Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pinjaman ditolak, Pulau Pinang akan terus laksana projek LRT – Chow

Pinjaman ditolak, Pulau Pinang akan terus laksana projek LRT – Chow

Kon Yeow berkata projek berkenaan amat penting terhadap pembangunan ekonomi
Pulau Pinang. – Astro AWANI

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan terus melaksanakan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas walaupun pemohonan bagi mendapatkan pinjaman serta jaminan berjumlah RM2 bilion ditolak oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini.

 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek berkenaan amat penting terhadap pembangunan ekonomi negeri ini dan kerajaan negeri tidak akan berputus asa.

 

“Kerajaan negeri bakal meneruskan usaha melaksanakan projek LRT berkaitan kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang umumnya mempunyai beberapa opsyen kewangan lain bagi membiayai projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP),” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan terus menyuntik keyakinan kerajaan Persekutuan untuk memberi keutamaan terhadap pembiayaan projek LRT berkenaan serta memberi layanan setimpal kepada Pulau Pinang, mengambil kira negeri itu sebagai juara pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan negara dan mewujudkan peluang pekerjaan bukan hanya rakyat negeri itu malahan juga negeri lain di utara Semenanjung Malaysia.

 

Chow berkata beliau turut berkongsi dan menyampaikan perkara sama kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed pada sesi perbincangan berhubung peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kepada negeri Pulau Pinang pada Khamis lepas di ibu negara.

 

“Malah, perkara serta pendirian sama turut dinyatakan kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menghadiri sesi dialog Konsultasi Belanjawan 2021: Pulau Pinang anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada 8 Ogos 2020 dan Sesi Libat Urus PenyediaanRMK-12 bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang ketika itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, pada 2 Ogos 2019 di Pulau Pinang ,” katanya.

 

Menurut Chow, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi surat pada 1 Okt 2019 kepada beliau menyatakan bahawa bon-bon oleh kerajaan negeri berhubung projek berkaitan akan dijamin oleh kerajaan Persekutuan.
PTMP adalah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

 

Projek LRT tersebut meliputi 29.9 kilometer laluan rel dengan 27 stesen dari Komtar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan tiga lagi kawasan membabitkan pulau-pulau tebus guna di selatan Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak RM8 bilion.

 

— BERNAMA

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!