Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek PSR: Jeti sementara dibina di Permatang Tepi Laut

Projek PSR: Jeti sementara dibina di Permatang Tepi Laut

Published by Utusan Malaysia • 28/02/2022 • 10:00 am

Farizan Darus (kanan) memberi penerangan mengenai pembinaan jeti nelayan di Sungai Bayan Lepas pada sesi penerangan berkaitan manfaat projek PSR kepada nelayan di kawasan terbabit Khamis lalu.

BAYAN LEPAS: Nelayan yang beroperasi di sepanjang Sungai Bayan Lepas bakal mendapat kemudahan baharu apabila jeti yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dibina untuk kegunaan mereka tidak lama lagi.

 

Pembinaan jeti itu adalah sebahagian daripada pakej pembangunan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) untuk keselesaan nelayan.

 

Bagi memastikan kira-kira 70 bot nelayan dari kawasan Kampung Binjai dan Permatang Tepi Laut tidak terjejas, kerajaan negeri Pulau Pinang memutuskan membina jeti sementara tersebut.

 

Perkara itu sudah dimaklumkan kepada nelayan terbabit menerusi satu sesi penerangan pada Khamis lalu.

 

Jeti sementara itu adalah langkah pertama ke arah pembinaan jeti nelayan Permatang Tepi Laut yang kekal di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR).

Pemandangan jeti nelayan di Sungai Bayan Lepas yang tidak mempunyai kemudahan sempurna. Namun, kerajaan negeri Pulau Pinang bakal membina kemudahan baharu lengkap dengan kemudahan diperlukan.

Jeti kekal

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Datuk Seri Farizan Darus berkata, pembinaan jeti kekal akan mengambil masa beberapa tahun memandangkan Pulau A PSR perlu diwujudkan terlebih dahulu untuk menjadi benteng penahan ombak bagi melindungi jeti tersebut.

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan menaik taraf jeti sementara di Kampung Binjai terlebih dahulu sebagai persediaan untuk membina jeti yang kekal di Permatang Tepi Laut,” katanya pada sesi penerangan tersebut.

 

Kerja-kerja awal di Kampung Binjai merangkumi pembinaan lebih kurang 30 tempat untuk bot nelayan berlabuh, stor untuk penyimpanan barang, bilik air dan gerai.

 

Projek naik taraf ini juga meliputi kerja pembinaan jalan akses baharu dan tebing sungai.

 

Kerja-kerja di Permatang Tepi Laut pula melibatkan pembinaan lebih kurang 40 tempat untuk bot berlabuh diikuti stor nelayan, bengkel membaiki dan penyelenggaraan bot, gerai serta mesin membuat ais.

 

Pada masa ini, jeti nelayan di Sungai Bayan Lepas tidak mempunyai kemudahan yang sesuai. Bot nelayan hanya dilabuhkan di tebing sungai dan diikat pada kayu yang dipacak di dalam air.

 

Selain itu, kebanyakan pondok yang dibina oleh nelayan sendiri untuk menyimpan peralatan dan barang-barang seperti pukat sudah usang and mengalami kerosakan.

 

Farizan berkata, kerajaan negeri akan terus mengadakan perjumpaan dengan nelayan dalam tempoh beberapa minggu ini untuk mendengar pandangan mereka mengenai rancangan tersebut.

 

Beliau berkata, pandangan nelayan penting untuk menambah baik rancangan pembinaan jeti sementara tersebut.

 

“Reka bentuk jeti sementara dan kemudahan yang diperlukan akan mengambil kira pandangan nelayan.

 

“Sekiranya semua lancar, kita menjangka akan melantik perunding dalam beberapa minggu ini dan memulakan kerja mereka bentuk dan kajian tapak pada bulan Mac dan April.

 

“Kerja pembinaan secara berperingkat dijangka bermula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan selesai dalam suku kedua tahun 2023,” katanya.

Mohd Noor Ramli

Rosak dan roboh

 

Mohd Noor Ramli, 48, seorang nelayan dari Kampung Binjai, menyambut baik rancangan ini berkata, nelayan yang melabuhkan bot di sepanjang Sungai Bayan Lepas sememangnya kekurangan kemudahan yang sesuai.

