Latest News
PTMP Map
PSI
 

Peringkat Pra-Kelayakan (Pre-Qualification) Bagi Cadangan LRT Bayan Lepas Bermula

Peringkat Pra-Kelayakan (Pre-Qualification) Bagi Cadangan LRT Bayan Lepas Bermula

SIARAN MEDIA

20 Julai 2022

Peringkat Pra-Kelayakan (Pre-Qualification) Bagi Cadangan LRT Bayan Lepas Bermula

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan permulaan peringkat pra-kelayakan untuk proses permohonan pengemukaan cadangan (Request for Proposal atau RFP) pelaksanaan komponen Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas.

 

Tempoh pra-kelayakan ini akan berlangsung selama sebulan iaitu mulai 25 Julai 2022 sehingga 24 Ogos 2022 bagi membolehkan syarikat-syarikat berminat mengemukakan maklumat masing-masing berhubung pelaksanaan projek LRT Bayan Lepas.

 

Bayaran untuk mendapatkan dokumen pra-kelayakan mengenai skop kerja dan senarai dokumen perlu dikemukakan kepada Kerajaan Negeri adalah bernilai RM2,000. Bayaran adalah perlu dibuat kepada Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC) dengan nombor akaun Maybank, 557054623637.

 

Tempoh masa untuk pendaftaran atas talian dari pautan, https://tender.penanginfra.com/home adalah selama dua minggu iaitu mulai 21 Julai 2022 sehingga 8 Ogos 2022. Tempoh muat turun dokumen adalah mulai 25 Julai 2022 sehingga 14 Ogos 2022.

 

Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian perlu menghantar dokumen diperlukan kepada Kerajaan Negeri pada tempoh tidak lewat daripada 24 Ogos 2022, jam 12 tengah hari. Pihak syarikat tidak perlu menyediakan sebarang pembentangan. Proses penilaian akan menyusul dari 25 Ogos 2022 hingga 8 September 2022.

 

Pada peringkat ini, kapasiti, kepakaran dan pengalaman syarikat-syarikat yang berminat akan dinilai dengan teliti sebelum disenarai pendek dan dijemput untuk menyertai proses RFP.

 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa proses pendaftaran untuk memuat turun dokumen pra-kelayakan akan dibuat melalui portal tender di laman web rasmi PIC iaitu penanginfra.com.

 

“Dokumen pra-kelayakan yang lengkap perlu dikemukakan di dalam sampul surat tertutup sebelum dimasukkan ke dalam peti tender pejabat PIC, Komtar.

“Semua pihak yang berminat dijemput melayari laman web PIC untuk mendapatkan maklumat mengenai proses pra-kelayakan ini,” katanya.

 

Komponen LRT adalah salah satu komponen utama dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), yang merupakan pendekatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

 

Sasaran Kerajaan Negeri adalah untuk memulakan pembinaan jajaran LRT tersebut yang menyambungkan Komtar dan Bayan Lepas pada tahun depan.

 

Pada sidang akhbar sama, YAB Ketua Menteri turut melancarkan laman web PIC yang beralamat penanginfra.com. Platform berkaitan merupakan penjenamaan semula daripada laman web PTMP terdahulu iaitu, pgmasterplan.penang.gov.my.

 

“Penjenamaan semula ini adalah tepat pada masanya terutamanya selepas Kerajaan Negeri menubuhkan PIC pada bulan Julai 2020 untuk melaksanakan PTMP dan Penang South Islands (PSI).

 

“Setelah beroperasi selama dua tahun di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Dato’ Seri Farizan Bin Darus, PIC telah melaksanakan tanggungjawab diamanahkan untuk menjayakan projek-projek infrastruktur yang penting bagi pertumbuhan ekonomi negeri.

 

“Maka penjenamaan semula ini akan menyuntik semangat baru kepada PIC untuk meneruskan usahanya dalam mempercepatkan pelaksanaan komponen-komponen PTMP khususnya LRT Bayan Lepas dan PSI,” kata Tuan Chow Kon Yeow dalam majlis pelancaran penanginfra.com pada hari ini di sini.

 

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan, YB Tuan Zairil Khir Johari turut menekankan kepentingan komponen PTMP seperti LRT dan PSI.

“Projek-projek ini adalah penting kepada pembangunan sebuah zon perindustrian berteknologi tinggi baru di Pulau Pinang bagi menjamin masa depan negeri serta rakyat untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Sementara itu, YBhg. Dato’ Seri Farizan menyatakan bahawa maklumat yang dipaparkan dalam penanginfra.com adalah lebih komprehensif berbanding dengan laman web terdahulu.

Laman web PIC memaparkan maklumat serta penjelasan jelas mengenai peranan PIC, komponen-komponen PTMP dan PSI, Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) dan penerbitan berita-berita mengenai projek tersebut dalam Bahasa Melayu serta juga Bahasa Inggeris.

 

“Laman web PIC adalah sumber maklumat rasmi serta sahih bagi PTMP dan PSI.

“Kami dengan sukacitanya menjemput orang ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai projek-projek berkaitan berlandaskan maklumat tepat dan terkini untuk melayari penanginfra.com,” seru beliau.

 

 

Tamat

Mengenai PIC:

 

Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC) yang diperbadankan pada 9 Julai 2020 adalah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

 

Visi PIC adalah untuk membina pembangunan dan infrastruktur pengangkutan yang berdaya tahan khususnya komponen-komponen PTMP iaitu Laluan Rel Bayan Lepas, Lebuh Raya Pan Island Link, projek jalan-jalan utama dan laluan ketiga, serta projek Penang South Islands (PSI) untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri terkemuka.

 

Ahli-ahli Lembaga Pengarah PIC ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow; YB Setiausaha Kerajaan Negeri; Pengerusi Jawatankuasa Infrastuktur dan Pengangkutan YB Tuan Zairil Khir Johari dan Dato’ Seri Farizan Bin Darus.

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!