Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek PSR: Pulau Pinang sangkal dakwaan Nurul Izzah

Projek PSR: Pulau Pinang sangkal dakwaan Nurul Izzah

Diterbitkan oleh Sinar Harian • 01/06/2021

Gambar kecil: Zairil Khir Johari

GEORGETOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang menyangkal beberapa dakwaan yang dibuat Nurul Izzah Anwar berhubung projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) sehingga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menggesa projek berkenaan dibatalkan.

 

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri memahami kegusaran Nurul Izzah yang menggelarkan projek tersebut sebagai ‘penuh dengan risiko, hutang, ketidakpastian’.

 

Bagaimanapun, katanya, kegusaran Nurul Izzah itu jauh dari realiti sebenar kerana antara sebab utama kerajaan negeri memilih model usaha sama bersama rakan pelaksana projek (PDP), SRS Consortium adalah untuk mengurangkan risiko tersebut.

 

“Saya faham dengan kegusaran yang timbul berhubung projek mega ini, namun realitinya tidak seperti yang difikirkan. Sekiranya kerajaan negeri mengusahakan PSR secara sendiri, ia akan menjadi beban kewangan yang besar.

 

“Bukan sahaja modal berbilion ringgit diperlukan untuk projek tambakan laut, pulangan pula hanya akan dinikmati setelah beberapa tahun kerana tanah tidak dapat dijual sehingga projek tambakan siap,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

 

Zairil berkata, semua risiko dan hutang berkaitan termasuk kos pembiayaan dan jaminan korporat ditanggung oleh rakan kongsi utama SRS Consortium iaitu Gamuda Berhad.

 

“Sekiranya berlaku kemungkiran (default), ia telah dipersetujui bahawa semua tanah yang ditambak tidak akan dikaveat oleh peminjam. Oleh itu, semua potensi risiko telah dikurangkan dengan sebaik-baiknya.

 

“Mengenai isu mata pencarian nelayan yang didakwa akan terjejas, perlu ingat bahawa pakej ex-gratia yang ditawarkan kepada nelayan adalah pakej bayaran berskala besar paling lumayan di Malaysia.

 

Disyorkan artikel ini:

  • Kerajaan Pulau Pinang ego, tidak sensitif: Che Abdullah
  • Pulau Pinang tidak terima arahan larang kumpul maklumat nelayan
  • Pulau Pinang nafi PSR bawa malapetaka kepada nelayan

 

“Bukan sahaja bayaran tunai, mereka juga akan menerima bot dan enjin baharu serta membawa jumlah nilai pakej tersebut kepada hampir RM60,000 setiap seorang tertakluk kepada kategori,” katanya.

 

Tambah beliau, di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial, beberapa usaha tambahan akan dilakukan seperti program pengimbangan ekologi, antaranya penanaman pokok bakau, pelabuhan tukun tiruan dan unjam.

 

“Semua ini berfungsi sebagai kawasan ikan berkumpul, pelepasan benih ikan dan udang serta peruntukan dana bagi penyelidikan perikanan, tukun dan ekologi laut.

 

“Selain itu, Nurul Izzah menyatakan kepentingan peningkatan kemahiran sebagai penyelesaian yang lebih menyeluruh. Saya setuju dengan kenyataan beliau kerana selain pakej ex-gratia, program kemahiran semula untuk nelayan sepenuh masa juga akan dilaksanakan. Melaluinya, mereka akan mendapat peluang pekerjaan semasa tempoh pelaksanaan projek PSR,” katanya.

 

Ujarnya, bagi meyakinkan Nurul Izzah, kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia untuk mengaturkan perjumpaan bersama nelayan terlibat agar beliau mendapat gambaran lebih tepat dan bukannya bersandarkan kepada nasihat yang salah.

 

Katanya, PSR dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) telah diiktiraf oleh Majlis Perundingan Pemulihan Sosio-Ekonomi Pulau Pinang (PSERCC) sebagai pemacu pemulihan utama untuk memastikan keadaan ekonomi akan terus sihat sepertimana rakyat Pulau Pinang ketika dan selepas krisis Covid-19.

 

“Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) telah dikaji dan langkah-langkah mitigasi telah dirancang di bawah program ofset ekologi. Oleh itu, kerajaan negeri telah mengambil kira kajian Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Low Carbon Cities Framework dan laporan bebas oleh Royal HaskoningDHV dalam perancangan PSR.

 

“Mudah untuk mendakwa tambakan laut adalah buruk untuk alam sekitar, namun hakikatnya tambakan laut telah diiktiraf oleh IPCC sebagai ‘teknologi matang dan efektif’ yang boleh mewujudkan tahap keselamatan boleh ramal seterusnya berfungsi sebagai salah satu cara mitigasi impak perubahan iklim,” katanya.

 

Pada Isnin, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Pulau Pinang supaya membatalkan projek PSR serta-merta. Beliau menyifatkan projek tersebut telah tersasar daripada tujuan asalnya kerana lebih banyak menumpukan kepada kepentingan sesetengah pihak, mengabaikan kelestarian alam sekitar serta menjejaskan punca rezeki golongan nelayan.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!