Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pembinaan pulau buatan Pulau Pinang bermula Mac

Pembinaan pulau buatan Pulau Pinang bermula Mac

Diterbitkan oleh Free Malaysia Today • 05/02/2021 • 04:15pm

GEORGE TOWN: Projek kontroversi Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR), membabitkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan pulau utama dijadualkan bermula seawal Mac.

 

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan penambakan Pulau A.

 

“Kami akan membangunkan kawasan seluas 25 ekar sebulan,” katanya. “Fasa 1 dijangka akan siap pada 2029.”

 

Berhubung rancangan pengurusan impak sosial untuk nelayan yang terjejas, kerajaan negeri telah mengemukakan beberapa cadangan.

 

Jelasnya, jumlah bayaran ex gratia kekal pada RM20,000, tetapi tidak menyatakan jumlah sebenar pampasan. Baru-baru ini, nelayan yang tinggal di selatan pulau itu menyifatkan pembayaran RM20,000 itu sebagai terlalu sedikit.

 

“Melihat bagaimana Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) tidak bersedia untuk berunding,” kata Zakiyuddin, “kerajaan negeri tiada pilihan selain menghubungi nelayan untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai cadangan ini.”

 

Ini berikutan Pen Mutiara menolak untuk memberikan maklum balas kecuali rayuan mereka terhadap kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar projek tersebut dipertimbangkan.

 

Pada 22 Jan, kerajaan negeri mengatakan laporan yang mendakwa bahawa nelayan yang terjejas dengan projek PSR hanya akan diberi ganti rugi RM20,000 adalah “tidak tepat” dan mencalar reputasinya.

 

Ini susulan kenyataan ketua Pen Mutiara Mahadi Md Rodzi kepada Bernama bahawa jumlahnya “terlalu sedikit” berbanding kos tambakan semula tiga pulau sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion.

 

Zakiyuddin menjelaskan bahawa RM20,000 adalah pembayaran ex gratia dan bukan pembayaran pampasan, yang masih sedang dipertimbangkan.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.