Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek PSI mengutamakan prospek jangka panjang untuk memperkasakan sektor ekonomi setempat

Projek PSI mengutamakan prospek jangka panjang untuk memperkasakan sektor ekonomi setempat

Published by Malaysiakini • 14/6/2023

Tekanan pembangunan yang sekian lama tertumpu di Georgetown dan Bayan Lepas seolah-olah membenam potensi transformasi sosioekonomi Pulau Pinang ke arah yang lebih menyeluruh dan mampan, terutamanya dari segi kelestarian ekonomi setempat yang didorong kemajuan teknologi digital – aspirasi yang selaras dengan Visi Penang2030.

 

Membina ekonomi setempat bagi generasi akan datang

 

Membelek sejarah pembangunan Pulau Pinang, kejayaan ‘Pulau Mutiara’ sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan antarabangsa sebenarnya bertunas daripada perancangan jangka panjang setengah abad dahulu yang mula dilaksanakan sekitar 1970-an.

 

Untuk membuka lebih banyak peluang pembangunan baharu dan memimpin ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, dasar pembangunan terancang dan lestari merupakan penjana ekonomi yang mampu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat khususnya bagi generasi akan datang.

 

Meneroka “Ekonomi Baharu” untuk tingkatkan daya saing penduduk

 

Meneroka “Ekonomi Baharu” untuk mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi tradisional supaya kelangsungan hidup rakyat tidak ditelan arus pemodenan merupakan agenda kritikal yang perlu mendapat perhatian semua pihak.

 

Kewujudan ekonomi baharu yang berasaskan teknologi digital dan serasi dengan keperluan masa hadapan memerlukan perancangan yang teliti dan bersistem. Mencari tapak permulaan baharu yang dapat mendokong input pembangunan mesra alam dan mencipta peluang pekerjaan baharu merupakan cabaran yang perlu diatasi bersama.

 

Menjana pertumbuhan jangka panjang dengan penglibatan semua

 

Mencetus pertumbuhan baharu dengan perancangan berwawasan jauh untuk meningkatkan daya saing Pulau Pinang termasuk kebolehpasaran generasi akan datang adalah aspirasi yang wajar dijunjung bersama dengan penglibatan semua pihak.

 

Pemangkin pembangunan masa hadapan seperti projek penambakan Penang South Islands (PSI) berhampiran Bayan Lepas merupakan penerokaan prospek baharu yang dijangka mampu memanfaatkan generasi akan datang.

Kerajaan negeri sedia mendengar dan membantu komuniti nelayan

 

Semenjak projek PSI dibentangkan pada tahun 2015, kewujudan suara yang membantah dan menyokong sentiasa menjadi perbahasan. Keluhan daripada komuniti nelayan setempat dan badan-badan bukan kerajaan mengenai penurunan hasil laut dan sumber pendapatan nelayan serta cabaran pemeliharaan alam sekitar sering terdengar.

Bantuan bot dan pukat serta latihan teknik ternakan kerang terkini

 

Sebagai usaha memelihara kesejahteraan sosioekonomi komuniti nelayan di perairan selatan Pulau Pinang, program kebajikan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) telah dilaksanakan  yang membabitkan pemberian wang tunai sebanyak RM20,000 secara berperingkat kepada tekong Tahap 1 dari Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul; bot berkepanjangan 27 kaki persegi berserta enjin berkuasa kuda 60 atau 75 untuk membantu aktiviti tangkapan mereka; manakala awak-awak pula menerima RM12,960 secara berperingkat.

 

Menurut nelayan yang cukup berpengalaman di perairan selatan Pulau Pinang, Rashid Ahmad, 68, para nelayan masih boleh meneruskan pekerjaan mereka meskipun projek PSI dimulakan. Ini adalah kerana kebanyakan nelayan masa kini menjalankan aktiviti penangkapan jauh dari kawasan tapak projek.

 

“Macam-macam dakwaan semasa jambatan kedua (Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah) dibina dahulu. Ada pihak yang memberitahu nelayan tidak boleh ke laut kerana ikan-ikan telah tiada, tetapi sekarang ini… tengok… tiang-tiang jambatan sudah menjadi tukun, nelayan kebanyakannya ke sana untuk menangkap ikan,” ujarnya yang menyangkal dakwaan bahawa nelayan tidak boleh ke laut untuk mencari makan setelah penambakan bermula.

 

Selain itu, menurut Dr. Norlela Ariffin, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, pada tahun 2022 Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan pukat sejumlah RM959,600, iaitu sebanyak RM400 secara one-off seorang, kepada 2,399 nelayan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

 

“Tahun ini (2023), Kerajaan Negeri bersetuju meneruskan pemberian bantuan ini kepada semua nelayan berlesen iaitu seramai 4,037 nelayan merangkumi 3,710 nelayan laut dan 327 nelayan sungai dengan kos keseluruhan RM1.61 juta,” beliau menyampaikan berita baik.

