Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek PSI terus tarik minat mahasiswa dalami aspek ESG

Projek PSI terus tarik minat mahasiswa dalami aspek ESG

Published by Utusan • 22/6/2023

BAYAN LEPAS: Projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) di sini semakin menarik perhatian dan minat ahli akademik dan pelajar institusi pengajian tinggi dari pelbagai bidang untuk mendapatkan maklumat mendalam mengenai projek tersebut khususnya berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Datuk Seri Farizan Darus berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang mengalu-alukan lawatan pelajar dan pensyarah ke tapak projek PSI dan gembira mereka dapat melihat kebaikan jangka masa panjang projek itu dari segi pembangunan negeri, pelaburan, peluang pekerjaan dan penambahbaikan keadaan sosio ekonomi rakyat.

 

“Kami menghargai minat mereka dalam projek milikan kerajaan negeri ini dan mengalualukan lawatan mereka.

 

“Kami juga gembira projek PSI dapat membantu pembelajaran pelajar universiti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sebelum ini, dua rombongan pelajar dan pensyarah dari Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Bahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pusat Pengajian Teknologi Industri dan Universiti Sains Malaysia (USM) berkunjung ke Pusat Perkhidmatan

 

Setempat Nelayan (PPSN) di Permatang Damar Laut bertujuan mendapatkan maklumat yang lebih mendalam mengenai projek PSI.

 

Mereka telah menerima taklimat mengenai Program Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM), Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan program penglibatan komuniti (PELITAKU) yang mewujudkan peluang perniagaan untuk masyarakat setempat.

 

Dalam pada itu, pensyarah UiTM, Dr. Lilawati Ab. Wahab yang membawa rombongan 50 pelajar sarjana muda ukur bahan ke PPSN berkata, lawatan itu telah memberikan pelajarnya pengetahuan yang boleh diguna pakai di tempat kerja pada masa depan.

 

“Kedatangan kami adalah untuk mendapatkan pengetahuan dengan lebih mendalam tentang penambakan Silicon Island, khususnya dari segi ekonomi dan ESG.

 

“Projek seperti ini banyak berkaitan dengan pembelajaran pelajar dan dari segi ekonomi, pelajar dapat melihat bagaimana projek ini dapat memberi manfaat ekonomi dari permulaan projek lagi,” katanya.

 

Sementara itu, seorang pelajar UiTM, Muhamad Hafith Nasir berkata, berdasarkan pemerhatiannya, projek PSI bakal memberi banyak impak dari segi ekonomi dan sosial seperti menarik pelabur dan mewujudkan peluang pekerjaan.

 

“Skim SIMP membantu nelayan menambah baik kehidupan mereka dari segi taraf hidup dan sosio ekonomi,” katanya. – UTUSAN

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!