Latest News
PTMP Map
PSI
 

Permohonan pengemukaan cadangan projek LRT Bayan Lepas bermula Isnin ini

Permohonan pengemukaan cadangan projek LRT Bayan Lepas bermula Isnin ini

Published by Bernama • 20/07/2022

GEORGE TOWN, 20 Julai (Bernama) — Syarikat-syarikat yang berminat untuk menyertai tender bagi pelaksanaan komponen projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas boleh mengemukakan maklumat masing-masing menerusi pautan https://tender.penanginfra.com/home, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

 

Beliau berkata peringkat prakelayakan untuk proses Permohonan Pengemukaan Cadangan (RFP) bagi pelaksanaan komponen Transit Aliran Ringan ( LRT ) Bayan Lepas itu bermula 25 Julai ini hingga 24 Ogos nanti.

 

“Bayaran untuk mendapatkan dokumen prakelayakan mengenai skop kerja dan senarai dokumen perlu dikemukakan kepada kerajaan negeri adalah RM2,000, bayaran perlu dibuat kepada Penang Infrastructure Sdn Bhd (PIC).

 

Tempoh masa untuk pendaftaran dalam talian adalah selama dua minggu iaitu mulai 21 Julai hingga 8 Ogos dan seterusnya tempoh muat turun dokumen bermula 25 Julai sehingga 14 Ogos. Syarikat yang mengambil bahagian perlu menghantar dokumen diperlukan kepada kerajaan negeri sebelum 12 tengah hari 24 Ogos,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

 

Komponen LRT Bayan Lepas adalah satu daripada komponen utama dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan komponen ini adalah strategi jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

 

Sasaran kerajaan negeri adalah untuk memulakan pembinaan jajaran LRT itu tersebut yang menghubungkan Komtar dan Bayan Lepas pada tahun depan.

Chow berkata pihak syarikat tidak perlu menyediakan sebarang pembentangan dan seterusnya proses penilaian akan menyusul dari 25 Ogos hingga 8 Sept.

 

Katanya pada peringkat ini, kapasiti, kepakaran dan pengalaman syarikat-syarikat yang berminat akan dinilai dengan teliti sebelum disenarai pendek dan dijemput untuk menyertai proses RFP bagi komponen LRT Bayan Lepas.

 

Menurutnya kerajaan negeri juga komited untuk merealisasikan projek LRT Bayan Lepas itu bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkualiti bagi manfaat rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan.

 

”Kerajaan negeri menerima banyak pertanyaan daripada banyak syarikat yang berminat dengan projek LRT Bayan Lepas ini dan kami berharap mereka akan menyertai proses prakelayakan RFP ini,” katanya.

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!