Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek PSR bantu pulih, jana ekonomi kontraktor, peniaga kecil

Projek PSR bantu pulih, jana ekonomi kontraktor, peniaga kecil

Diterbitkan oleh Utusan Malaysia • 13/10/2021 • 12:00 pm

AHMAD AYOB

BAYAN LEPAS: Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) perlu dilaksanakan kerana ia mampu membantu usahawan dan memulihkan perniagaan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

 

Kontraktor dari Batu Maung, Ahmad Ayob, 49, berkata, dia berharap boleh mendapat kontrak dalam projek penambakan tersebut setelah kehilangan banyak peluang berniaga selama hampir dua tahun akibat pandemik tersebut.

 

Malah, dalam meneruskan kelangsungan hidup, keluarganya kini terpaksa membuka warung makanan di tepi jalan di Batu Maung.

 

Kata Ahmad, syarikat kontraktornya, Al Kanz Enterprise boleh membuat kerja landskap, menebang pokok, membina jeti, renovasi, mengecat dan membaiki bangunan, memungut sampah, menghantar barang, dan sebagainya sekiranya projek PSR dimulakan.

 

“Jika PSR boleh dilaksanakan, kontraktor tempatan seperti saya berpeluang mendapat kerja-kerja kontrak kecil dan ini sangat membantu syarikat saya.

 

“Sebelum Covid-19, saya bekerja tanpa henti dan dalam setahun, saya mendapat 30 kontrak. Tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini iaitu selepas pandemik Covid-19, saya hanya mendapat empat atau lima kontrak,” katanya.

 

Membantu peniaga tempatan

 

Ahmad berkata, pelaksanaan projek yang besar seperti PSR akan memberi talian hidup kepada banyak perniagaan yang terlibat dalam rantaian bekalan di Pulau Pinang.

 

“Jika kontraktor mendapat kerja, maka kontraktor akan perlu mengambil pekerja yang mana peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Orang yang diambil itu mendapat upah atau gaji untuk menyara diri dan keluarga.

 

“Apabila kontraktor membeli bahan, syarikat pembekal tempatan akan mendapat perniagaan dan pendapatan. Syarikat yang ada perniagaan dapat terus beroperasi dan mengekalkan pekerja mereka.

 

“Jika kita mengambil kira semua ini, PSR adalah projek yang penting untuk ekonomi. Ia akan membawa perubahan ke kawasan ini dengan mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan,” katanya.

 

Pelaksanaan PSR kini tertangguh akibat pembatalan kelulusan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) ekoran rayuan kepada Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang merupakan pemilik projek PSR dilaporkan akan memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Rayuan dan mengemukakan semula Laporan EIA kepada JAS untuk kelulusan.

MOHAMAD AZAHAR AHMAD

Sementara itu, Mohamad Azahar Ahmad, 51, yang mempunyai pengalaman 30 tahun sebagai kontraktor juga berharap projek PSR dimulakan segera sekali gus memberi peluang kepada kontraktor tempatan.

 

“Saya berharap kerajaan negeri akan menggunakan kontraktor dalam senarai CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) dan PKK (Pusat Khidmat Kontraktor) serta memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan dari Pulau Pinang,” katanya.

 

Tambah Azahar, syarikatnya juga terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sehingga terpaksa melepaskan pekerja-pekerjanya dan menutup pejabatnya di Sungai Pinang.

 

Ekoran itu katanya, dia kini mengusahakan kedai makan Fauziah Tomyam bersama isterinya di Permatang Damar Laut yang berhampiran dengan tapak projek PSR.

 

“Syarikat kontraktor saya banyak mendapat kontrak membuat jalan dan parit. Kami dulu juga mengusahakan kantin sekolah asrama.

 

“Jika PSR mahu memberi kontrak membekalkan makanan kepada pekerja, kami juga berminat,” katanya.

HANIS ABDUL RAZAK

Dalam pada itu, penduduk Permatang Damar Laut, Hanis Abdul Razak, 34, yang mengusahakan kantin di sebuah kilang di Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas turut menyatakan minat dan berharap mendapat kontrak membekalkan makanan kepada pekerja PSR.

 

“Jika ada peluang, saya mahu kerana boleh mendapat pendapatan tambahan untuk keluarga,” katanya.

 

Keluarga Hanis telah lama bergiat dalam bidang perniagaan makanan dan kini mengusahakan kedai nasi dalca di Kampung Binjai.

 

Peluang untuk membangun

 

Hanis berkata, keluarganya menyokong rancangan untuk membangunkan PSR kerana percaya pelaksanaannya akan membawa manfaat kepada penduduk tempatan dan pembangunan ke kawasan kampung.

