07 Mei Pembangunan PSI, Kerajaan Negeri amat terbuka dan telus – Kon Yeow
Published by Buletin Mutiara • 27/4/2023
GEORGE TOWN – Butiran mengenai 71 syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek tambakan laut selatan pulau Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI) boleh dirujuk melalui agensi Kerajaan Negeri iaitu Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC).
Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, terdapat 17 perkara mengandungi kesemua 71 syarat yang ditetapkan termasuk frasa yang menyatakan bahawa penggerak projek hendaklah mematuhi arahan dan syarat-syarat tambahan yang dikenakan dari semasa ke semasa.
“Kesemua 71 syarat yang dikenakan oleh JAS adalah terkandung dalam lampiran kelulusan
yang diberikan dan mengandungi 17 perkara (untuk dipatuhi).
“Antaranya, Perkara A adalah mengenai pematuhan terhadap akta berkaitan alam sekitar; Perkara B adalah mengenai penerangan bagi aktiviti yang ditetapkan iaitu melibatkan aktiviti pengorekan dan penebusgunaan tanah seperti yang diluluskan (oleh JAS).
“Manakala Perkara C adalah mengenai konsep serta reka bentuk projek yang mana dalam permohonan sememangnya dinyatakan untuk membangunkan tiga buah pulau – Pulau A, B dan C, keluasan setiap pulau dan lain-lain yang berkaitan.
“Perkara D adalah mengenai kawalan aktiviti penebusgunaan tanah dan pengorekan yang merujuk kepada kerja-kerja yang dijalankan mengikut fasa serta kaedah yang dikemukakan semasa permohonan termasuk menggunakan sistem pemantauan pengorekan, sistem pengurusan dan pelupusan sisa (buangan pengorekan), memasang tirai kelodak, membina parameter sistem pembendungan dan lain-lain berkaitan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 27 April 2023.
KETUA Menteri menunjukkan surat kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar dan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) pada sidang media semalam.
Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi turut menyenaraikan lain-lain perkara yang ditetapkan seperti kawalan hakisan dan kelodakan dan kawalan dan pengawasan kualiti air, udara serta bunyi mengikut parameter yang telah ditetapkan oleh JAS dan pihak berkuasa berwajib.
Turut terkandung, kata Kon Yeow adalah kawalan dan pengawasan garis pantai dan hidrografi; pengendalian bahan kimia, petroleum dan bahan buangan; kawalan dan pencegahan serta kawalan keselamatan dan kecemasan.
“Perkara berikutnya adalah Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang perlu disediakan
mengikut format yang ditetapkan dalam Laporan EIA dan perlu dikemukakan kepada JAS sebelum sebarang kerja-kerja pembangunan dimulakan.
“(Dan) inilah yang dilakukan oleh rakan pelaksana projek (PDP) PSI iaitu memohon kelulusan EMP dari JAS Pulau Pinang.
“Seterusnya adalah Pelan Peralihan, Penyelenggaraan, Penangguhan, Penutupan, Penamatan dan Pemulihan Projek; audit alam sekeliling yang perlu dilakukan setiap tiga (3) bulan sepanjang kerja-kerja penebusgunaan dan pengorekan tanah dan pelaporan.
“Kemudian, dari segi pentadbiran yang mana perlu melantik Pegawai Kawalan Alam Sekitar bertauliah (memiliki sijil profesional diperakukan) untuk memantau pelaksanaan keseluruhan projek.
“(Dan) yang terakhir adalah mengenai sebarang perubahan melibatkan hak milik atau pengurusan projek hendaklah dimaklumkan kepada JAS dalam tempoh 30 hari yang mana merupakan amalan piawaian (dalam mana-mana pembangunan infrastruktur).
“Mana-mana pihak yang berminat untuk mengetahui lanjut boleh berhubung dengan PIC atau melayari laman sesawang rasmi bagi mendapatkan gambaran mengenai komponen yang terkandung dalam projek ini,” jelasnya.
Semalam, SAM menggesa agar Kerajaan Negeri mendedahkan kesemua 71 syarat yang dikenakan oleh jabatan persekutuan di bawah seliaan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) itu dalam kelulusan berkaitan termasuk memohon penjelasan lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan memaklumkan bahawa beliau tidak dapat menghentikan sebarang bantahan yang disuarakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) tertentu mahupun parti-parti politik dari mempolitikkan isu berhubung Projek PSI ini.
“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri amat terbuka (menerima pandangan) dan telus dalam membangunkan projek ini, tidak ada apa-apa perkara yang hendak disembunyikan malah turut memaparkannya di dalam manifesto pilihan raya terdahulu.
“Malah, kita (Kerajaan Negeri dan PDP) juga telah memenuhi keperluan dari segi teknikal (semasa mengemukakan permohonan berkaitan) termasuk maklum balas agensi-agensi terlibat.
“Cabaran sebenar bukanlah pada kelulusan Laporan EIA sebaliknya bergantung kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan dan kini adalah masa untuk memulakannya,” tegasnya yang optimis bahawa pembangunan PSI ini bakal membawa transformasi kepada Pulau Pinang dan rakyatnya.
PEMBANGUNAN Penang South Islands adalah melibatkan pembangunan tiga buah pulau buatan di Selatan Pulau Pinang.
Sebagai rekod, idea pembangunan projek PSI ini telah dicetuskan sejak tahun 2013 dan telah melalui proses kelulusan yang rumit serta tempoh masa yang panjang. Projek ini melibatkan pembangunan tiga buah pulau buatan berkeluasan 4,500 ekar di perairan Selatan Pulau Pinang yang bukan sahaja mewujudkan tanah baru untuk pembangunan negeri pada masa hadapan malahan menjadi pendayaupayaan sosial termasuk kepada nelayan setempat serta menyumbang impak positif dalam memacu ekonomi Pulau Pinang.
Menjelang tahun 2050, PSI akan mewujudkan lebih 460,000 pekerjaan dan menyumbang impak positif terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang sebanyak RM2.2 trilion termasuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak RM70 bilion kepada ekonomi negara.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN
No Comments