24 Feb Projek PSR : Nelayan zahirkan sokongan demi kepentingan generasi akan datang
Diterbitkan oleh Buletin Mutiara • 24/02/2021
PADA 5 Februari 2021, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan pemberian saguhati kepada 1,615 nelayan membabitkan sembilan unit nelayan yang berada dalam lingkungan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).
Turut diumumkan adalah skim cadangan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang membabitkan pemberian wang tunai sebanyak RM20,000 secara berperingkat kepada tekong (Tahap 1) daripada empat unit nelayan (Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul), bot berkepanjangan 27 kaki persegi berserta enjin berkuasa kuda 60 atau 75 bagi memenuhi keperluan tekong meneruskan aktiviti tangkapan. Manakala, awak-awak pula menerima RM12,960 secara berperingkat.
Bagi lima unit nelayan lain (Seri Jerjak, Batu Maung, Teluk Tempoyak, Pulau Betong dan Kampung Sungai Burong) tekong menerima RM13,200 secara berperingkat dan awak-awak sebanyak RM5,400 secara berperingkat.
Selain itu, SIMP turut mencadangkan pembinaan empat buah jeti baharu dengan sebuah jeti serba guna di Permatang Tepi Laut yang berpotensi dibangunkan sebagai lokasi tarikan pelancongan.
Difahamkan, bayaran pendahuluan akan dibuat (mulai Mac 2021) setelah para nelayan terlibat mendaftarkan maklumat dan butiran peribadi di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul yang telah bermula sejak 8 Februari 2021.
RASHID Ahmad.
Salah seorang nelayan yang telah membuat pendaftaran, RASHID AHMAD, 68, berkongsi pandangan bahawa pemberian saguhati oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tekong sepertinya adalah peluang yang baik.
Menurutnya, para nelayan masih boleh meneruskan pekerjaan mereka meskipun projek PSR dimulakan. Hal ini demikian kerana, kebanyakan nelayan yang ada pada hari ini menjalankan aktiviti penangkapan jauh dari kawasan tapak projek.
“Macam dakwaan semasa jambatan kedua (Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah) dibina dahulu.
“Ada pihak yang memberitahu nelayan tidak boleh ke laut kerana ikan-ikan telah tiada, tetapi sekarang ini tengok…tiang-tiang jambatan sudah menjadi tukun, nelayan kebanyakannya ke sana untuk menangkap ikan,” ujarnya yang menyangkal dakwaan bahawa nelayan tidak boleh ke laut untuk mencari makan setelah penambakan bermula.
Beliau yang pernah menjadi jurulatih silat dan muay thai serta menyertai rombongan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke Australia sekitar tahun 70-an, telah cuba menerangkan kebaikan PSR kepada rakan-rakan nelayan lain namun ramai yang tidak bersetuju dengannya.
“Saya buat (memberi penerangan kepada nelayan lain) apa yang saya rasa logik kerana Pulau Pinang bukanlah negeri pertanian, kita (Pulau Pinang) negeri perindustrian dan pelancongan dan memerlukan pembangunan.
“Kita (nelayan) sering kata tak mahu anak-anak kita buat pekerjaan susah. Kita mahu melihat mereka (anak-anak) belajar sampai ke universiti jadi cikgu, arkitek, jurutera, peguam atau ahli profesional lain. Tetapi kita membantah pembangunan.
“Ada juga dalam kalangan nelayan yang tidak tahu membaca apatah lagi menonton televisyen…jadi sukar untuk saya bercakap dengan mereka.
“Walaupun ada yang marah, saya tetap dengan pendirian untuk menyokong pelaksanaan projek PSR ini demi pembangunan Pulau Pinang dan masa depan anak-anak saya,” jelasnya yang juga berkongsi kisah susahnya membiayai pendidikan anak-anaknya dahulu sehingga memaksa beliau melakukan kerja sambilan.
GOH Ah Piau.
Bagi GOH AH PIAU, 69, ramai rakan-rakan nelayan khasnya di Gertak Sanggul menyokong projek PSR ini kerana yakin ia akan membawa pembaharuan kepada kawasan perairan selatan Pulau Pinang.
“Lagipun, sekiranya ada pembangunan mesti akan mewujudkan peluang pekerjaan terutama kepada generasi yang akan datang.
“Projek ini akan membangunkan kawasan industri baharu dan saya memahami keperluan projek ini kerana tiga anak saya bekerja di kilang.
“Kalau tiada tanah, kilang tidak dapat dibina. Tanpa kilang, tiada tawaran pekerjaan yang baik untuk anak cucu pada masa depan,” katanya yang berharap generasi emas kini perlu memikirkan kepentingan pembangunan untuk generasi akan datang.
Sebagai rekod, projek PSR yang berkeluasan 1,740 hektar itu secara keseluruhannya akan dibangunkan sebagai kawasan pembangunan strategik dan mampan bagi perindustrian berteknologi tinggi, membangunkan bandar raya pintar, mewujudkan lebih 300,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2050 serta menghasilkan kawasan baharu untuk projek komersil, perumahan dan pelancongan.
MOHD. Ismail Lai Abdullah.
Turut berkongsi pandangan ialah MOHD. ISMAIL LAI ABDULLAH, 74, yang juga menyokong projek PSR.
Katanya, nelayan di selatan perairan Pulau Pinang tidak hanya menangkap ikan di kawasan yang bakal menjadi tapak tambakan.
“Nelayan sekarang telah pergi jauh (dari lokasi tambakan) untuk menangkap ikan.
“Jadi kalau penambakan bermula sekarang, saya rasa tidak ada masalah…lagipun tak perlu membantah kerana projek ini akan menjana kerja sambilan lain untuk anak cucu kita.
“Lagipun, saya dah lanjut usia, mungkin tidak sempat melihat perkembangan projek ini sampai selesai. Saya harap cucu-cucu akan menerima manfaat (daripada projek PSR) kelak,” responsnya yang turut berkongsi kisahnya sebagai nelayan.
Sorry, the comment form is closed at this time.