 

Katanya, meskipun terdapat segelintir penduduk kampung yang baru-baru ini mendakwa projek PSR sudah terbatal, dia sendiri masih menanti-nanti untuk melihat PSR dilaksanakan.

 

“Saya berpendapat akan ada pembaikan dari segi kemudahan dan pertumbuhan ekonomi daripada projek PSR dan saya juga berharap projek itu akan mewujudkan tempat tarikan pelancong.

 

“Apabila projek siap, tentu akan ada banyak lagi peluang pekerjaan untuk orang tempatan. Saya cuma berharap keutamaan akan diberi kepada orang tempatan, bukan orang asing.

 

“Saya percaya komuniti nelayan juga akan mendapat peluang-peluang baharu kerana kerja nelayan susah. Dengan adanya projek ini, mungkin mereka akan ada pilihan lain,” katanya.

TAN KEAN SENG

Bagi pengusaha syarikat bas kilang, Tan Kean Seng, 58, pula, dia berharap boleh mendapat kontrak perkhidmatan pengangkutan untuk menghantar pekerja pembinaan apabila pelaksanaan projek bermula, juga mempertahankan PSR.

 

Dia menegaskan pelaksanaan PSR mesti diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.

 

“Saya bersama anak-anak dan kawan-kawan tertunggu-tunggu projek ini berjalan. Agak mengecewakan projek masih tidak dapat dilaksanakan sedangkan ramai mengharapkan peluang perniagaan dan pekerjaan.

 

“Projek ini mesti dilaksanakan untuk menjamin pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang pada masa depan,” katanya.

 

Tan yang berasal dari Batu Maung menyambut baik rancangan untuk membangunkan taman perindustrian berteknologi tinggi baru di Pulau A PSR.

 

Dia juga melihat sendiri bagaimana pembukaan FIZ di Bayan Lepas telah menjadikan Pulau Pinang salah satu negeri yang paling membangun di Malaysia walaupun tidak mempunyai sumber asli seperti negeri lain yang lebih besar.

 

Katanya, jika kerajaan negeri pada tahun 70-an tidak mengambil langkah untuk membuka kawasan perindustrian, ramai yang telah meninggalkan Pulau Pinang untuk mencari pekerjaan di tempat lain.

 

“Kawasan ini tidak mempunyai apa-apa sebelum itu. Hanya ada hutan dan laut. Sekarang kita ada kilang-kilang ternama yang dibuka oleh pelabur asing. Ramai orang Malaysia mendapat kerja.

 

“Banyak perniagaan tempatan juga berkembang kerana kilang-kilang ini. Saya menyokong kalau mahu membina lebih banyak kilang di PSR. Semua ini adalah untuk kebaikan ekonomi dan rakyat Pulau Pinang,” katanya.

 

Projek masih diteruskan

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penang Infrastructure Corporation, Datuk Seri Farizan Darus berkata, kerajaan negeri masih komited dalam melaksanakan PSR yang akan membawa limpahan ekonomi yang memanfaatkan rakyat walaupun menghadapi cabaran dengan isu kelulusan EIA.

 

Katanya, kerajaan negeri sedang membuat perancangan dan persediaan untuk mengemukakan semula laporan EIA kepada Jabatan Alam Sekitar sebelum akhir tahun ini.

 

Farizan berkata, kerajaan negeri telah membuat perancangan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk orang tempatan di sekitar kawasan Pulau Pinang Selatan tetapi perkara tersebut kini tertangguh.

 

“Kerajaan negeri telah bercadang untuk membelanjakan hampir RM86 juta untuk pembayaran tunai saguhati (ex-gratia) kepada nelayan terlibat, perbelanjaan bagi bekalan bot dan kelengkapan enjin serta kerja-kerja awalan tambakan.

 

“Jumlah ini jika disuntik ke ekonomi tempatan khasnya di kawasan ini sudah pasti dapat memberi kesan positif kepada ekonomi.

 

“Perancangan kerajaan negeri juga termasuk peluang untuk peniaga-peniaga kecil mendapat kontrak untuk membekalkan makanan, perkhidmatan pengangkutan pekerja dan lain-lain, tetapi semua ini tertangguh buat masa ini,” katanya.

 

Farizan berkata, projek PSR setakat ini telah mengambil orang tempatan untuk mengisi jawatan seperti pekerja am, pegawai maklumat Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan, jurutera dan lain-lain.

 

“Namun, cadangan untuk mengambil 45 lagi pekerja tempatan termasuk kategori mahir dan separuh mahir tahun ini juga tertangguh akibat pembatalan EIA.

 

“Walau bagaimanapun, dalam masa terdekat, kami berharap dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang lain dan kontrak untuk kerja penyelidikan marin dan alam sekitar dan sebagainya,” tambahnya. – UTUSAN

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.