Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek PSR lahirkan jurumudi dalam kalangan nelayan

Projek PSR lahirkan jurumudi dalam kalangan nelayan

Published by Bharian • 09/06/2022 • 07:26pm

Ahmad Zakiyuddin (dua, kiri) melihat sijil dan lesen jurumudi diterima Fajinah selepas lulus kursus dan ujian menjadi jurumudi yang sah hari ini. Foto Bernama

GEORGETOWN: Penang Infrastructure Corporation (PIC) menawarkan kursus jurumudi kepada nelayan dari kawasan Pulau Pinang selatan, dalam usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bagi nelayan menerusi skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

 

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata menerusi kursus itu, nelayan yang mengikuti akan mendapat lesen jurumudi sah dan diakui Jabatan Laut Malaysia (JLM), yang secara tidak langsung mampu menambah pendapatan mereka.

 

“Pembangunan projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) dipelopori kerajaan negeri tidak berhasrat menjejaskan pendapatan nelayan di kawasan berkenaan dan kami beri jaminan ia akan membawa komuniti Pulau Pinang selatan khasnya nelayan maju bersama kami.

 

“Sebab itu PIC menawarkan kursus jurumudi dan ujian ‘Mate Domestik 500 Gt’ (terbuka), percuma kepada mereka dan hari ini sembilan nelayan kumpulan pertama berjaya mendapatkan lesen jurumudi selepas mengikuti kursus sejak 28 Februari hingga 6 Mac lalu serta ujian oleh Jabatan Laut pada 21 dan 22 April lalu,” katanya selepas menyampaikan Sijil Perakuan Kekompetenan (COC) kepada sembilan nelayan yang berjaya mendapatkan lesen jurumudi, di Universiti Sains Malaysia di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Darus dan Pengarah Jabatan Laut Wilayah Utara, Mohd Hafiz Abdul Majid.

 

Kursus jurumudi itu merangkumi topik menjangka peta, peraturan, meteorologi, pengetahuan umum mengenai kapal dan kejuruteraan, latihan am dan ‘Restricted Operator Certificate’.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata, selepas mendapat lesen jurumudi, nelayan mempunyai kemahiran dan kelayakan membawa bot penumpang serta boleh menyediakan perkhidmatan pengangkutan air dengan menggunakan bot penumpang berlesen.

 

Katanya, perkhidmatan pengangkutan air ini akan menjadi satu keperluan ketika peringkat pembinaan PSR dan di sini peranan nelayan mempunyai lesen jurumudi akan menjadi penting, malah pada masa sama dapat membuka peluang untuk mereka mencari pendapatan tambahan.

 

“Pendapatan nelayan tidak akan hilang akibat pembangunan PSR tetapi akan menjadi lebih baik, malah selain kursus dan latihan, skim SIMP juga akan memberi manfaat lain termasuk bot dan enjin baharu, jeti baharu, peluang pekerjaan dan perniagaan serta skim pendidikan dan perumahan.

 

“Selain itu, untuk memastikan pekerjaan nelayan tidak terganggu, projek PSR juga akan menyediakan alur navigasi yang mempunyai kelebaran minimum 250 meter, untuk membolehkan nelayan turun ke laut 24 jam sehari tanpa mengira air pasang atau surut,” katanya.

 

Sementara itu, nelayan wanita yang juga penerima lesen jurumudi, Fajinah Jaafar, 61, berkata beliau menjadi nelayan sejak 40 tahun lalu dan hampir berputus asa ketika mengambil ujian itu kerana soalan sangat mencabar, namun nekad mendapatkan lesen jurumudi.

 

“Daripada sembilan orang, hanya saya seorang wanita dan bertekad mendapatkan lesen, supaya boleh menceburi bidang jurumudi bagi menambah pendapatan, selain hanya menjadi nelayan selama ini,” kata ibu tunggal dua anak lelaki dan empat cucu itu. – BERNAMA

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!