Latest News
PTMP Map
PSI
 

PEOM: 20,000 pokok bakau telah ditanam setakat ini

PEOM: 20,000 pokok bakau telah ditanam setakat ini

Published by Utusan• 14/12/2023

NIBONG TEBAL: Kira-kira 10 peratus atau 20,000 daripada 200,000 anak pokok bakau berjaya ditanam di beberapa lokasi terpilih di negeri ini di bawah Pelan Induk Pengimbangan Ekologi Penang South Island (PEOM).

 

Kerja-kerja penanaman itu bermula sejak pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Perhutanan Pulau Pinang dengan dua syarikat iaitu Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) dan Silicon Island Development Sdn. Bhd. (SID), awal tahun ini.

 

Sasaran untuk menanam sehingga 200,000 anak pokok bakau secara berperingkat menjelang 2030 itu antara lain bertujuan meningkatkan daya tahan kawasan hutan paya laut sebagai benteng pesisir semula jadi yang mampu menahan hakisan ekoran kejadian ombak dan sebagainya.

 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keselamatan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol, selain Hutan Simpan Byram di Changkat di sini, anak pokok bakau itu turut ditanam di beberapa kawasan lain seperti di kawasan Balik Pulau; Sungai Chenaam dan Sungai Udang, Juru; Teluk Tempoyak serta di Sungai Tembus, Penaga.

 

Katanya, apabila Silicon Island selesai ditambak, hutan yang mengandungi pokok paya bakau itu akan diwujudkan sebagai satu kawasan rekreasi awam yang menarik untuk dinikmati rakyat serta pelancong pada masa depan.

 

“Selain bertujuan melindungi kawasan pesisir pantai daripada hakisan, mewujudkan habitat baharu untuk hidupan laut serta menyerap karbon untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, hutan bakau juga menjadi tempat persinggahan pelbagai spesies burung laut semasa musim sejuk.

 

“Oleh itu, kerajaan negeri amat menitik-beratkan pelaksanaan program-program penanaman pokok bakau yang selaras dengan matlamat kita iaitu untuk menanam sehingga 500,000 batang pokok menjelang 2030 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Pemuliharaan Habitat Hutan Paya Laut, Penang 2030 di Hutan Simpan Byram, Changkat di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Darus dan Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Muhammad Ezhar Yusuf.

 

Sempena program itu, sebanyak 1,200 anak pokok bakau turut ditanam dengan Fahmi diberi penghormatan untuk menanam anak pokok bakau yang ke-20,000.

 

Dalam pada itu, Muhammad Ezhar berkata, sebanyak 676.48 hektar daripada 962 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) kini adalah Hutan Paya Laut atau bakau seperti yang telah diwartakan sejak tahun lepas.

 

“Pewartaan Hutan Simpanan Kekal ini menjadi strategi pembangunan di dalam RSN Pulau Pinang 2030 dan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang perlu dicapai dalam Agenda Hijau Pulau Pinang 2030.

 

“Kini, usaha untuk mewartakan lagi kawasan berhutan di negeri ini terutamanya kawasan sensitif alam sekitar seperti hutan paya laut, masih diteruskan secara teliti di bawah jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh Jawatankuasa MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) Alam Sekitar Pulau Pinang,” ujar beliau. – UTUSAN

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!