Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek LRT PP dimuktamadkan dalam tempoh terdekat

Projek LRT PP dimuktamadkan dalam tempoh terdekat

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof – Januari 16, 2024 @ 3:23pm
[email protected]

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (dua kiri) pada sidang media selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang bagi Pembangunan di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang hari ini. – Foto NSTP / Aminah Yusof

BUTTERWORTH: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pengangkutan menyediakan memorandum Jemaah Menteri untuk dibentangkan ke Kabinet bagi tujuan kelulusan pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata beliau menerima arahan itu selepas menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri berhubung projek berkenaan semalam.

 

“Projek LRT Pulau Pinang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Malah, semalam saya ada bermesyuarat dengan Perdana Menteri berhubung perkembangan projek berkenaan.

 

“Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan menyediakan memorandum Jemaah Menteri untuk dibawa ke Kabinet untuk diluluskan daripada segi pelaksanaannya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang bagi Pembangunan di Seberang Perai Tengah.

 

Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar untuk melaksanakan perkhidmatan LRT di Pulau Pinang yang turut dijangka menghubungkan Penang Sentral di sini.

 

Dalam itu, Anthony berkata MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) bebas melakukan penilaian terhadap cadangan konsep yang dikemukakan bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur- Singapura (HSR KL-Singapura).

 

Katanya, kementeriannya tidak akan memberi sebarang tekanan kepada MyHSR Corp dalam membuat penilaian terbaik berhubung perkara berkenaan.

 

“Jadi, saya rasa saya biarkan pihak MyHSR menjalankan tanggungjawab mereka. Setakat ini, saya tiada sebarang komen, supaya tidak memberikan apa-apa tekanan kepada MyHSR untuk membuat penilaian.

 

“Mereka bebas membuat penilaian terhadap cadangan- cadangan itu sebelum diangkat untuk diputuskan,” katanya mengulas mengenai hasil penilaian proses permintaan maklumat (RFI) mengenai cadangan konsep projek HSR yang ditutup semalam sebelum dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan kabinet untuk pertimbangan.

 

Media terdahulu melaporkan tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa menyerahkan cadangan konsep bagi projek (HSR KL-Singapura) kepada MyHSR Corp yang terdiri daripada 31 firma mewakili spektrum penuh projek berkenaan.

No Comments

Post A Comment