 

Sementara itu, kejayaan projek perintis ternakan kerang secara tersusun seperti 26 tapak kerang di Seberang Perai Utara dan penyusunan semula Lesen Pendudukan Sementara bagi ternakan kerang di Seberang Perai Selatan dan  Seberang Perai Tengah yang berjarak dalam 1.2 sehingga 1.4 kilometer dari kawasan pantai. Inisiatif tersebut mampu mendatangkan hasil yang lebih baik dengan latihan dan teknik ternakan terkini berbanding kaedah tradisional.

Zon tangkapan ikan yang luas di selatan Pulau Pinang

 

Menjawab kebimbangan komuniti nelayan, Perbadanan Infrastruktur Pulau Pinang (PIC) menjelaskan, projek PSI tidak akan menghalang nelayan daripada meneruskan rutin mereka seperti menangkap atau memancing ikan kerana zon tangkapan ikan di selatan Pulau Pinang adalah luas, iaitu sehingga lapan batu nautika (14.8km) dari pantai.

 

Pusat jualan hasil laut dan gerai makanan untuk tingkat sosioekonomi nelayan

 

Kerajaan negeri Pulau Pinang juga memperuntukkan hampir RM800,000 bagi projek pembinaan pusat jualan hasil laut dan gerai makanan dekat Jeti Nelayan Changkat, berhampiran Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Batu Kawan.

 

“Skop kerja bagi projek ini meliputi pembinaan pusat jualan ikan, gerai makanan, tandas, inap desa (kontena), stor dan landasan kapal. Justeru, dengan adanya pusat jualan ini, adalah diharapkan ia dapat menyelesaikan isu peraih atau orang tengah yang sukar dibendung sehingga kini,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

 

Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN)

 

Bagi penduduk pesisir setempat terutamanya mereka yang berasal dari komuniti nelayan Sungai Batu, Gertak Sanggul dan Damar Laut, Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN)yang merupakan pengantara antara kerajaan negeri dan rakyat, sentiasa bersedia menangani isu yang dihadapi oleh nelayan perairan selatan Pulau Pinang, termasuk peluang pekerjaan, pemerkasaan generasi akan datang dan keperluan mereka yang lain.

 

PPSN adalah pusat sehenti yang menyalurkan maklumat sahih mengenai projek PSI di samping menganjurkan program sosioekonomi yang memanfaatkan masyarakat setempat.

Memupuk penglibatan wanita dalam pembangunan sosioekonomi setempat

 

Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) untuk memperkasakan isu-isu wanita dan keluarga dari peringkat akar umbi.

 

“Melalui JPWK, Kerajaan Negeri mendapat maklum balas, cadangan serta idea daripada peringkat akar umbi untuk digubal dalam dasar-dasar yang akan memperkasakan wanita dan keluarga, selaras dengan Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau dan pintar yang berteraskan keluarga inspirasi negara,” ujar Chow.

Tambahan pula, wanita juga berpeluang menrealisasikan potensi mereka melalui Dasar Keterangkuman Gender (DKG) yang bermatlamat mencapai kesaksamaan gender tanpa mengira etnik, agama dan status sosioekonomi. Ini termasuk memastikan keseimbangan gender di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri dengan peluang pelantikan yang sama di setiap peringkat pembuat keputusan dan pelaksanaan mengikut nisbah 40% lelaki, 40% wanita, dan baki 20% terbuka kepada kedua-dua jantina.

 

Peruntukan pembangunan Islam meningkat setiap tahun sejak 2018

 

Demi menjamin kesejahteraan kehidupan umat Islam Pulau Pinang, kerajaan negeri meningkatkan peruntukan kepada RM75.08 juta dalam Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2023, berbanding RM71.13 juta bagi tahun 2022.

 

“Peruntukan ini merangkumi pembangunan bagi tujuan pembinaan, pembaikan dan naik taraf masjid, surau dan sekolah agama, bayaran bantuan pendidikan untuk sekolah agama, bayaran guru KAFA dan pegawai masjid. Selain itu, ia turut menyokong pengurusan jabatan negeri berkaitan hal ehwal agama Islam, pelaksanaan program dan majlis agama serta hal-hal lain yang berkaitan,” jelas Chow.

 

Masjid Papan di Seberang Jaya, Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth, Masjid Bandar Raya Seberang Perai di Bandar Cassia, Masjid Lama Sungai Bakap, Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal dan Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam adalah antara contoh masjid yang mendapat peruntukan pembangunan.

 

Pengecilan penambakan projek PSI daripada tiga pulau kepada satu

 

Susulan perbincangan dan penghalusan berterusan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk penduduk tempatan, komuniti nelayan dan wakil badan bukan kerajaan, skala Projek PSI yang menjadi isu hangat selama ini akan diperkecilkan daripada tiga pulau kepada hanya satu, pengurangan keluasan keseluruhan sebanyak 49% daripada 1,821 hektar kepada 930 hektar.

 

Peluang baharu untuk bina masa hadapan mengikut aliran modenisasi

 

Sila layari laman web Penang Infrastructure Corporation (PIC) untuk maklumat lanjut mengenai projek PSI sambil meneroka peluang pertumbuhan baharu melalui projek ini.

No Comments

Post A Comment