Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pembinaan LRT Pulau Pinang dijangka bermula awal, kata menteri

Pembinaan LRT Pulau Pinang dijangka bermula awal, kata menteri

Published by The Malaysian Insight • 30/5/2023

Pembiayaan projek LRT Pulau Pinang akan dimasukkan ke dalam perbelanjaan pembangunan kerajaan persekutuan ataupun MRT Corp akan mengeluarkan bon. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2023.

RANCANGAN pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang dijangka bermula lebih awal selepas pihak kerajaan persekutuan dan negeri bersetuju untuk membina depoh LRT di tapak tanah sedia ada berbanding rancangan sebelum ini iaitu membinanya di atas pulau buatan dalam Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kedua-dua pihak kini sedang meneliti beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan seperti lokasi depoh berkenaan, yang akan membabitkan sama ada tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang ataupun tanah kerajaan persekutuan.

 

“Terdapat dua hingga tiga kawasan yang sedang dilihat dan apabila ia dimuktamadkan, pihak kami menjangkakan tender untuk pembinaan fasa pertama projek berkenaan boleh dipanggil menjelang akhir tahun,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Georgetown, hari ini.

 

Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan kerja di negeri ini bagi meninjau tempat pembinaan stesen LRT berkenaan.

 

Katanya pihak kerajaan berharap projek itu boleh dimulakan segera memandangkan tempoh pembinaan projek itu boleh memakan masa lima tahun.

 

“Mengikut perancangan sebelum ini juga, laluan LRT fasa pertama sepatutnya bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan berakhir di Komtar, tapi pihak MRT Corp merasakan ia lebih sesuai jika ia disambung ke Tanjung Bungah.

 

“Fasa pertama akan melibatkan 27 stesen sepanjang 29km. Semua stesen adalah stesen bertingkat,” katanya, sambil menambah untuk fasa seterusnya, pihak kerajaan berharap untuk menyambung projek itu sehingga ke Butterworth dan Kepala Batas.

 

Dari segi pembiayaan, katanya projek itu akan dimasukkan ke dalam perbelanjaan pembangunan kerajaan persekutuan ataupun MRT Corp akan mengeluarkan bon. – Bernama, 30 Mei, 2023.

No Comments

Post A Comment

error: Content is protected !!