Latest News
PTMP Map
PSI
 

Program pendidikan di bawah SIMP PSI beri manfaat kepada anak nelayan tempatan

Program pendidikan di bawah SIMP PSI beri manfaat kepada anak nelayan tempatan

Published by Buletin Mutiara • 06/09/2022

BATU UBAN – Seramai 41 pelajar Tingkatan Lima dari empat buah sekolah terpilih menyertai Program Hibrid Pendidikan (PHP) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Fasa 1.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, PHP merupakan program jangka pendek yang bertujuan memberi bimbingan kepada pelajar yang bakal menduduki SPM teknik-teknik menjawab soalan dan mengulang kaji berkesan dengan menggunakan kaedah pembelajaran gamifikasi serta mengambil kira perkembangan emosi mereka.

 

Program ini akan dijalankan dalam dua fasa yang mana fasa berikutnya adalah pada bulan Disember ini.

 

“(Dan) hari ini, pelajar yang hadir ialah mereka dalam kalangan anak-anak nelayan tempatan dan keluarga B40 dari kawasan aktiviti nelayan di Barat Daya,” ujarnya pada sidang media yang diadakan sejurus hadir merasmikan pelancaran program-program pendidikan berkaitan di Universiti Sains Malaysia (USM) dekat sini.

FARIZAN Darus ketika menyampaikan ucapan perasmian di sini
baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan USAINS Holdings Sdn. Bhd. (USAINS), Farid Wajidi Mat Yusoff; Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Abdul Said Hussain; Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd., Azmi Mohamad dan Penolong Setiausaha Kanan (Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), G. Barathi.

 

Mengulas lanjut, Farizan memaklumkan bahawa PHP merupakan sebahagian program pendidikan yang dirancang khas untuk anak-anak nelayan tempatan yang berpotensi dalam pelajaran seperti yang dinyatakan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) Projek Penang South Islands (PSI).

 

“Selain PHP, hari ini kita juga akan melancarkan program-program pendidikan lain iaitu Program Kelas Pemulihan untuk murid Darjah Satu hingga Darjah Tiga yang terjejas akibat pandemik dan masih belum menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis serta mengira.

 

Kemudian Program Jaya Didik yang memberi peluang kepada anak-anak nelayan mengikuti kelas tuisyen di pusat-pusat tuisyen dikenal pasti (sebagai rakan pelaksana program) dengan yuran bulanan sebanyak RM200 untuk murid sekolah rendah dan RM250 untuk pelajar sekolah menengah, ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

 

“(Dan) PHP yang dijalankan dengan kerjasama USAINS dan JPNPP merangkumi aspek motivasi, kaunseling, bengkel keibubapaan serta pengurusan masa dan penjagaan pemakanan.

 

“Mereka yang mengikuti program-program ini ialah anak nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia (Pulau Pinang) dan belajar di sekolah berhampiran tapak Projek PSI termasuk anak bukan nelayan dari keluarga B40.

 

“Inilah keistimewaan dan manfaat SIMP yang memberi keutamaan kepada anak-anak nelayan dari kawasan Selatan Pulau Pinang untuk mendapat pendidikan kerana pendidikan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan penting kepada pembangunan negeri pada masa depan,” jelasnya ketika membacakan teks ucapan perasmian Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut.

 

Sementara itu, Azmi yang turut berucap pada majlis sama memberitahu bahawa PHP Fasa 1 ini memberi peluang kepada peserta untuk berkampung di USM selama empat hari dan merasakan pengalaman kehidupan di kampus bersama-sama ‘abang’ dan ‘kakak’ yang belajar di universiti berkenaan.

 

“Manfaatkan setiap detik di sini, ikut semua aktiviti, jaga imej dan beri tumpuan sepanjang program dijalankan,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada USAINS, JPNPP dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan program berkaitan. Difahamkan, empat sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Maung; SMK Teluk Kumbar; SMK Seri Bayu dan SMK Bayan Lepas.

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!