28 Dis Projek PSI: Nelayan mula daftar, terima baik SIMP
Published by Berita Harian• 20/10/2023
Semakin ramai nelayan Pulau Pinang Selatan mula menerima pelaksanaan projek PSI milik kerajaan negeri dan mendaftar di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP). – Foto fail NSTP
GEORGETOWN: Semakin ramai nelayan Pulau Pinang Selatan mula menerima pelaksanaan projek Tambak Laut Pulau Pinang Selatan (PSI) milik kerajaan negeri dan mendaftar di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).
Selepas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan pada 1 September lalu mengenai kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan permulaan kerja penambakan pada hari sama, lebih ramai nelayan mengunjungi Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) untuk mendaftarkan di bawah skim SIMP.
Dalam tempoh dua bulan sejak kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) PSI, sebanyak 70 peratus daripada nelayan tahap satu dan 47.4 peratus nelayan tahap dua di kawasan Pulau Pinang Selatan mendaftar.
Peratusan itu meningkat berbanding hanya 56.6 peratus nelayan tahap satu dan 17.1 peratus tahap dua berdaftar dalam tempoh lebih dua tahun sejak pengumuman skim SIMP pada awal 2021.
Setakat ini, lebih separuh daripada jumlah nelayan yang layak sudah membuat pendaftaran SIMP, malah mereka juga lebih bersedia dan sudi untuk menyuarakan pandangan masing-masing mengenai PSI.
Rosli Din, 58, nelayan dari unit nelayan Permatang Tepi Laut yang terletak paling dekat dengan tapak PSI, berkata beliau teruja untuk menerima ex-gratia, bot sepanjang 8.23 meter (27 kaki) dan enjin yang lebih berkuasa.
“Dengan adanya bot yang lebih besar dan enjin yang lebih berkuasa, saya tidak bimbang untuk pergi lebih jauh untuk menangkap ikan,” katanya.
Rosli, yang lebih 30 tahun menjadi nelayan, tidak mendaftar lebih awal kerana hanya mendapat lesen nakhoda tahun lalu selepas mencuba selama lima tahun.
“Saya mahu menunggu sehingga saya mendapat lesen nakhoda saya. Sekarang, masanya tepat. Saya menantikan faedah SIMP,” katanya.
Semua nelayan Pulau Pinang selatan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan layak menerima bantuan kewangan di bawah SIMP, manakala bantuan bot diberikan kepada semua pemilik bot dari unit nelayan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.
Pasangan tekong dan awak-awak, Rohhman Darus, 63, dan Hezri Muhammad, 49, dari unit Sungai Batu juga mendaftar awal September lalu selepas menerima khabar bahawa PSI diberi kelulusan untuk memulakan kerja penambakan.
Kedua-duanya dari unit nelayan Sungai Batu, yang paling kuat menentang pelaksanaan PSI.
“Saya tidak tahu mengapa mereka mahu membantah dan sepatutnya unit nelayannya perlu menerima hakikat bahawa projek ini sudah berjalan,” kata Rohhman.
Rohhman secara peribadi percaya PSI adalah baik untuk masa depan serta berminat untuk mengikuti kursus jurumudi di bawah SIMP.
“Adakah mereka menunggu lebih banyak duit? Apa yang kerajaan negeri berikan, kita menerima saja,” katanya.
Sementara itu, Hezri berkata, wajar untuk nelayan membuat pendaftaran SIMP memandangkan penambakan sudah bermula.
“Dulu kami diarah supaya tidak pergi ke PPSN, tetapi kini ketua unit berdiam diri apabila kami meminta kemas kini. Jadi, kami mendaftar,” kata bapa kepada tiga anak dengan anak perempuannya turut layak menerima sokongan pendidikan di bawah SIMP, seperti tajaan yuran tuisyen dan hadiah kecemerlangan atas pencapaian akademik baik di institusi pengajian tinggi.
Selain itu, Nelayan Permatang Tepi Laut, Mat Isa Mat Noor, 65, yang sejak awal lagi sudah mendaftar untuk SIMP berkata, beliau dan seisi keluarga amat puas hati dengan manfaat yang diperoleh.
Tahun lalu, beliau menerima bot baharu yang lebih besar dan enjin yang lebih berkuasa serta baru-baru ini menerima 75 peratus daripada bayaran ex-gratia yang dijanjikan sebanyak RM15,000.
“Saya akan menggunakan wang itu untuk membeli lebih banyak pukat supaya boleh menangkap lebih banyak ikan serta bercadang menyimpan duit terbabit untuk hari tua.
“Kami sangat berterima kasih atas bantuan SIMP. Saya berharap projek ini akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak muda,” katanya.
Sementara itu, nelayan wanita, Fajinah Jaafar, 62, yang juga menyokong projek dan mendaftar untuk SIMP sejak awal lagi berkata, laut dan nelayan tidak akan lenyap akibat PSI.
Sebaliknya, beliau yakin PSI akan mendatangkan manfaat dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan untuk orang tempatan.
“Kami boleh mendapat pendapatan tambahan dan menambah baik kehidupan kami. Nelayan yang belum mendaftar tak harus tunggu lagi dan daftarlah sekarang sebelum sebarang tarikh akhir pendaftaran ditetapkan,” katanya yang juga menerima bot dan enjin baharu serta lesen jurumudi pada tahun lalu di bawah skim SIMP. – BERNAMA
No Comments