Latest News
PTMP Map
PSI
 

Pelaburan ke Pulau Pinang pasca COVID-19 mungkin ketara dirasai pada 2021: Chow Kon Yeow

Pelaburan ke Pulau Pinang pasca COVID-19 mungkin ketara dirasai pada 2021: Chow Kon Yeow

KURANG 15 hari lagi, negara akan menempuhi tahun baharu 2021 dengan iklim pelaburan yang kian mencabar dek pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia termasuk negeri Pulau Pinang.

 

Sedar tidak sedar juga, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow telah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang hampir tiga tahun, dengan wawasan pembangunan jangka panjang sehingga tahun 2030 yang diberi nama Penang2030.

 

Bertemakan ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’, wartawan Buletin Mutiara ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar NOOR SITI NABILAH NOORAZIS berkesempatan menemubual Kon Yeow berhubung pencapaian tadbir urus Kerajaan Negeri hari ini.

 

PELABURAN

 

Menurut Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi, impak berantai dalam aspek pelaburan ke negeri ini mungkin dapat dilihat ketara pada tahun 2021.

 

“2019 merupakan tahun paling baik, dengan pencapaian angka pelaburan tertinggi sebanyak RM16.9 bilion, dan tahun ini (2020) sehingga bulan September dengan jumlah pelaburan RM10.6 bilion.

 

“Saya perlu akui bahawa angka-angka ini sebenarnya adalah hasil daripada usaha sebelum berlakunya COVID-19 (pada Disember 2019).

 

“Banyak usaha rundingan-rundingan dengan pelabur dilakukan pada tahun 2019 sudah bermula tetapi hasilnya dapat dilihat pada tahun ini (2021).

 

“Maksudnya, apa angka pelaburan yang Pulau Pinang capai pada tahun 2020 ini adalah disebabkan usaha yang kita lakukan pada satu dua tahun sebelum itu.

 

“Berdasarkan angka pelaburan pada tahun 2020, nampak seakan tidak terjejas tetapi apa yang berlaku pada tahun 2020 dengan pelbagai sekatan, kami pun tidak dapat melawat pelabur baharu, pelabur yang baharu pun tidak dapat melawat negeri ini dan membuat penilaian, kita jangka angka pelaburan ke Pulau Pinang pada tahun 2021 akan terjejas.

 

“Pandemik COVID-19 yang berlaku pada tahun ini akan meninggalkan impak pada tahun selanjutnya dan pencapaian pelaburan pada tahun ini merupakan hasil usaha satu dua tahun sebelum itu,” jelasnya pada 19 Disember 2020.

 

POLISI PENGANGKUTAN

 

Sebelum menjadi Ketua Menteri, Kon Yeow pernah ditaklifkan sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan dan Tebatan Banjir selama sedekad bermula pada tahun 2008.

 

Dalam tempoh itu, beliau diberi tanggungjawab yang berat iaitu merealisasikan projek pembangunan bercampur dikenali Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai kira-kira RM47 bilion.

 

Dengan pelbagai kekangan yang dihadapi di peringkat Kerajaan Negeri, lahirlah cadangan projek tebus guna tanah di selatan perairan bahagian pulau (PSR) bagi membiayai beberapa skim projek pengangkutan awam seumpama transit aliran ringan (LRT).

 

Selain itu, Kerajaan Negeri pernah dicadangkan untuk menerbitkan bon dengan jaminan Kerajaan Pusat, sebagai ganti pada syor pinjaman mudah Persekutuan sebanyak RM2 bilion.

 

Sehingga kini, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya komited untuk membina LRT dari George Town ke Bayan Lepas meskipun menyedari bahawa Kerajaan Negeri menghadapi pelbagai kekangan daripada pihak Putrajaya.

 

“Terkini, (penerbitan bon oleh Kerajaan Negeri dengan) jaminan Kerajaan Persekutuan tidak akan diberikan, kerana menurut perlembagaan dan pengurusan kewangan memang tidak membenarkan Kerajaan Negeri membuat pinjaman mudah dengan jaminan daripada Kerajaan Persekutuan.

 

“Ada cara untuk melaksanakan PTMP itu melalui beberapa peringkat, peringkat pertama ia menjadi projek Persekutuan.

 

“Sebabnya, projek-projek pengangkutan khususnya projek rel di Lembah Klang semua disokong serta dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan sama ada melalui peruntukan pembangunan ataupun inisiatif kewangan swasta (PFI),” ujarnya sambil memohon Kementerian Pengangkutan mempertimbang syor tersebut.

 

Di samping itu, Kon Yeow turut menjelaskan mengenai perkembangan semasa projek terowong bawah dasar laut, yang mula direncana sejak era mantan Ketua Menteri sebelum ini.