 

“Bot kami terlindung daripada pukulan ombak semasa ribut tetapi bangsal kami mudah rosak dan roboh. Kami bina sendiri tanpa pelan.

 

“Kami tiada pilihan lain kerana tiada kemudahan yang sesuai untuk menyimpan peralatan. Jadi kami kena buat sendiri,” katanya.

 

Mohd Noor yang telah menjadi nelayan lebih kurang 20 tahun berkata, sekiranya nelayan boleh mendapat kemudahan yang sepatutnya, mereka akan dapat tidur dengan lena.

 

Seorang lagi nelayan Permatang Tepi Laut, Zazali Sirun, 53, bersetuju kemudahan baru akan memanfaatkan nelayan yang memerlukan stor yang tertutup untuk menyimpan peralatan mereka dengan selamat.

 

“Kalau ada kemudahan stor yang sesuai, nelayan tidak perlu risau barang-barang hilang atau rosak dalam ribut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat cadangan kerja awalan pembinaan jeti nelayan Permatang Tepi Laut yang juga dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung, Datuk Abdul Halim Hussain.

 

Zazali juga menyambut baik rancangan untuk membina jeti kekal di Permatang Tepi Laut yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk nelayan.

 

Katanya, nelayan memerlukan jeti di mana mereka boleh melabuh bot dengan selamat.

 

“Pada masa ini, nelayan yang melabuh bot di tepi pantai membuat sauh sendiri untuk mengikat bot. Kalau bot karam, itu salah sendiri kerana tali yang diikat tidak tahan.

 

“Kalau ada jeti, nelayan tidak perlu risau,” kata Zazali yang menjadi nelayan sejak usia 15.

Produk pelancongan

 

Dalam pada itu Farizan menambah, jeti kekal di Permatang Tepi Laut mempunyai potensi besar untuk menjadi satu produk pelancongan baharu kerana terletak berhampiran tapak cadangan Stesen LRT Permatang Damar Laut.

 

“Dengan lokasinya yang strategik dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, jeti ini mempunyai potensi besar sebagai produk pelancongan.

 

“Selain menyediakan kemudahan nelayan, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk menyediakan restoran, pasar hasil laut, kawasan riadah seperti taman tepi sungai, trek pejalan kaki dan basikal, serta jeti pelancongan yang boleh menawarkan perkhidmatan bot persiaran, teksi air dan aktiviti agropelancongan seperti perikanan rekreasi.

 

“Jika dibangunkan dengan baik, jeti ini akan memeriahkan kawasan ini dan membawa banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada komuniti nelayan,” katanya.

 

Sementara itu, Abdul Halim berharap jeti yang bakal dibina akan lebih moden dan cantik untuk memartabatkan kerjaya nelayan.

 

Beliau menekankan bahawa pembangunan yang dirancang mesti ke arah meningkatkan kualiti hidup komuniti nelayan dan keluarga mereka bagi jangka masa yang panjang.

 

“Kita mahu melihat peningkatan sosial dalam komuniti nelayan melalui penyediaan kemudahan yang lebih baik dan peningkatan hasil pendapatan agar pekerjaan mereka boleh diteruskan,” katanya.

 

Abdul Halim juga berkata pemodenan nelayan melalui usaha seperti penubuhan koperasi, pemberian bot lebih besar, kemudahan berkaitan, dan penyediaan latihan kemahiran kepada anak-anak nelayan untuk mengajar mereka membawa bot besar, membaiki bot dan enjin juga penting dalam memastikan kesinambungan kerjaya nelayan.

 

“Kita ingin melihat pekerjaan nelayan sebagai satu kerjaya untuk anak-anak nelayan di mana sebagai nelayan mereka akan mendapat pendapatan yang memuaskan dan dapat meningkatkan pendapatan isi keluarga dengan kemudahan jeti, peralatan perikanan seperti bot dan enjin yang lebih besar dan kaedah perikanan moden.

 

“Dengan itu, generasi muda akan melihat pekerjaan nelayan dengan lebih positif,” katanya. – UTUSAN

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!