Latest News
PTMP Map
PSI
 

Projek Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Air Itam capai kemajuan 42 peratus

Projek Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Air Itam capai kemajuan 42 peratus

PERJALANAN dari Bandar Baharu Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang kini mengambil masa 40 minit bakal dipendekkan kepada sekitar lima minit selepas siapnya projek Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam (Pakej 2).

 

Projek tersebut secara tentatifnya dijangka siap pada tahun depan (2025) dengan anggaran kos sebanyak RM851.04 juta.

 

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, secara keseluruhannya projek tersebut telah mencapai kemajuan fizikal sekitar 42 peratus sehingga awal Januari 2024.

 

“Jajaran jalan sepanjang 5.7 kilometer (km) Pakej 2 dibahagikan kepada enam seksyen.

 

“Kebanyakan kerja-kerja civil telah pun menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan antaranya ialah kerja-kerja cerucuk jenis bored pile, pembinaan piers dan crosshead untuk struktur jejambat, pembinaan struktur penstabilan cerun menggunakan kaedah soil nailing, pembinaan tembok penahan (RE Wall), pemotongan dan penimbusan tanah serta pelebaran jalan-jalan sedia ada.

 

“Kerja-kerja pemindahan utiliti (paip Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM)) telah siap di Seksyen 1.

 

“Kerja-kerja pembinaan utama seperti letupan terkawal, tembok penahan, pemecahan batu, memaku tanah, penyediaan platform dan kerja-kerja (hacking rock, excavation) sedang dijalan di Seksyen 2, 3 dan 4.

 

“Kerja-kerja pemindahan utiliti (paip Indah Water Konsortium (IWK), TNB dan TM) sedang dijalankan di Seksyen 5 selain kerja-kerja pembinaan lain termasuk pembersihan tapak, pembaikan tanah dan penyediaan tapak jalan untuk jalan susur kekal,” kata Zairil kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

Kerja-kerja tanah sedang giat dijalankan.

Beliau menambah, pelaksanaan kerja-kerja utility piloting pula dijadualkan bermula di Seksyen 6 pada bulan ini (Februari 2024).

 

Zairil berkata, Pulau Pinang perlu menambah baik infrastruktur dan fasilitinya.

 

“Pulau Pinang perlu mengekalkan daya saing ekonomi dan sosialnya sambil menyesuaikan diri dengan keperluan rakyat negeri ini, perniagaan dan pelawat yang semakin meningkat. Malah, Pulau Pinang muncul sebagai salah satu hab ekonomi Malaysia yang berkembang maju.

 

“Infrastruktur yang lebih baik memudahkan orang ramai untuk bergerak dan membantu perniagaan tempatan lebih berkembang maju,” tambahnya.

 

Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. merupakan kontraktor yang bertanggungjawab bagi reka bentuk dan binaan, manakala Penang Infrastructure Corporation (PIC) pula bertindak sebagai agensi pelaksana.

 

Skop projek bagi Pakej 2 adalah membitkan kerja-kerja membina jalan raya berkembar dua arah (R5) sepanjang 5.7km dan pembinaan dua persimpangan utama di Seksyen 1 (Lebuhraya Thean Teik) dan Seksyen 5 (Jalan Bukit Gambir).

 

Selain itu, projek ini turut melibatkan pembinaan satu persimpangan masuk dan persimpangan keluar (Persimpangan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu) serta membina persimpangan U bertingkat di Seksyen 6.

 

Malah, kerja-kerja menaik taraf dan penambahbaikan sistem perparitan dan jalan sedia ada yang terlibat dalam kawasan projek turut akan dijalankan.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

 

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!