 

Projek terowong dasar laut bersama-sama tiga pakej pembinaan pintasan lebuh raya tersebut dianggarkan menelan belanja sejumlah RM6.4 bilion.

 

“Untuk lebuh raya dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sekarang memasuki peringkat pengambilan tanah.

 

“Bagi projek-projek lain, kita perlu mendapatkan kajian reka bentuk terperinci.

 

“Sebelum syarikat (pemaju) melaksanakan, Kerajaan Negeri perlu memberi keputusan kerana setiap pakej perlu ada perjanjian berasingan,” ulasnya lanjut.

 

ISU AIR

 

Di samping itu, Kon Yeow turut menjelaskan mengenai isu Pulau Pinang dituntut membayar pampasan mencecah jutaan ringgit kerana didakwa mengabstrak air sungai dari negeri Kedah.

 

Dalam nada berseloroh, beliau menganggap Menteri Besar Kedah hanya bergurau untuk menyekat air mentah dari Ulu Muda sekiranya Pulau Pinang enggan membayar pampasan berwajib.

 

“Air mentah yang kita (Pulau Pinang) abstrak itu dari Sungai Muda adalah dalam sempadan negeri Pulau Pinang.

 

“Istilah ‘pampasan’ itu tidak digunakan oleh Menteri juga, dan dalam jawapan Menteri kepada saya juga menyatakan bahawa beliau akan mengusahakan perbincangan antara Pulau Pinang dan Kedah.

 

“Kita (Pulau Pinang) sokong Negeri Kedah mendapatkan sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan sebab adalah menjadi tanggungjawab di peringkat Persekutuan supaya kawasan tadahan air Ulu Muda tidak dicerobohi oleh aktiviti pembalakan,” katanya lagi sambil menganggap masih ada ruang perbincangan secara hemat antara Pulau Pinang, Kedah dan Putrajaya.

 

Tambah Kon Yeow, di peringkat antarabangsa, negara yang mempunyai sumber air semula jadi pun tidak pernah menafikan hak negara lain untuk menikmati sumber air semula yang sama dalam sempadan negara masing-masing.

 

“Masing-masing negara ada hak untuk mengabstrak sumber air mentah daripada sungai yang mengalir di negara mereka….kerana ia ada undang-undang antarabangsa.

 

“Begitu juga negeri-negeri di Malaysia, tidak boleh negeri yang berada di hulu sungai menafikan hak negeri-negeri yang berada di hilir sungai untuk menikmati hak sama.

 

“Jadi, kita anggap beliau (Menteri Besar Kedah) bergurau sahaja kerana kalau boleh ditahan air mentah Sungai Muda dari mengalir ke Pulau Pinang, maka tidak perlu lagi empangan,” ulasnya.

 

REALITI PRU15?

 

Dalam wawancara selama sejam, Kon Yeow turut memberi ulasan mengenai realiti parti-parti politik dalam menempuhi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka pada tahun 2021.

 

Bagi beliau, lebih baik parti-parti pembangkang bekerja menjana sokongan rakyat pada PRU15 memandangkan usaha mendapatkan majoriti Ahli Parlimen telah beberapa kali tidak berjaya.

 

“Lebih baik kita fokus kepada kekuatan sendiri Pakatan (Harapan) dengan (parti-parti pembangkang) yang lain untuk siap sedia menghadapi PRU15, tidak perlu mengharapkan Ahli Parlimen Umno akan melompat untuk mencukupkan bilangan majoriti (bagi mendapatkan semula mandat rakyat bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan).

 

“Langkah Sheraton telah membuka hakikat yang baharu bahawa Umno dan Barisan Nasional bukan lagi suatu gabungan (paling kuat) seperti dahulu.

 

“Sekarang, nampaknya tiada sebuah gabungan parti yang boleh menubuhkan Kerajaan (dengan kekuatan sendiri).

 

“Apa yang fikir, yang sedang terjadi adalah penjajaran semula politik yang mana gabungan parti-parti politik tidak lagi dibentuk seperti dahulu (pada PRU14).

 

“Di negara-negara barat lain, mereka membentuk gabungan parti-parti politik selepas pilihan raya, kalau tak cukup kerusi (Ahli Parlimen) maka memerlukan sokongan daripada parti-parti lain.

 

“Setelah apa yang berlaku (pasca Langkah Sheraton), mungkin senario akan berlaku di Malaysia juga akan berubah seperti di negara-negara Barat (iaitu) pembentukan gabungan parti politik selepas pilihan raya.

 

“Walaupun masuk pilihan raya (PRU15) sebagai sebuah gabungan parti politik, tetapi keputusan pasca pilihan raya akan memaksa mereka untuk turut melihat di luar daripada gabungan parti politik yang mereka bentuk itu.

 

“Justeru, kita perlu bersedia menghadapi realiti politik baharu ini dari sekarang,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.

error: Content is protected !!