13 Sep Projek Penang South Islands Lancar program pendidikan untuk anak nelayan Pulau Pinang Selatan
Siaran Media
3 SEPTEMBER 2022
Projek Penang South Islands Lancar program pendidikan untuk anak nelayan Pulau Pinang Selatan
BAYAN LEPAS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada hari ini melancarkan program pendidikan yang telah dirancang khas untuk anak-anak nelayan dan anak tempatan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) projek Penang South Islands (PSI).
Program tersebut telah dilancarkan di Universiti Sains Malaysia (USM) oleh Timbalan Ketua Menteri I dan Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan, YB Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Bin Abd Rahman yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Dato’ Seri Farizan Bin Darus.
Majlis tersebut dijayakan dengan kerjasama USAINS Holding Sdn Bhd yang dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Program Hibrid Pendidikan (PHP-2022) empat hari untuk 50 anak tempatan, termasuk anak nelayan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Program PHP-2022 merupakan program jangka pendek yang direka khas untuk membimbing calon SPM dengan teknik-teknik menjawab soalan SPM dan mengulang kaji dengan berkesan dengan menggunakan kaedah pembelajaran gamifikasi dan keseronokan dengan mengambil kira perkembangan emosi mereka.
Guru pakar akan dilibatkan agar pelajar mendapat pendedahan berkaitan format SPM terkini dan pendekatan untuk belajar secara efisyen. Pelajar USM juga akan mengambil bahagian untuk memberi bimbingan, sokongan dan motivasi sebagai mentor dan buddy (rakan pembimbing).
Program PHP-2022 akan dijalankan dalam dua fasa iaitu fasa pertama pada bulan September dan fasa kedua dalam bulan Disember semasa cuti sekolah.
Kedua-dua fasa ini juga dimuatkan dengan sesi motivasi dan kaunseling, serta bengkel keibubapaan yang akan membantu ibu bapa tentang pengurusan masa, kepentingan sokongan keluarga dan makanan berkhasiat untuk pelajar yang akan menghadapi SPM 2022.
Bermula bulan Oktober, dua lagi program akan dijalankan di bawah skim SIMP, iaitu program kelas pemulihan untuk murid Darjah Satu hingga Tiga, dan program Jaya Didik yang melibatkan kelas tuisyen di luar sekolah untuk murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.
Program Kelas Pemulihan yang dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang adalah untuk anak-anak yang masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) memandangkan pengajaran dan pembelajaran telah terjejas akibat pandemik Covid-19. Murid-murid ini akan diberikan dua kali kelas tambahan pada setiap minggu di sekolah masing-masing. Sajian makanan dan bahan pengajaran juga dibekalkan.
Program Jaya Didik pula memberi peluang anak-anak nelayan mengikuti kelas tuisyen di pusat-pusat tuisyen yang telah dikenal pasti sebagai pelaksana program ini. Yuran tuisyen bulanan sebanyak RM200 untuk murid sekolah rendah dan RM250 untuk pelajar sekolah menengah ditanggung oleh Kerajaan Negeri.
Murid dan pelajar yang layak mengikuti program-program ini adalah anak kepada nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan yang belajar di sekolah yang berhampiran dengan tapak PSI dan di luar kawasan projek.
Anak bukan nelayan dari keluarga miskin (B40) yang tinggal di kawasan projek dan berpotensi untuk berjaya dalam peperiksaan dengan bimbingan tambahan juga boleh mengikuti program-program ini tetapi keutamaan akan diberi kepada anak nelayan sebelum pendaftaran dibuka kepada anak-anak tempatan lain.
YB Dato’ Zakiyuddin dalam ucapannya yang dibaca oleh Dato’ Seri Farizan berkata Kerajaan Negeri berhasrat membawa banyak manfaat kepada komuniti nelayan, termasuk anak-anak mereka yang masih di bangku sekolah selaras dengan Visi Penang2030 yang memandu pembangunan Pulau Pinang ke arah sebuah negeri yang pintar dan hijau yang berfokuskan keluarga.
“Anak-anak kita adalah sangat penting kepada pembangunan Pulau Pinang pada masa akan datang, termasuk pembangunan PSI. Untuk jangka masa pendek, kita berharap mereka boleh memanfaatkan peluang pekerjaan yang akan diwujudkan melalui proses penambakan dan pembinaan.
“Untuk jangka masa panjang, kita berharap anak-anak dan mungkin cucu-cucu kita akan menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi taman perindustrian berteknologi tinggi baharu di Pulau A, iaitu Green Tech Park. Pembangunan PSI dijangka mewujudkan 460,000 peluang pekerjaan menjelang 2050.
“Dengan adanya hasrat ini, Kerajaan Negeri mengambil langkah untuk mencari bakat dalam kalangan anak-anak tempatan, termasuk anak-anak nelayan untuk menyokong perkembangan PSI dan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang,” katanya semasa merasmikan program-program pendidikan SIMP tersebut.
Majlis tersebut dihadiri keluarga nelayan Pulau Pinang Selatan, termasuk anak-anak nelayan yang akan mengikuti program PHP-2022 di USM untuk empat hari dan tiga malam bermula dari 3 September. Mereka adalah pelajar Tingkatan 5 dari SMK Batu Maung, SMK Teluk Kumbar, SMK Seri Bayu dan SMK Bayan Lepas.
Turut hadir adalah Pengarah Urusan Kumpulan USAINS Holding Sdn Bhd, Encik Farid Wajidi Mat Yusoff, pegawai-pegawai USM dan USAINS, pensyarah serta wakil-wakil rakan pelaksana projek PSI, SRS Consortium yang telah memainkan peranan dalam merancang pelaksanaan program-program pendidikan tersebut.
Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium, Azmi Bin Mohamad menasihati pelajar-pelajar tersebut untuk memanfaatkan program PHP-2022 di USM sebaik-baiknya dan mengambil peluang tersebut untuk merasa sendiri kehidupan kampus.
“Manfaatkan setiap detik di sini, ikuti semua aktiviti dengan bertanggungjawab, jaga imej masing-masing, beri tumpuan dan berusaha sedaya upaya demi masa depan anda.
“Saya juga difahamkan selain kawalan mutu daripada pakar pendidik USM, abang-abang dan kakak-kakak pelajar USM juga akan bertindak sebagai coaches dan buddies dan akan sentiasa berada di samping anak-anak sekalian.
“Mereka ini lebih kurang sebaya usia dengan anda tetapi mereka ini bijak orangnya. Ia adalah kerana untuk memasuki USM memang memerlukan gred pencapaian akademik yang tinggi justeru, gunakan masa 4 hari untuk berkawan dengan mereka, timba ilmu daripada mereka dan jadikan mereka role-model anda sekalian,” katanya.
tamat
No Comments