang negatif terhadap pembangunan mana-mana negeri.

 

“Kita ada MRT, LRT di Lembah Klang, kenapa ia tidak boleh dialih ke salah sebuah kota terbesar di negara ini, kenapa tidak kita adakan juga LRT (MRT) di Pulau Pinang?” katanya.

 

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan, projek tambakan laut selatan Pulau Pinang itu telah memperoleh kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan dijangka bermula suku ketiga tahun ini sebaik sahaja mendapat kelulusan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP).

 

Projek tambakan itu melibatkan keluasan hampir 17 kilometer persegi membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas bertujuan mencari dana bagi menjalankan projek LRT.

 

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di negeri ini kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut di perairan berkenaan. – UTUSAN

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!